WARGA Singapura yang menjadi ejen risikan buat China dalam memantau Amerika Syarikat telah diberkas oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sekembalinya ke Singapura pada Rabu (30 Disember).
Dickson Yeo Jun Wei, 39 tahun, telah dihukum penjara 14 bulan di Amerika Syarikat kerana kesalahan merisik. Dia mendedahkan kepada penyiasat bahawa "tugas risikannya sebelum ini memberi sasaran kepada negara lain selain Amerika Syarikat", jelas ISD dalam satu kenyataan pada Rabu.
ISD akan mewawancara Yeo bagi menentukan jika dia terlibat dalam "kegiatan yang menjejas keselamatan Singapura".
"Singapura tidak membenarkan warga negaranya dijatuhkan atau dipergunakan oleh pihak asing bagi kegiatan yang mengancam keselamatan dan kepentingan negara.
"Pemerintah memandang secara sangat serius isu warga Singapura yang mempunyai hubungan rahsia dengan pemerintah asing dan terlibat dalam pengintipan atau kegiatan subversif di atas perintah kuasa asing," tambah ISD.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan tegas akan diambil ke atas individu sebegitu.
ISD bagaimanapun tidak dapat memberi sebarang keterangan lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Yeo mengaku bersalah pada Julai tahun ini atas perbuatan meraih maklumat sensitif daripada warga Amerika di bawah arahan pegawai risikan China.
Dia menyatakan bahawa dia menyokong misi China meskipun pada penghujung perbicaraan mahkamah. Namun dia mendakwa dirinya tidak mengkhianati Singapura.
Dia menjalankan tugas ejen risikan yang meninjau Amerika Syarikat selama empat tahun setelah diambil bekerja oleh pegawai risikan China pada 2015. Ketika itu, dia berkunjung ke Beijing bagi membuat penyampaian tentang situasi politik di Asia Tenggara.
Yeo pada masa itu adalah pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew. Tugas yang diberikan pihak risikan China buatnya adalah mengenal pasti dan menilai warga Amerika termasuk kakitangan ketenteraan dan pemerintah Amerika yang mempunyai akses pada maklumat bernilai yang dirahsiakan daripada pengetahuan awam.
Yeo juga mengaku dirinya membayar warga Amerika bagi menulis laporan yang kemudian diberikan kepada pemerintah China tanpa pengetahuan penulis-penulis berkenaan.
Dia juga membuka khidmat runding cara politik yang palsu dan meninjau laman rangkaian sosial bagi mendapatkan sasarannya.
Yeo ditangkap di Amerika pada November 2019.
Selepas berita mengenai penangkapannya, China menafikan mendapatkan khidmatnya sebagai ejen risikan dan menuduh Amerika sebagai mencapai tahap "mengesyaki pihak lain secara ekstrem".
Pengajian PhD Yeo dihentikan apabila diketahui mengenai kegiatan pengintipannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg