Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura korban duit simpanan demi bina tempat kucing berlindung di JB

Kucing dikembiri sebelum dilepaskan semula selepas dapat rawatan lanjut
Mar 4, 2025 | 3:22 PM
Daripada menggunakan wang simpanannya untuk melancong ke Istanbul seperti yang dirancang, Cik Nur Amira Jumali, menggunakannya untuk membina tempat perlindungan untuk kucing jalanan di Johor Bahru.
Daripada menggunakan wang simpanannya untuk melancong ke Istanbul seperti yang dirancang, Cik Nur Amira Jumali, menggunakannya untuk membina tempat perlindungan untuk kucing jalanan di Johor Bahru. - Foto ihsan NUR AMIRA JUMALI

Pada asalnya, pencinta kucing, Cik Nur Amira Jumali, menyimpan wang untuk melancong ke Istanbul, Turkey, dengan harapan dapat melihat sendiri kucing jalanan yang terkenal di kota itu.

Namun, wang simpanan warga Singapura sebanyak $7,000 itu akhirnya digunakan untuk sesuatu yang menurutnya, lebih bermakna, iaitu membina tempat perlindungan bagi kucing jalanan di Johor Bahru.

Dalam satu temu bual dengan Berita Harian (BH), Cik Amira, 33 tahun, berkata:

“Kalau saya ke Istanbul, saya cuma akan berada di sana selama 10 hingga 12 hari, tetapi jika saya guna wang itu untuk bina sesuatu yang kekal untuk kucing-kucing di Johor Bahru, manfaatnya akan berpanjangan.”

Menurutnya, beliau mengumpul dana untuk projek pembinaan itu menerusi jualan duit sampul Hari Raya pada 2024 supaya boleh mendapatkan khidmat seorang kontraktor untuk membina tempat perlindungan tersebut.

Walaupun tempat perlindungan kucing di Johor Bahru itu sudah siap dibina, Cik Amira berkata terdapat lubang serta celah pada panel bumbung dan masih kekurangan kipas serta sistem saliran air.
Walaupun tempat perlindungan kucing di Johor Bahru itu sudah siap dibina, Cik Amira berkata terdapat lubang serta celah pada panel bumbung dan masih kekurangan kipas serta sistem saliran air. - Foto NUR AMIRA JUMALI

“Saya hanya berjaya kumpul $1,000 daripada jualan sampul duit Raya tahun lepas (2024), sedangkan kos keseluruhan pembinaan sekitar $8,000.

“Jadi, saya gunakan wang simpanan saya untuk menampung kos selebihnya,” ujar Cik Amira, seorang kaunselor perkahwinan.

Walaupun tempat perlindungan itu sudah siap dibina selepas sekitar dua bulan, Cik Amira berkata hasilnya agak kurang memuaskan kerana terdapat lubang serta celah pada panel bumbung.

Beliau terpaksa mendapatkan khidmat kontraktor lain untuk membaiki kesilapan yang dilakukan, menyebabkan kos binaan meningkat.

“Untuk tahun ini (2025), saya sekali lagi jual sampul duit Hari Raya demi menampung kos kerja naik taraf tempat perlindungan kucing itu.

“Sebanyak 100 peratus daripada hasil jualan akan digunakan untuk memasang kipas, dawai pagar, dan sistem saliran air bagi memastikan ruang yang lebih selamat untuk kucing,” jelasnya, yang belum berumah tangga.

Ditanya tentang sampul duit Hari Raya yang dijualnya, Cik Amira berkata ia juga direka dan dihasilkan beliau sendiri dengan menggunakan sofwe penyuntingan, Canva.

Untuk menampung kos kerja naik taraf tempat perlindungan kucing itu, Cik Nur Amira Jumali menjual sampul duit Hari Raya 2025 yang direkanya menggunakan sofwe penyuntingan, Canva.
Untuk menampung kos kerja naik taraf tempat perlindungan kucing itu, Cik Nur Amira Jumali menjual sampul duit Hari Raya 2025 yang direkanya menggunakan sofwe penyuntingan, Canva. - Foto NUR AMIRA JUMALI

Cik Amira biasanya merentas Koswe dari Singapura setiap minggu untuk memberi makan kepada kucing di Johor Bahru.

Beliau kali pertama terdorong menjaga dan memastikan keselamatan kucing di Johor Bahru apabila beliau berada di sana untuk membeli makanan kucing bagi kucingnya sendiri pada 2022.

“Saya mendapati banyak kucing di sana tidak dikembiri dan saya juga pernah terjumpa lebih 20 ekor anak kucing dalam kotak besar,” jelasnya.

Daripada situ tercetus niatnya untuk memulakan inisiatif, ‘Project Help Meow’, pada Februari 2023 untuk memerangkap, mengembiri dan melepaskan semula kucing terbiar di Johor Bahru demi mengawal jumlah mereka.

Proses itu juga dikenali sebagai, ‘Trap-Neuter-Return’ (TNR).

Menurut Cik Amira, kebanyakan kucing di tempat perlindungan di Johor Bahru merupakan inisiatif, ‘TNR Project Help Meow’, yang memerlukan rawatan lanjut dan belum boleh dilepaskan semula.

Cik Nur Amira Jumali, memulakan inisiatif, ‘Project Help Meow’, pada Februari 2023 untuk memerangkap, mengembiri dan melepaskan semula kucing terbiar di Johor Bahru demi mengawal jumlah mereka. Beliau bekerjasama dengan Noah’s Ark Animal Birth Control Clinic yang merawat dan mengembiri kucing itu.
Cik Nur Amira Jumali, memulakan inisiatif, ‘Project Help Meow’, pada Februari 2023 untuk memerangkap, mengembiri dan melepaskan semula kucing terbiar di Johor Bahru demi mengawal jumlah mereka. Beliau bekerjasama dengan Noah’s Ark Animal Birth Control Clinic yang merawat dan mengembiri kucing itu. - Foto NUR AMIRA JUMALI

Menurutnya, setiap sesi TNR yang dilakukannya menelan kos sekitar $2,000 dan boleh menampung sekitar 40 hingga 50 ekor kucing.

“Saya bekerjasama dengan sebuah klinik di Johor Bahru bernama, Noah’s Ark Animal Birth Control Clinic, mereka yang akan rawat dan kembiri kucing-kucing itu,” kongsinya yang awal sebelum ini merancang satu lagi sesi TNR di Johor Bahru pada 8 Mac dan mencari sukarelawan.

“Saya lakukan ini kerana saya sentiasa mahu memberi sokongan kepada mereka yang tidak boleh menyokong diri sendiri, termasuk haiwan.

“Begitu juga pendekatan saya dalam ruang profesional sebagai seorang kaunselor perkahwinan.

“Bagi saya, wang yang dibelanjakan untuk kucing jalanan bukanlah satu pembaziran... saya melihat mereka juga mempunyai perasaan dan layak dikasihani,” ungkap Cik Amira.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg