
“
WARGA atau penduduk tetap Singapura yang telah keluar negara sebelum nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 27 Mac lalu tidak perlu menanggung kos ujian Covid-19 sekembalinya mereka ke sini selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2020. Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan yang dikeluarkan Rabu (17 Jun).“
Pasukan Bertindak Pelbagai Kementerian mengumumkan pada 15 Jun 2020 bahawa semua yang memasuki Singapura dari 17 Jun 2020, 11.59 malam, dan mereka yang keluar Singapura dari 17 Jun 2020, 11.59 malam, mesti menanggung sendiri kos ujian Covid-19. Namun MOH memberi "tempoh penangguhan" kepada golongan yang keluar negara sebelum 27 Mac dan pulang selewatnya 31 Ogos 2020.MOH juga tidak akan menguji mereka yang berumur 12 tahun atau lebih muda secara automatik sebelum berakhirnya SHN mereka, kerana menyedari bahawa ujian itu boleh menimbulkan kesulitan bagi anak-anak kecil. Namun, jika ada kenalan rapat mereka didapati positif, ujian swab untuk mereka akan dijalankan.
Untuk mengelakkan keraguan, semua pengunjung termasuk warga Singapura dan Penduduk Tetap, yang terakhir meninggalkan Singapura dari 27 Mac 2020 walaupun ada nasihat perjalanan, harus terus menanggung kos penginapan mereka di kemudahan SHN khusus jika ada, serta kos ujian COVID-19 mereka, kata MOH.
Dalam pada itu, kementerian tersebut berkata terdapat 247 kes baru Covid-19 yang disahkan hari ini, termasuk lima kes masyarakat.
Dari jumlah tersebut, dua melibatkan warga Singapura.
Salah seorang daripada mereka (Kes 41145) tidak menunjukkan simptom tetapi diuji kerana tugasnya memerlukannya berinteraksi dengan pengawal keselamatan di asrama.
Kes yang lagi satu (Kes 41152) pula merupakan anggota keluarga kes yang disahkan sebelum ini, dan beliau sudahpun dikuarantin.
Sementara itu, lagi 775 individu dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
Seramai 31,938 individu telah sembuh dari Covid-19 dan dibenarkan pulang.
Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat telah turun dari purata sembilan kes sehari dua minggu lalu, kepada sekitar tujuh kes sehari minggu lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg