SATU kajian oleh doktor di Hospital Besar Singapura (SGH) menunjukkan X-ray dada mungkin tidak diperlukan bagi pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan simptom virus itu atau simptom virus ringan.
Dapatan itu hasil analisis data hampir 2,000 pesakit Covid-19 berusia 17 hingga 60 tahun yang menginap di Kemudahan Penjagaan Masyarakat (CCF) Singapore EXPO Mei lalu.
Pesakit yang dimasukkan ke CCF rata-rata sihat dan dinilai berisiko rendah mengalami keadaan kesihatan merosot.
Kajian oleh doktor daripada Jabatan Radiologi Diagnostik dan Perubatan Nuklear dan Pengimejan Molekul SGH itu diterbitkan dalam jurnal Radiology Disember lalu.
"Kebanyakan pesakit Covid-19 tidak mengalami jangkitan paru-paru. Kecuali mereka menunjukkan tanda-tanda kemerosotan, menghendaki semua orang melakukan X-ray dada mungkin tidak diperlukan, seperti yang ditunjukkan oleh kajian kami," kata Dr Charles Goh, konsultan di Jabatan Perubatan Nuklear dan Pengimejan Molekul.
Dr Goh pengarang kanan kajian itu, kata SGH dalam satu kenyataannya semalam.
Pasukan itu mendapati hanya 2 peratus pesakit yang dikaji, yang tidak menunjukkan simptom atau mengalami simptom ringan, mempunyai bacaan X-ray dada tidak normal, yang menunjukkan adanya jangkitan paru-paru. Sebilangan besar daripada mereka dipantau di CCF, dan hanya segelintir dipindahkan ke SGH untuk rawatan lanjut.
Baki 98 peratus pesakit mempunyai bacaan X-ray dada normal.
Kajian serupa di Hong Kong dan Wuhan di China menyokong kaitan antara keadaan pesakit dengan penggunaan X-ray dada.
Hingga 75 peratus pesakit Covid-19 yang mempunyai simptom sederhana hingga teruk di Wuhan, dan 70 peratus di Hong Kong, didapati mengalami jangkitan paru-paru selepas X-ray dada.
"Penggunaan sumber berkesan pada masa ini, yang belum pernah terjadi sebelum ini, sangat penting.
"Kami percaya penemuan kami akan membantu bandar dan negara lain di seluruh dunia yang masih menangani penularan masyarakat berskala besar, kerana sumber yang diperlukan untuk X-ray mungkin dapat disalurkan ke bahagian lain yang mempunyai keperluan lebih mendesak," kata pegawai perubatan di Jabatan Radiologi Diagnostik, Dr Benjamin Kuo, yang juga pengarang utama kajian itu.
COVID-19 DI SG - 9 Mac
Baru: 6 Dalam masyarakat: 0 Import: 6 Di dormitori: 0 Kematian: 29 Keseluruhan: 60,052 (Hingga 12 tengah hari semalam) Laporan terkini kes Covid-19 tempatan di www.bh.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg