Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S'pura yang dijangkiti Covid-19 di Jakarta keluar ICU

Kini disah negatif virus dan dipindah ke wad biasa TTSH
Dec 24, 2020 | 5:30 AM
KEMBALI BERSUA: Encik Abdul Rashid Sahari dan Cik Safiah Rawi bersemuka buat kali pertama semalam sejak terpisah pada 4 Disember apabila Encik Rashid dimasukkan ke hospital di Jakarta. - Foto HAIKEL FAHIM
KEMBALI BERSUA: Encik Abdul Rashid Sahari dan Cik Safiah Rawi bersemuka buat kali pertama semalam sejak terpisah pada 4 Disember apabila Encik Rashid dimasukkan ke hospital di Jakarta. - Foto HAIKEL FAHIM -

WARGA Singapura yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas di Jakarta, Indonesia, dan diterbangkan pulang ke tanah air sudah dipindahkan keluar daripada Unit Jagaan Rapi (ICU) ke wad biasa.

Encik Abdul Rashid Sahari, 64 tahun, menurut ujian terbarunya kini negatif bagi Covid-19 dan sedang beransur pulih, kongsi menantunya Encik Haikel Fahim kepada Berita Harian semalam.

Encik Rashid dipindahkan ke wad biasa di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) Ahad lalu.

Isteri Encik Rashid, Cik Safiah Rawi, 56 tahun, yang juga dibawa pulang ke Singapura setelah disahkan positif bagi Covid-19 di Jakarta, turut bebas daripada penyakit itu.

Beliau telah dibenar pulang dari kemudahan kuarantin di D'Resort @ Downtown East Jumaat lalu.

Semalam, pasangan suami isteri itu bertemu empat mata buat pertama kali sejak terpisah apabila Encik Rashid dimasukkan ke hospital di Jakarta pada 4 Disember.

Mereka diuji positif koronavirus di Jakarta pada hujung bulan lalu dan dinasihati doktor supaya mengasingkan diri di rumah.

Namun beberapa hari setelah diuji positif, kesihatan Encik Rashid merosot hingga bapa tiga anak perempuan itu mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke hospital di Jakarta.

Cik Safiah pula tidak dibenarkan keluar rumah kerana menghidapi Covid-19.

Justeru, mereka terpisah sehingga dibawa pulang ke Singapura dan negatif bagi penyakit itu.

Encik Rashid, yang sebelum ini terpaksa menggunakan tiub untuk bernafas, kini tidak lagi bergantung kepada alat penafasan dan boleh berbual, meskipun tidak lancar.

"Sekarang, saya rasa lebih baik berbanding tiga minggu lalu. Saya boleh bernafas walaupun tidak 100 peratus, tetapi ia bertambah baik," kata datuk tiga cucu itu, yang bakal meraikan ulang tahun ke-65 awal bulan depan.

"Alhamdulillah syukur saya sangat gembira dapat kembali ke sini dan bersama keluarga," tambahnya.

Dengan kes Covid-19 di Indonesia terus meningkat dan pasangan itu tiada kenalan rapat di Jakarta, Encik Haikel sekeluarga memutuskan membawa mereka pulang ke Singapura dan mendapatkan rawatan di sini.

Mereka mengaturkan pemindahan perubatan udara bagi Encik Rashid pada 7 Disember dan Cik Safiah keesokan harinya, dan berdepan perbelanjaan sekitar $85,000.

Keluarga itu menaruh harapan kepada kuasa media sosial dengan meminta saudara-mara dan teman berkongsi kisah suami isteri itu dan menjalankan kempen penjanaan awam.

Encik Haikel mewujudkan blog helpabdulrashid.wordpress.com pada 13 Disember untuk mengumpul sumbangan dana daripada orang awam.

Dalam masa 23 jam, sasaran mereka tercapai.

Mereka sejauh ini mengutip lebih $88,000 dengan baki wang yang tidak digunakan untuk membayar bil perubatan akan disalurkan kepada badan amal.

Encik Rashid menambah:

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih. Saya sangat hargai semua perkara yang telah mereka lakukan untuk saya dan isteri. Kami tidak akan lupa jasa baik anda... Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas anda."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg