Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Webinar BH perjelas instrumen pembahagian harta

Kaedah seperti faraid dan wasiat penting demi pastikan harta dibahagi secara adil
Nov 29, 2024 | 4:55 PM
(Atas, kiri) Koresponden Berita Harian (BH), Cik Siti Aisyah Nordin; peguam A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip (atas, kanan); Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group/Barakah Capital, Encik Suhaimi Salleh (bawah, kiri); dan anggota bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Kamal Mokhtar merupakan ahli panel webinar pertama BH pada 21 November.
(Atas, kiri) Koresponden Berita Harian (BH), Cik Siti Aisyah Nordin; peguam A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip (atas, kanan); Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group/Barakah Capital, Encik Suhaimi Salleh (bawah, kiri); dan anggota bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Kamal Mokhtar merupakan ahli panel webinar pertama BH pada 21 November. - Foto TANGKAP LAYAR WEBINAR BH

Ketika seseorang itu meninggal dunia, kehidupan di sekelilingnya akan tetap bergerak.

Bagi keluarga yang ditinggalkan, kematian seseorang itu menimbulkan banyak persoalan tentang pembahagian harta.

Justeru adalah penting mengenali instrumen pembahagian harta, seperti faraid dan wasiat, untuk memastikan bahawa harta dibahagikan secara adil.

Demi membantu menjelaskan dan menjawab kemusykilan tentang perkara itu, Berita Harian mengadakan webinar pertamanya pada 21 November.

Berjudul “Faraid sudah ada... apakah wasiat masih diperlukan?”, webinar itu membincangkan isu pembahagian harta selepas kematian, dan bagaimana instrumen lain selain faraid, seperti wasiat, boleh memastikan pembahagian harta yang lebih baik.

Apakah itu faraid?

Salah seorang panel yang dijemput ialah anggota bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Kamal Mokhtar.

“Faraid bukan ikut secara suka-suka, ia adalah kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah swt,” jelas beliau.

Ustaz Kamal mengingatkan bahawa kita tidak boleh mengambil lebih daripada bahagian yang ditetapkan, kerana ia boleh membawa beban di akhirat kelak.

Ramai juga tidak sedar bahawa faraid merupakan pembahagian harta yang terakhir.

“Sebelum faraid dibagikan, kita perlu jelas bahawa harta yang ditinggalkan oleh si mati perlu digunakan untuk perkara yang diwajibkan dulu,” kongsi beliau.

Antara perkara yang perlu dilaksanakan adalah pengurusan pengebumian, hutang dan bayaran tertunggak (termasuk perkara seperti fidyah, zakat dan haji) dan juga wasiat yang dibuat.

Apabila faraid dilaksanakan, di dalam dunia yang ideal, ahli waris yang menerima bahagian yang ditentukan kepada mereka akan membolehkan mereka menjaga individu-individu di bawah tanggungjawabnya.

Namun, dalam keadaan yang lebih kompleks, apabila individu yang bukan waris faraid terlibat, perancangan harta lain seperti wasiat sangat diperlukan.

Kepentingan wasiat

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group/Barakah Capital, Encik Suhaimi Salleh, seorang lagi anggota panel webinar, menyentuh pentingnya wasiat dalam situasi tertentu.

Mereka yang tidak punyai pertalian darah kepada arwah, seperti seorang anak angkat, tidak termasuk dalam waris faraid.

Jika yang meninggal ingin memastikan individu tersebut mendapat bahagian daripada harta pusakanya, maka perlu ada perancangan harta yang jelas, seperti membuat wasiat.

“Mereka perlu buat wasiat atau perancangan harta pusaka untuk memelihara kebajikan dan kemaslahatan mereka yang bukan waris faraid,” jelas Encik Suhaimi.

Seorang lagi anggota panel, peguam A Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, pula menyentuh tentang rosedur membuat wasiat di Singapura.

Menurutnya, wasiat membolehkan individu melantik pentadbir yang dipercayai untuk membahagikan harta pusaka, dan dibenarkan hanya membahagikan satu pertiga dalam wasiat kepada pihak yang bukan waris.

Pilihan pentadbir juga harus difikirkan kerana ia merupakan tugas dan amanah besar bagi mereka yang melaksanakan pembahagian harta pusaka.

“Soalannya adalah sama ada individu yang dilantik tahu atau tidak tentang latar belakang keluarga itu,” kata Encik Rohim.

Ini kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan dan dilakukan.

Beliau berkata jika pentadbir yang salah dipilih, ia akan merumitkan pembahagian harta yang sensitif, dan boleh menimbulkan pergolakan antara keluarga.

Hal pewaris yang tidak jalankan tanggungjawab

Para hadirin webinar tersebut juga diberi peluang bertanya tentang kebingungan faraid dan instrumen pembahagian harta mereka.

Antaranya adalah pembahagian harta kepada mereka yang dianggap ‘tidak layak’ menerimanya kerana individu berkenaan tidak menjalankan tanggungjawab menjaga ahli keluarga di bawahnya.

Ustaz Kamal menjelaskan: “Faraid telah ditetapkan oleh Allah swt bahagian masing-masing, jadi kita tidak boleh tarik balik hak tersebut.”

Encik Rohim pula menekankan bahawa peguam akan bertindak mengikut fakta seperti sijil warisan yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Namun, ketiga-tiga ahli panel menegaskan bahawa terdapat instrumen lain yang boleh digunakan untuk memastikan bahawa mereka yang layak dapat menerima lebih daripada harta pusaka yang ditinggalkan.

Ini melibatkan perancangan teliti yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa harta pusaka yang ditinggalkan digunakan dengan cara yang paling bijak.

Anggota panel turut menekankan tentang kepentingan perancangan pembahagian harta awal.

“Kadangkala kita fikir bahawa kita masih muda, mempunyai harta sedikit dan kita tidak perlu buat wasiat. Namun, kita tidak tahu bila ajal kita,” kata Encik Suhaimi.

Anggota panel juga menasihatkan supaya wasiat ataupun perancangan harta pusaka dibuat secepat mungkin supaya keluarga yang ditinggalkan dapat terus hidup dengan aman dan tanpa beban.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg