Ye Kung dijangkiti demam denggi
MENTERI Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dijangkiti demam denggi.
Dalam satu pos Facebook semalam, beliau berkata dirinya mengalami sakit otot, Sabtu lalu, dan awalnya menyangka ototnya regang ketika bersenam.
"Sedang rasa sakit itu berlarutan, saya mengambil ujian pantas antigen (ART) berulang kali dan kesemuanya negatif," tambahnya dalam pos tersebut.
Menurutnya lagi, kelmarin, alahan kulit mula kelihatan di lengan dan tubuhnya. Encik Ong mengambil ujian darah yang mengesahkan beliau menghidap denggi beberapa hari lalu.
Encik Ong berkata kiraan platelet agak rendah daripada biasa tetapi tidak serius.
"Doktor berkata saya telah bertahan dengan penyakit ini dan dalam tempoh pemulihan. Saya hanya perlu pastikan hidrasi tubuh saya tidak terjejas.
"Saya akan rehatkan diri sewaktu cuti hujung minggu yang panjang ini," katanya.
Beliau juga mengingatkan orang awam agar berjaga-jaga dalam musim denggi ini.
"Nyamuk Aedes membiak dalam air bersih, biasanya di rumah, di balkoni dan sepanjang koridor. Justeru, buang air bertakung, pertimbangkan untuk gunakan semburan serangga atau pemukul lalat untuk melenyapkan nyamuk," tambah beliau.

