Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warisan Katong-Joo Chiat dirai melalui inisiatif baru NHB, masyarakat

Apr 12, 2024 | 6:37 PM
Deretan rumah kedai di kawasan kejiranan Katong-Joo Chiat merupakan antara khazanah warisan yang ingin dilestari dan dirai melalui daya usaha baru kendalian Lembaga Warisan Negara (NHB).
Deretan rumah kedai di kawasan kejiranan Katong-Joo Chiat merupakan antara khazanah warisan yang ingin dilestari dan dirai melalui daya usaha baru kendalian Lembaga Warisan Negara (NHB). - Foto ST

Penduduk dan pengunjung di kawasan Katong-Joo Chiat boleh menjangkakan pesta jalanan, sesi jelajah yang dipimpin dan ceramah warisan sebagai sebahagian daripada daya usaha Titik Tumpuan Pengaktifan Warisan (HAN) yang bakal dilancarkan secara rasmi lewat April.

Inisiatif tersebut, yang bakal dilancar pada 20 April, dikendalikan Lembaga Warisan Negara (NHB) bagi memperkasa masyarakat untuk merai dan melestarikan warisan kejiranan mereka di bawah pelan induk, Pelan Warisan SG Kita 2.0.

Kejiranan tersebut, yang dikenali kerana khazanah warisannya yang kaya dan kaitannya dengan budaya Peranakan serta seni bina prapeperangan yang unik, merupakan kawasan pertama yang akan diusahakan di bawah program tersebut.

Antara mercu tanda Katong-Joo Chiat yang akan diserlahkan di bawah program itu termasuk tapak balai polis lama Joo Chiat, rumah kedai Peranakan dan Red Bakery, sebuah kafe yang bersejarah.

Daya usaha tersebut juga akan diperluas untuk merangkumi kawasan kejiranan lain pada 2024, termasuk kawasan kejiranan Clementi.

Ia diharap dapat membuka peluang kepada penduduk kawasan kejiranan tertentu memulakan projek dan program sendiri – dengan sokongan NHB – untuk meraikan warisan kawasan kejiranan mereka.

Timbalan Ketua Eksekutif NHB (dasar dan masyarakat), Encik Alvin Tan, berkata beliau berharap daya usaha itu dapat ‘menghidupkan’ lagi kawasan kejiranan terlibat.

“Kami berharap kawasan kejiranan ini akan lebih ‘hidup’ melalui prasarana dan juga program yang lebih kerap diadakan.

“Selain itu, kami juga berharap untuk mewujudkan rangkaian rakan kongsi masyarakat seluruh Singapura bagi menggalak lebih ramai anggota masyarakat berasa bangga dengan warisan kita,” katanya.

NHB bekerjasama dengan kumpulan masyarakat dan rakan kongsi, Katong Culture dalam mengusahakan daya usaha tersebut.

Pengasas Katong Culture, Encik Gavin Chan, berkata:

“Katong Culture dibentuk untuk meningkatkan kesedaran mengenai budaya kejiranan Katong-Joo Chiat. Usaha Katong Culture dipertingkat dengan sokongan NHB.”

“Kami berharap kawasan kejiranan ini akan lebih ‘hidup’ melalui prasarana dan juga program yang lebih kerap diadakan. Selain itu, kami juga berharap untuk mewujudkan rangkaian rakan kongsi masyarakat seluruh Singapura bagi menggalak lebih ramai anggota masyarakat berasa bangga dengan warisan kita.”
Encik Alvin Tan, Timbalan Ketua Eksekutif, Lembaga Warisan Negara (dasar dan masyarakat).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg