Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Pelajar boleh guna AI, tapi usah ketepikan kemahiran insaniah

Penerima Anugerah Mendaki (Kepujian Kelas Pertama) naik 35 peratus berbanding 2024
Oct 11, 2025 | 3:16 PM
Anugerah Mendaki, Ye Kung, Zaqy, penerima anugerah
(Dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cik Zuraidah Abdullah; Menteri Kesihatan merangkap,Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, berinteraksi bersama penerima Anugerah Mendaki, Encik Muhammad Syafiq Siregar Sahat Siregar, Cik Naeima Maisarah Rumaizi, Cik Alifah Ilyana Jamal dan Encik Muhamad Mamfizam Ismail, pada 11 Oktober. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sedang sistem pendidikan Singapura berubah untuk memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran, adalah penting untuk memastikan golongan pelajar tidak terlalu bergantung kepadanya sehingga mereka kehilangan kemahiran insaniah yang asas.

Ini termasuk kemahiran seperti komunikasi, sifat ingin mencuba, melakukan kesilapan, belajar dan menguasai sesuatu kemahiran, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, pada 11 Oktober.

Pendidik, tegasnya, mesti mampu memanfaatkan teknologi tersebut untuk mengajar dan membimbing pelajar menggunakan AI dengan bijak serta bertanggungjawab.

“Dan sedang kita mendakap teknologi, sentuhan kemanusiaan – empati, kreativiti dan pemikiran kritis – mesti kekal tidak boleh diganti,” tambahnya.

Encik Ong berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan di Pusat Budaya Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam majlis tahunan Anugerah Mendaki.

Anugerah Mendaki 2025 mengiktiraf seramai 529 pelajar Melayu/Islam yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan nasional atau memperoleh kepujian kelas pertama di universiti terkemuka sama ada di dalam atau luar negara.

Ucapan Encik Ong berlatarbelakangkan landskap pendidikan Singapura yang kian berubah, di mana pelajar perlu menempuh masa depan yang dibentuk teknologi, globalisasi, perubahan iklim dan demografi.

Lantas, pembangunan menyeluruh pelajar perlu diperkukuh terutama sekali kesihatan mental dan kesejahteraan mereka yang membentuk asas bagi pembelajaran dan kehidupan yang bermakna, kata Encik Ong.

“Hari ini, golongan muda kita membesar dengan alat bijak – dari kecil, bayi pun tahu bagaimana untuk swipe telefon bijak. Ini meninggalkan kesan mendalam pada pembangunan sosioemosi mereka, dan bagaimana anak muda melihat diri mereka dan berinteraksi bersama orang lain,” ujarnya.

Justeru, sekolah, keluarga dan masyarakat perlu sama-sama menyokong anak muda supaya dapat memupuk individu yang berdaya tahan, berkeyakinan diri dan serba boleh agar mereka mampu mengatasi dan berdaya maju apabila menempuh cabaran hidup.

Di samping itu, pelajar perlu terus dibantu mencapai potensi penuh tidak kira latar belakang atau titik permulaan mereka.

Menurutnya, sistem pendidikan tinggi merupakan satu ekosistem yang merangkumi bukan sahaja kursus, tetapi juga sistem kemasukan, sokongan kaunseling, penempatan latihan industri (internship), sokongan mencari pekerjaan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Usaha mewujudkan pelbagai laluan untuk mencapai kejayaan dalam sistem pendidikan kita adalah teras bagi membantu rakyat Singapura merealisasikan potensi mereka sepenuhnya, serta memastikan meritokrasi berasaskan belas kasihan secara meluas terus berfungsi bagi Singapura.

“Khususnya, kami akan terus mempertingkat sokongan buat pelajar daripada latar belakang mudah terjejas serta mereka yang mempunyai keperluan pendidikan khas,” jelasnya.

Menyentuh tentang peranan Yayasan Mendaki, Encik Ong memuji usaha badan bantu diri itu yang terus menaik taraf kehidupan pelajar dan keluarga Melayu/Islam, antaranya dengan bantuan kewangan dan tuisyen, pemberian biasiswa, program pementoran dan sokongan holistik.

“Pendidikan, sebagai pemangkin penyamarataan sosial yang paling berkesan, merupakan teras kepada kemajuan Singapura sebagai sebuah negara.

“Ia membolehkan setiap warga Singapura merealisasikan potensi mereka tanpa mengira latar belakang, serta memupuk mereka agar menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Mendaki telah menjadi pendukung setia perjuangan ini,” katanya.

Anugerah Mendaki, yang diperkenal pada 1982, telah disampaikan kepada pelajar peringkat PSLE, GCE N, O, dan A serta International Baccalaureate (IB), termasuk Institusi Pengajian Tinggi (IHL) seperti Insitut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.

Daripada 529 pelajar yang menerima Anugerah Mendaki bagi 2025, seramai 119 menerima Anugerah Cemerlang Mendaki (Kepujian Kelas Pertama).

Ini merupakan kenaikan sebanyak 35 peratus berbanding 2024.

Sewaktu acara itu, Mendaki turut menyampaikan anugerah bukan berdasarkan akademik seperti Anugerah Belia Cemerlang Mendaki, Anugerah Pencapaian Khas Cemerlang (Bukan Akademik) dan Biasiswa Bakat Mendaki 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg