Parti Pekerja (WP) akan membentangkan satu usul di Parlimen pada 4 Ogos untuk menggesa pembentukan sebuah ekonomi akan datang yang memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.

Demikian diumumkan Anggota Parlimen (AP) WP, Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) dan Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang), dalam satu taklimat media di ibu pejabat parti itu pada 1 Ogos.

Menurut WP, antara tema dan dasar utama yang dijangka dibahaskan termasuk langkah menggalak inovasi, memperkukuh pembiayaan bagi syarikat tempatan, mengurangkan kos perniagaan dan tenaga kerja, serta membangunkan pelan alternatif untuk menangani kelemahan dalam model ekonomi tradisional Singapura.

Tambahnya, usul itu mewakili suara rakyat Singapura yang merasakan bahawa ekonomi masa kini tidak lagi memihak kepada mereka, terutama dalam menghadapi tekanan landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu dan kesannya yang dirasakan secara tidak sekata dalam kalangan masyarakat.

Membuka sesi taklimat media, Encik Tiong berkata pertumbuhan ekonomi Singapura sejak kemerdekaan banyak dipacu oleh syarikat berbilang negara (MNC), dengan tumpuan menarik syarikat asing melabur dan beroperasi di Singapura.

“Pendekatan itu telah berjaya dengan sangat baik, namun ia kini berdepan pelbagai cabaran. Syarikat kini mula menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di negara lain seperti Malaysia dan India.

“Negara-negara jiran telah belajar daripada kita dan kini semakin merapatkan jurang dengan Singapura. Selain itu, dengan perubahan dalam dinamik tarif global, banyak MNC juga mempertimbang untuk mengalih pelaburan baru ke lokasi yang lebih dekat dengan negara asal ibu pejabat masing-masing,” ujarnya.

Menurut Encik Tiong, WP membayangkan model pertumbuhan yang lebih dipacu syarikat setempat yang dinamik, permintaan domestik yang sihat, serta modal dan rakyat Singapura yang meneroka pasaran di luar negara.

Menyentuh tentang laporan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang dikeluarkan pemerintah baru-baru ini, Profesor Madya Lim berkata ia mengandungi beberapa aspek positif, termasuk pengiktirafan bahawa dunia sedang berubah akibat tekanan geopolitik dan kekangan terhadap integrasi antarabangsa.

Tambahnya, ia juga mengandungi beberapa cadangan dialu-alukan, termasuk pengiktirafan terhadap pentingnya kemahiran teknikal dan latihan di tempat kerja, serta cadangan memperluas Skim Sokongan Pencari Kerja.

Namun, Profesor Madya Lim berkata laporan itu masih mempunyai beberapa kelemahan, termasuk kebergantungan kepada model ekonomi tradisional, kekurangan sokongan pembiayaan bagi syarikat setempat, kegagalan menangani kos perniagaan yang tinggi, serta jurang dalam usaha menghubungkan inisiatif inovasi dan penyelidikan dengan syarikat setempat, khususnya syarikat pemula.

“Kami berharap usul ini dapat melengkapi visi pemerintah bagi ekonomi akan datang yang digariskan menerusi ESR.

“Dalam keadaan dunia yang semakin menyaksikan deglobalisasi (pengurangan perdagangan, pelaburan dan hubungan budaya antara negara), adakah masih wajar untuk kita terus membina pelabuhan dan lapangan terbang yang lebih besar serta meneruskan pendekatan sedia ada seperti biasa?

“Cadangan yang kami bakal kemukakan bukan sahaja bertujuan mengetengahkan jurang dalam laporan ESR, malah menawarkan satu visi alternatif,” jelasnya.

“Cadangan yang kami bakal kemukakan bukan sahaja bertujuan mengetengahkan jurang dalam laporan ESR, malah menawarkan satu visi alternatif.”
Profesor Madya Jamus Lim, Anggota Parlimen Parti Pekerja (GRC Sengkang).