Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga SG pernah jadi ejen risik kuasa luar ditahan di bawah ISA

Jun 16, 2021 | 5:30 AM
EJEN DIUPAH NEGARA LUAR: Dickson Yeo telah bertindak sebagai seorang ejen diupah oleh sebuah pihak dari luar negara, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD). - Foto DICKSON YEO / FACEBOOK
EJEN DIUPAH NEGARA LUAR: Dickson Yeo telah bertindak sebagai seorang ejen diupah oleh sebuah pihak dari luar negara, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD). - Foto DICKSON YEO / FACEBOOK -

SEORANG lelaki warga Singapura yang telah bekerja untuk perkhidmatan risikan China sejak 2016 telah ditahan dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dickson Yeo, 40 tahun, telah bertindak sebagai seorang ejen yang diupah oleh sebuah pihak dari luar negara, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataannya semalam.

"Siasatan ISD mendapati bahawa Yeo telah bekerja untuk sebuah pentadbiran risikan dari luar negara dan telah melaksanakan pelbagai tugas yang diberikan kepadanya oleh pihak luar negara itu untuk mendapatkan keuntungan dari segi kewangan sebagai ganti," kata ISD.

"Yeo telah mengaku dia sedar dengan sepenuhnya, bahawa pengendali dari luar negara itu sedang bekerja untuk sebuah pentadbiran risikan di negara tersebut."

ISD menambah Yeo ditugaskan untuk mencari maklumat dan menyediakan laporan mengenai isu-isu di bawah perhatian pengendali dari luar negara itu, termasuk maklumat berkaitan Singapura.

Yeo telah mendekati beberapa individu di Singapura, untuk cuba mendapatkan maklumat yang kemudian digunakan dalam penulisan laporannya.

Yeo telah menubuhkan sebuah syarikat di Singapura sebagai helah atau cover bagi kegiatan pengumpulan maklumatnya itu, dan untuk pengendali luar negara tersebut melakukan kegiatan pengambilan rekrut.

"Dia juga telah cuba, namun gagal, untuk mendapatkan pekerjaan di dalam sektor pemerintah Singapura supaya dapat melanjutkan kegiatan pengumpulan maklumatnya. Yeo telah melakukan kegiatan tersebut sepanjang tempoh dari 2016, hingga dia ditangkap di Amerika Syarikat pada 2019," kata ISD.

Jabatan keselamatan itu berkata siasatan masih dijalankan dan penahanan Yeo itu adalah satu keperluan untuk ISD menyiasat kegiatannya dengan sepenuhnya.

Ketika berada di Beijing pada 2015 dalam satu lawatan, Yeo telah direkrut oleh ejen China yang mendakwa bahawa mereka merupakan kumpulan pemikir.

Pada ketika itu, Yeo merupakan penuntut ijazah kedoktoran di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dia ditangkap oleh ISD pada 30 Disember tahun lalu selepas diusir ke Singapura dari Amerika setelah dipenjara selama 14 bulan kerana melakukan kegiatan mengintip bagi China di Amerika.

Dokumen mahkamah di Amerika menunjukkan bahawa dia telah mengaku ke atas tawaran wang yang diberikan kepadanya sebagai ganti untuk mendapatkan maklumat dan laporan politik mengenai rantau Asia Tenggara sebelum memberi tumpuan kepada Amerika.

Yeo juga didapati telah beberapa kali melakukan lawatan untuk menemui ejen-ejen China yang berhubung dengannya, menceroboh laman media sosial untuk mendapatkan sasaran dan juga diarah untuk menubuhkan sebuah syarikat rundingan palsu bernama Resolute Consulting - yang berkongsi nama serupa dengan sebuah syarikat terkemuka Amerika.

Yeo kemudian mendaftar syarikat itu di Singapura pada awal 2018 yang berjaya mendapatkan 400 resume, kebanyakan merupakan kakitangan pemerintah dan tentera Amerika yang sudah mendapatkan pelepasan keselamatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg