Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Webinar BH-Mendaki kongsi panduan galak kanak-kanak kuasai dua bahasa

Dua sesi, setiap satu khusus bagi guru prasekolah dan ibu bapa, dianjurkan percuma oleh BH dan Mendaki
Oct 6, 2023 | 3:19 PM
UNTUK PENDIDIK PRASEKOLAH: Webinar bertajuk ‘Membangun Minda Dwibahasa’ membincangkan strategi pengajaran dwibahasa untuk pendidik prasekolah.
UNTUK PENDIDIK PRASEKOLAH: Webinar bertajuk ‘Membangun Minda Dwibahasa’ membincangkan strategi pengajaran dwibahasa untuk pendidik prasekolah. - Foto-foto BH oleh SAMAD AFANDIE

Dengan persekitaran Singapura yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris, usaha menggalak kanak-kanak menguasai kedua-duanya, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda, menjadi semakin mencabar hari ini.

Mereka lebih terdedah kepada bahasa Inggeris – baik di sekolah, ketika menonton televisyen dan menggunakan alat teknologi untuk bermain permainan, mahupun di rumah, semasa berinteraksi dengan ibu bapa dan adik-beradik.

Bukan ibu bapa sahaja mendapati agak mencabar menggalak anak kecil mereka menggunakan dua bahasa dengan fasih, malah guru juga berasa semakin sukar membimbing murid mereka menguasai dua bahasa.

Demi membantu ibu bapa dan pendidik prasekolah membimbing anak dan murid mereka menjadi pengguna dwibahasa yang baik, Berita Harian dan Yayasan Mendaki akan menganjurkan dua webinar berkaitan topik itu.

Webinar pertama – Membangun Minda Dwibahasa – akan berlangsung pada 13 Oktober, mulai 2 petang, dan khusus bagi pendidik prasekolah.

Webinar itu akan dikendalikan oleh seorang guru Bahasa Melayu dari Kementerian Pendidikan (MOE), Encik Azhar Abdul Rashid, yang akan membincangkan mengenai pendekatan kreatif bagi menggalak pembelajaran kanak-kanak prasekolah.

Beliau juga akan berkongsi strategi kreatif dan interaktif dalam menerapkan pembelajaran dwibahasa dalam kegiatan seperti bercerita, menyanyi dan bermain.

Webinar itu diadakan secara percuma melalui wadah Zoom. Mereka yang ingin menyertainya boleh mendaftar dengan melungsuri pautan https://bit.ly/BHDwi1.

Webinar kedua akan diadakan pada 14 Oktober, mulai 11 pagi, khusus bagi ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah.

Bertajuk Mengasah Kemahiran Dwibahasa Sambil Bermain, ia akan dikendalikan oleh pengasas Pusat Pembelajaran Yaa Bunayya, Cik Nur’afifah Mohd Hussain.

Beliau akan membincangkan peranan kegiatan bermain dalam membina kemahiran bahasa dan juga dalam perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan.

Mereka yang ingin menyertai webinar itu boleh mendaftar dengan melungsuri pautan https://bit.ly/BHDwi2.

Wartawan Berita Harian, Cik Nur Fathin Awalludin, akan menjadi moderator bagi kedua-dua webinar.

Kedua-dua webinar dianjurkan dengan sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg