Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Lagi $140j diperuntuk bagi pusat penuaan aktif

Ia tambahan kepada $800j yang diumum pemerintah bagi program, perkhidmatan bagi warga emas
Oct 12, 2024 | 6:13 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan bahawa lagi $140 juta akan diperuntuk untuk mempertingkat dan memperluas pusat penuaan aktif (AAC) di Singapura semasa ucapannya di sambutan ulang tahun ke-10 Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) pada 12 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan bahawa lagi $140 juta akan diperuntuk untuk mempertingkat dan memperluas pusat penuaan aktif (AAC) di Singapura semasa ucapannya di sambutan ulang tahun ke-10 Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) pada 12 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec. - Foto ST

Pemerintah akan memperuntuk dana tambahan $140 juta untuk mempertingkat dan memperluas lebih 100 pusat penuaan aktif (AAC) di sini dari 2025 hingga 2027.

Suntikan dana tambahan yang diumumkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 12 Oktober itu adalah di samping dana sebanyak $800 juta yang diumumkan pemerintah sebelum ini untuk membiayai pelbagai program dan perkhidmatan AAC bagi warga emas dari 2024 hingga 2028.

AAC biasanya ditempatkan di kolong blok HDB untuk mendekati warga emas menerusi kegiatan sosial dan riadah, serta menawarkan khidmat rujukan bagi penjagaan dan pendamping buat mereka.

Pengumuman suntikan dana tambahan buat AAC itu merupakan antara inisiatif baru yang bertujuan memperkukuh usaha Sihat Menua SG atau ‘Age Well SG’ yang diumumkan Encik Ong semasa berucap di sambutan ulang tahun ke-10 Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.

SGO merupakan sebahagian Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bagi perekrutan relawan dan usaha dekati warga emas.

Sihat Menua SG merupakan program nasional untuk membantu warga emas meniti usia senja dengan baik dalam masyarakat.

Semasa Belanjawan 2024, pemerintah mengumumkan untuk memperuntuk $3.5 bilion bagi usaha ini sepanjang 10 tahun akan datang.

Encik Ong turut mengumumkan bahawa khidmat Penjagaan Peribadi Di Rumah Yang Dipertingkat (HPC+) akan diperkenal ke serata Singapura menjelang 2025 untuk terus memperkukuh sokongan penjagaan dalam masyarakat. 

Di bawah khidmat ini, warga emas antara lain boleh dapatkan perkhidmatan untuk menyokong penjagaan mereka dalam masyarakat seperti untuk bantu mereka mandi dan buat kerja rumah.

Khidmat itu juga merangkumi pemantauan 24 jam menggunakan teknologi dan elemen respons untuk mengesan kalau ada kejadian warga emas itu jatuh atau kejadian lain dan ini dapat memastikan warga emas itu boleh menerima penjagaan tepat pada masanya apabila diperlukan.

“Model ini telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan Kementerian Kesihatan (MOH) merancang melaksana perkhidmatan ini di seluruh negara menjelang akhir (2025),” kata Encik Ong.

Khidmat HPC+ kini sedang dirintis di 11 kawasan seperti di Ang Mo Kio, Yishun, Jurong dan Bedok.

Sempena ulang tahun SGO yang ke-10, SGO telah memperbaharui jenamanya kepada “Life Unstoppable” dan juga memberi nafas baru kepada logonya.

Hala tuju baru itu bertujuan memberi inspirasi kepada warga emas untuk meneruskan minat mereka tanpa dihambat usia dan memberi motivasi kepada sukarelawan untuk menyokong masyarakat yang sedang berkembang.

Acara sambutan ulang tahun SGO itu dihadiri sekitar 3,000 Duta Generasi Warga Emas (SGA).

Di acara itu juga, beberapa SGA diiktiraf bagi sumbangan mereka dengan Anugerah Teladan SGA menerusi kategori Platinum, Emas, Perak dan Gangsa, mengiktiraf jumlah tahun mereka berkhidmat mengikut urutan 10, lima, tiga dan dua tahun.

Antara dua SGA yang telah menerima Anguerah Platinum adalah Cik Raunaq Begum Yunus, 58 tahun, dan Cik Zainab Saini, 59 tahun.

Mereka berdua bermula menjadi relawan di rangkaian penduduk masing-masing sebelum menyertai SGO pada 2014.

“Saya tabik dengan pengumuman baru ini kerana ia bermakna lebih banyak bantuan akan dihulurkan kepada warga emas.

“Masih ramai yang tidak tahu mengenai pertolongan yang sedia ada dan peranan saya sebagai relawan SGA adalah untuk membantu,” kata Cik Begum, relawan SGA dari kawasan Marsiling.

Bagi Cik Zainab, relawan SGA dari Tampines Changkat, pula, beliau berkata:

“Selama 10 tahun ini, saya melihat banyak perubahan yang baik. Ini dapat membantu jumlah warga emas yang semakin meningkat di Singapura, termasuk diri saya sendiri.

“Saya harap lebih ramai orang muda dapat tampil menjadi relawan SGA sebagai pelapis relawan sekarang.”

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIC, Encik Dinesh Vasu Dash, yang berkata:

“SGO akan terus menjadi sayap utama untuk mendekati warga emas, memperluas cara kami berhubung (dengan mereka).

“Lebih 51,000 warga emas telah terlibat dalam penglibatan melalui telefon sepanjang satu setengah tahun yang lalu, menunjukkan komitmen kami menyesuaikan diri dengan keperluan mereka yang kian berubah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg