Topic followed successfully
Go to BHkuWawancara BBC bersama PM Lee: S'pura akan gunakan vaksin Covid-19 dari apa jua sumber asal selamat dan berkesan
Wawancara BBC bersama PM Lee: S'pura akan gunakan vaksin Covid-19 dari apa jua sumber asal selamat dan berkesan
Wawancara BBC bersama PM Lee: S'pura akan gunakan vaksin Covid-19 dari apa jua sumber asal selamat dan berkesan
SINGAPURA akan menggunakan vaksin Covid-19 tanpa mengira ia dihasilkan dari mana asal sahaja ia selamat dan berkesan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam wawancara bersama siaran BBC pada Ahad (14 Mac).
"Kami akan menggunakan vaksin daripada mana-mana sumber. Vaksin tidak membawa bersamanya kerakyatan. Adakah ia baik atau tidak baik? Adakah ia berkesan? Jika ya, kita akan gunakannya," tambah Encik Lee.
Singapura telah menempah vaksin bagi menentang virus Sars-COV-2 daripada berbilang pembekal dan menerima bekalan daripada vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, yang sudah disahkan untuk digunakan.
Lewat bulan lalu (23 Februari), ia menerima bekalan vaksin Sinovac dari China, yang belum lagi disahkan kegunaannya di Singapura oleh Penguasa Sains Kesihatan. HSA sedang dalam proses menilai keselamatan dan keberkesanannya.
Dengan kempen vaksinasi buat orang ramai digerakkan di serata dunia yang membawa pada peningkatan diplomasi vaksin, negara yang menggunakan vaksin sebagai alat pengaruh - sesetengah pengulas mengusulkan kemungkinan China menggesa Singapura membenarkan kegunaan produk Sinovac di sini.
Ketika ditanya koresponden bisnes BBC World News Asia, Karishma Vaswani, jika Singapura diberi tekanan menggunakan vaksin buatan China, Encik Lee berkata:
"Kami dalam proses menilai vaksin ini. Jika ia lulus dalam perihal keselamatan dan keberkesanan, kami akan menggunakannya."
Encik Lee menambah:
"Saya tidak fikir ia berasas bagi sesetengah orang untuk menyatakan, jika vaksin ini datang dari China, ia tidak baik atau sebaliknya, jika vaksin ini datang dari China, ia bagus kerana saya seseorang yang berasal dari China lantas vaksin ini sepadan dengan DNA saya. Vaksin tetap vaksin."
Encik Lee juga akur China mempunyai saintis, pengkaji bioperubatan dan pengkaji vaksin yang berkebolehan sambil menambah beliau tidak sangsikan keupayaan golongan ini menghasilkan vaksin yang baik.
Sejak program vaksinasi Covid-19 di Singapura bermula lewat Disember lalu, lebih 610,000 dos vaksin sudah ditadbir.
Mengenai mengapa Singapura tidak bergerak lebih pantas meskipun sudah menerima vaksin lebih awal lagi, Encik Lee berkata pemerintah mahu memujuk lebih ramai orang akan tampil memanfaatkan program ini.
"Kami mungkin tidak begitu tertekan sebab kami tidak mempunyai terlalu banyak kes masyarakat di samping kami mempunyai masa menjelaskan kepada orang ramai, memujuk mereka, meyakinkan mereka dan melenyapkan segala kebimbangan dan keresahan serta melakukannya secara sistematik.
"Namun, kami berharap dapat melakukannya mengikut kiriman bekalan dan pastinya menjelang tahun ini atau lebih awal daripada itu," katanya.

