Mantan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Profesor Yaacob Ibrahim, telah dianugerahkan dengan penghormatan berprestij Dewan Kemasyhuran Anugerah Pemimpin Teknologi 2024 di Hotel Shangri-la Singapore pada 10 Mei.
Penghormatan tersebut, yang dianugerahkan oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS), meraikan sumbangan teladan beliau kepada landskap teknologi dan pembangunan dasar Singapura, khususnya dalam bidang keselamatan siber, transformasi digital dan etika kecerdasan buatan (AI).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, yang merupakan tetamu kehormat majlis tersebut.
Bercakap dengan Berita Harian (BH) sebelum majlis tersebut, Dr Yaacob berkata beliau terkejut dan tidak sangka beliau akan dipilih untuk disertakan ke Dewan Kemasyhuran.
“Saya bukan pakar teknologi, atau dalam erti kata, saya tidak terlatih dalam bidang teknologi. Latihan saya adalah sebagai seorang jurutera. Tetapi saya sentiasa melibatkan diri dalam sektor teknologi menerusi peranan saya sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan dahulu.
“Selepas saya bersara pada 2018, saya terus melibatkan diri dalam arena ini. Dan saya gembira dan terharu komuniti teknologi yang saya pernah kerjasama dahulu masih terus menghubungi saya dan melibatkan saya dalam kegiatan mereka.
“Mereka sangat ramah untuk masih melibatkan saya, walaupun saya bukan lagi Menteri,” kata Dr Yaacob.
Dr Yaacob kini merupakan Profesor Kejuruteraan dan Penasihat di Pejabat Presiden di Institut Teknologi Singapura (SIT). Beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai penasihat AI Singapura dan juga mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah SGTech.
Pada 2015, Dr Yaacob telah dilantik sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber pertama Singapura, di mana beliau bertanggungjawab untuk memperkenalkan beberapa rang undang-undang, seperti Akta Perlindungan Data Peribadi dan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber.
Mengulas tentang penerimaan anugerah tersebut bersama BH, Dr Yaacob berkata anugerah tersebut mencerminkan sumbangan kakitangan dan rakan kerja sektor teknologi dalam membina sebuah negara yang lebih mesra teknologi dan AI.
“Saya melihat anugerah ini bukan untuk saya, tetapi saya rasa sebagai kenyataan daripada SCS bahawa mereka mengiktiraf sesiapa sahaja di Singapura yang boleh memberi sumbangan kepada sektor teknologi.
“Saya rasa anugerah ini adalah satu pengiktirafan bahawa setiap orang di Singapura mempunyai peranan dalam merealisasikan impian kita menjadi sebuah negara pintar atau sebuah Singapura yang berdaya digital,” kata Dr Yaacob.
Selain Dr Yaacob, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) khidmat dalam talian kereta terpakai, Carro, Encik Aaron Tan, juga diberi penghormatan dengan kategori anugerah Tech Leader of the Year atau Peneraju Teknologi bagi 2024.
Encik Tan disanjung atas usaha beliau untuk mengemudi perniagaan syarikat dan strategi pertumbuhan baru serta membawanya ke status unicorn atau syarikat baru yang mempunyai penilaian AS$1 bilion ($1.35 bilion atau lebih) dalam tempoh enam tahun sejak penubuhannya pada 2015.
Semasa majlis itu, seramai lapan pemenang menerima Anugerah Pemimpin Teknologi yang terdiri daripada sektor-sektor seperti sumber manusia, pendidikan, pengesahan data, lembaga berkanun pemerintah, penjagaan kesihatan dan industri automobil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg