Pertubuhan dan agensi terlibat dalam memajukan bahasa Melayu perlu disuntik dengan kepakaran dan diperkasa, ujar Profesor Adjung di Pusat Pengajian Sains Kemanusiaan dan Tingkah Laku, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Encik Yatiman Yusof.
Menurut beliau, mewujudkan kalangan yang proaktif dalam menyemai semangat cinta bahasa Melayu dan usaha membina bersama kewibawaan bahasa itu adalah perlu kerana ia satu unsur penting dalam mengukuhkan jati diri orang Melayu.
Encik Yatiman, yang juga mantan editor Berita Harian, mantan Anggota Parlimen serta setiausaha parlimen, berkata demikian di Ceramah Arif Budiman ke-20 pada 25 Julai.
Ceramah beliau bertajuk, ‘Menyelami Pemikiran dan Jati Diri Masyarakat Melayu Singapura: Cabaran dan Aspirasi’.
Ia disampaikan beliau secara hybrid kepada 140 peserta dalam talian melalui Zoom dan secara bersemuka.
Menyentuh mengenai kemerosotan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura, beliau berkata ia disebabkan keutamaan dan penekanan yang diberi pada penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik, yang membuat orang Melayu lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris di rumah.
Kemerosotan mutu dan taraf bahasa Melayu juga disebabkan penutupan sekolah aliran Melayu pada 1987 dan kemasukan anak-anak Melayu ke sekolah Inggeris atas sebab nilai ekonomi bahasa itu.
Berkurangnya penggunaan bahasa Melayu di rumah boleh membawa kepada terhakisnya nilai-nilai sosiobudaya bagi pengekalan jati diri keluarga Melayu, kata beliau.
Ini kerana bahasa berkait rapat dengan budaya sesuatu bangsa.
“Bahasa Inggeris yang datang itu berwajah dan berbaju budaya yang berbeza daripada budaya kita.
“Ia boleh dijadikan bahasa ilmu, bahasa teknologi, bahasa perdagangan, bahasa pentadbiran dan bahasa kreativiti. Malah, ia ialah bahasa dunia.
“Tetapi ia tidak dapat menjadi bahasa kejiwaan, kesantunan dan jati diri kita,” kata Encik Yatiman.
Beliau menambah bahawa kebangkitan Asia menjadikan bahasa seperti Jepun, Korea, Cina dan Bahasa Indonesia mendapat perhatian sekarang.
Ini menimbulkan persoalan mengenai nasib bahasa Melayu – bagaimana bahasa yang ditutur oleh 320 juta orang yang hidup di kawasan Nusantara dapat bertahan?
“Memandangkan pelajar Melayu menghadapi masalah kelakonan dalam mata pelajaran penting, kita mempergiat proses peningkatan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta pelajaran teknologi dan teknikal.
“Sayangnya kita tidak memperuntuk sumber yang lebih bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak kita, yang genting untuk kesejahteraan dan keampuhan jati diri mereka pada masa hadapan,” ujar Encik Yatiman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg