Satu dana baru bernilai $4 juta telah dilancarkan oleh Yayasan Temasek bagi menyokong badan-badan yang menjalankan program untuk golongan kurang upaya berusia 18 tahun dan ke atas.
Dana tersebut, yang akan ditadbir urus oleh The Purple Parade Limited (TPPL), bertujuan untuk menyokong golongan itu dalam tiga bidang utama iaitu kehidupan berdikari, kehidupan lebih sihat dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pada 6 September, program pertama di bawah perkongsian baru antara Yayasan Temasek dengan TPPL, telah dilancarkan untuk golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang mempunyai autisme spektrum rendah hingga sederhana.
Ia khusus untuk menyokong mereka dalam kehidupan bermasyarakat melalui latihan kemahiran hidup berdikari.
Dinamakan Program Sokongan Kehidupan dan Latihan (SLT) Yayasan Temasek-Pusat Sumber Autisme (ARC) Singapura, ia akan menyediakan individu dan penjaga dengan latihan yang tertumpu kepada autisme.
Ia juga akan menyediakan latihan berstruktur dan kehidupan sebenar dalam aspek seperti pengurusan diri, pengurusan rumah dan penyertaan dalam masyarakat.
Presiden ARC(S), Cik Denise Phua, berkata walaupun banyak kemajuan telah dicapai untuk menyokong golongan autistik, masih terdapat jurang ketara dalam peruntukan untuk orang dewasa mengenai spektrum autisme.
“Terdapat keperluan mendesak untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan dan sokongan merentasi jangka hayat bagi memenuhi keperluan pelbagai profil individu dewasa dalam spektrum.
“Dengan latihan dan sokongan, individu dalam spektrum autisme boleh berkembang maju dalam hidup, belajar dan bekerja. Kami telah melihat ini melalui kerja kami,” kata Cik Phua, yang Anggota Parlimen GRC Jalan Besar dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore.
Di bawah dana $4 juta itu, kira-kira $600,000 telah diperuntukkan untuk program itu dan akan diuruskan oleh TPPL dalam peranan barunya sebagai regrantor atau pertubuhan yang mengagihkan dana kepada badan yang menjalankan projek atau inisiatif tertentu untuk meluaskan jangkauan dan kesan sosial.
Cik Phua menambah, menerusi program itu, beliau berharap lebih ramai individu dalam spektrum autisme akan dapat menjalani kehidupan yang bermutu dalam masyarakat.
Beliau juga berharap program tersebut dapat disesuaikan untuk golongan kurang upaya lain dan bukan sahaja yang mengalami autisme, pada masa hadapan.
Pengerusi TPPL, Cik Rachel Ong, berkata melalui perkongsian Yayasan Temasek, beliau berharap mereka akan dapat mengenal pasti dan menyokong program yang lebih berkesan dan memperkasakan golongan itu untuk menjalani kehidupan yang bermakna.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan ARC(S) untuk memajukan usahanya dalam meningkatkan golongan berkeperluan khas sebagai program perintis kami,” kata Cik Ong, yang juga Anggota Parlimen GRC West Coast.
Program TF-ARC(S) SLT adalah sebahagian daripada siri latihan kemahiran hidup ARC(S), Flourish For Life, yang ditubuhkan dengan sokongan Persatuan Autisme Singapura.
Di bawah Flourish For Life, ARC(S) akan terus membangun dan mengembangkan perkhidmatannya secara progresif untuk menangani keperluan penting individu dalam spektrum autisme.
Daya usaha tersebut termasuk buku panduan untuk menyokong perancangan kehidupan dan perancangan penjagaan untuk masa depan, serta lebih banyak peluang pembelajaran sepanjang hayat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg