Ye Kung: Kelompok KTV, Pelabuhan Perikanan Jurong berkait
Ye Kung: Kelompok KTV, Pelabuhan Perikanan Jurong berkait
Garis empat langkah pertahanan berbeza untuk kekang penularan di pelabuhan
KEDEDUA kelompok jangkitan Covid-19 aktif terbesar di Singapura - di KTV dan Pelabuhan Perikanan Jurong (JFP) - berkait dan kajian sedang dilakukan bagi menentukan hubungan ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semalam.
Menurut Encik Ong, kededua kelompok itu berbeza secara genetik daripada varian Delta yang menjangkiti orang di kelompok Hospital Tan Tock Seng dan Lapangan Terbang Changi, tetapi lebih dekat dengan kes yang diimport dari Indonesia.
Menambah, beliau berkata kajian sedang dijalankan dan hasilnya akan dikongsi dengan orang awam apabila Kementerian Kesihatan (MOH) mempunyai dapatan lebih tentu.
"Satu perkara adalah jelas - jika ada negara di rantau ini yang mengalami penularan besar, kita juga menanggung risiko (dijangkiti)," tambah Encik Ong.
Encik Ong menarik perhatian bahawa 88 kes setempat kelmarin adalah yang paling tinggi dirakamkan dalam sehari pada tahun ini.
Semalam, MOH melaporkan 163 kes baru jangkitan dalam masyarakat Covid-19 termasuk 106 yang dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong, pasar dan pusat makanan serta 19 kes baru yang dikaitkan dengan kelompok KTV.
"Ini menunjukkan keupayaan yang dimiliki varian Delta untuk berjangkit dan adalah kesan gabungan dua kelompok besar di KTV dan JFP.
"Sedang kita menangani dua kelompok besar ini dan melakukan ujian secara meluas, kita harus terus menjangka bilangan kes dilaporkan yang bertambah dalam hari-hari mendatang dan harus bersedia membuat penyesuaian atau mengambil tindakan tegas untuk mengurangkan kes-kes ini," kata Encik Ong.
Menurutnya, meski bilangan kes bagi kelompok KTV telah berkurangan, kelompok di JFP semakin meningkat dan membimbangkan kerana ia telah merebak ke pasar dan masyarakat lain.
Semalam, Encik Ong telah menggariskan empat langkah pertahanan berbeza untuk mengekang penularan virus Covid-19 di JFP.
Ini termasuk mengenakan perintah kuarantin kepada kesemua 700 pekerja di JFP.
Menurutnya, hasil langkah tersebut, beberapa kes telah ditemui.
Di samping itu, lebih 861 penjual ikan, pemandu penghantar yang telah mengunjungi JFP telah dikenakan Amaran Risiko Kesihatan yang memerlukan mereka menjalani ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) selain mengasingkan diri sehingga menerima keputusan ujian.
"Sedikit sebanyak kita telah menamatkan ujian dan mengesan 26 kes dalam kalangan mereka. Ini merupakan bilangan yang tinggi," tulis Encik Ong dalam catatan Facebooknya sebagai mengulas langkah kedua yang diambil.
Langkah ketiga ialah menghantar notifikasi kepada kesemua pegerai daripada pasar lain bagi memastikan diri mereka diuji.
Bagi langkah keempat pula, penduduk yang tinggal di sekitar pasar dengan kes positif diminta mengurangkan pergerakan dan interaksi sosial dan digesa agar melakukan pembelian barangan dapur semasa bukan waktu sibuk.
Tambahnya, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga sedang menjalankan ujian air terbuang di beberapa tempat yang termampu, dan MOH akan melancarkan operasi khas di estet-estet ini.
Sementara itu, kes baru Covid-19 juga dikesan dalam kalangan penjual ikan yang bekerja di Pusat Makanan dan Pasar Haig Road, Jurong Central Plaza dan Shunfu Mart, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Menekankan sekali lagi pentingnya vaksinasi, Encik Ong menasihati mereka yang belum divaksinasi terutama warga tua, agar duduk di rumah seberapa mungkin.
Bagi mereka yang sudah divaksinasi juga, jika mereka mempunyai warga tua yang belum divaksinasi di rumah, kurangkan pergerakan dan interaksi sosial, kerana mereka mungkin membawa virus ke rumah dan menjangkiti warga tua itu.
"Bilangan mereka yang divaksinasi semakin meningkat. Sepanjang beberapa minggu lalu, kami telah memvaksinasi sehingga 80,000 sehari. Permintaan meningkat terhadap dos kedua, yang kini merangkumi sekitar 70 peratus bagi semua dos.
"Ini bermakna lebih ramai yang kini divaksinasi sepenuhnya. Menjelang akhir semalam atau hari ini, sebanyak 50 peratus warga seharusnya telah mendapat dua dos," kata Encik Ong lagi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin, MOH berkata secara keseluruhan, bilangan kes baru dalam masyarakat meningkat daripada 17 kes seminggu sebelumnya kepada 325 kes minggu lalu.
Bilangan kes yang tiada kaitan dalam masyarakat juga meningkat daripada lapan kes seminggu sebelumnya kepada 31 minggu lalu.

