Topik diikuti
Pergi ke BHkuYe Kung: Pastikan kemudahan jagaan kesihatan sedia tangani gelombang Covid-19 mendatang
Ye Kung: Pastikan kemudahan jagaan kesihatan sedia tangani gelombang Covid-19 mendatang
Ye Kung: Pastikan kemudahan jagaan kesihatan sedia tangani gelombang Covid-19 mendatang
SINGAPURA perlu memastikan semua kemudahan penjagaan kesihatannya, seperti rumah penjagaan, hospital masyarakat dan hospital swasta, bersedia untuk menangani pesakit Covid-19 sedang negara ini bersiap untuk menghadapi gelombang mendatang.
Antaranya, ia perlu menambah bilangan katil dan memperbaiki kadar pengambilan vaksin penggalak, terutama di kalangan warga emas.
Demikian dinyatakan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di seminar pelan kerja tahunan kementeriannya semalam.
Singapura sedang bersiap sedia untuk menghadapi gelombang Covid-19 yang didorong oleh subvarian Omicron, BA.4 dan BA.5, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.
Encik Ong berkata, Singapura tidak boleh bersikap sambil lewa walaupun mempunyai perlindungan yang telah ia bangunkan sejauh ini.
"Kami rasa BA.4 dan BA.5 adalah gelombang yang boleh kita harungi. Tetapi jangan ambil sikap sambil lewa, terus bersiap sedia untuknya," kata Encik Ong.
Beliau menambah gelombang seterusnya mungkin menjejas Singapura 'dalam beberapa bulan, mungkin Julai, mungkin Ogos'.
Singapura tidak boleh mengulangi apa yang berlaku semasa gelombang Omicron, di mana banyak kemudahan penjagaan kesihatan tidak dapat menangani pesakit Covid-19 dan mereka terpaksa dihantar ke hospital.
"Setiap kemudahan penjagaan kesihatan perlu bersedia menghadapi Covid-19, untuk dapat menangani jangkitan anda sendiri, menjaga mereka di tempat asal," kata Encik Ong.
"Kerana dengan vaksinasi, kebanyakan pulih tanpa sebarang kemudaratan," tambahnya.
Encik Ong berkata Singapura perlu mencari lebih banyak katil "sekiranya tekanan mula meningkat di hospital kita sekali lagi".
Beliau juga menekankan pentingnya suntikan vaksin penggalak di kalangan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, di mana 88 peratus daripada mereka telah menerima suntikan itu.
Encik Ong turut mengumumkan langkah Singapura untuk mengurangkan kadar orang yang meninggal dunia di hospital dan bukan di rumah atau kemudahan paliatif.
Kadar itu mahu diturunkan dari 61 peratus kini ke 51 peratus dalam masa lima tahun akan datang.
Pengurangan penjagaan akhir hayat dan kematian di hospital itu akan diusahakan MOH dengan kerjasama hospital dan pihak berkepentingan lain dalam empat bahagian utama termasuk sokongan lebih baik kepada pengasuh.
Menurut Encik Ong, penjagaan akhir hayat yang baik bermakna orang yang bakal meninggal dunia itu dikelilingi orang-orang tersayang dan dalam persekitaran yang biasa.
Ini membawa beberapa manfaat, seperti mutu kehidupan yang lebih tinggi dengan kesakitan atau ketidakselesaan diuruskan dengan baik, mengurangkan beban ke atas pengasuh, dan kos penjagaan di hospital yang lebih rendah.
Kos rawatan hospital yang ditanggung seseorang dalam tiga bulan terakhir hayatnya membentuk 50 peratus daripada keseluruhan kos rawatan hospital sepanjang hayatnya, katanya.
Kajian menunjukkan 77 peratus warga Singapura lebih suka dijaga di rumah menjelang akhir hayat mereka, tetapi sebenarnya hanya 20 peratus dapat meninggal dunia di rumah.
