Topik diikuti
Pergi ke BHkuYe Kung: Pesakit bakal dapat akses kepada inovasi perubatan baik lebih awal
Ye Kung: Pesakit bakal dapat akses kepada inovasi perubatan baik lebih awal
Pesakit di Singapura bakal mendapat akses lebih awal kepada produk dan alat kesihatan inovatif menerusi pelbagai inisiatif baharu yang diumumkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 12 Oktober.
Mulai awal 2027, salah satu daripada inisiatif tersebut akan memberikan lebih banyak sokongan kepada penaja ujian klinikal.
Ini termasuk khidmat konsultasi lebih awal mengenai hal kawal selia, nasihat yang lebih jelas mengenai keperluan yang relevan, serta sokongan dalam mengenal pasti penyelidik dan menyelaras tapak ujian klinikal.
Tempoh masa kelulusan bagi ujian klinikal risiko lebih rendah yang telah mencapai fasa ketiga juga berpotensi dipendekkan daripada 30 hari pada masa ini kepada hanya 15 hari, kata Encik Ong.
Ujian klinikal fasa ketiga biasanya merupakan peringkat ujian terakhir sebelum butiran ubat dan keputusan ujian klinikal dikemukakan kepada pihak berkuasa kawal selia bagi kelulusan.
Sistem kawal selia penjagaan kesihatan yang baik dapat mewujudkan kestabilan serta kepercayaan, kata Encik Ong semasa majlis pembukaan Persidangan Kawal Selia Kesihatan yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Keputusan mengenai sama ada pemerintah akan memberikan subsidi bagi produk kesihatan inovatif terpilih juga dijangka dapat dicapai dengan lebih pantas.
Dalam ucapan beliau, Encik Ong mengumumkan pelbagai inisiatif di mana Penguasa Sains Kesihatan (HSA) terlibat, yang boleh membantu membawa produk inovatif ke pasaran Singapura dengan lebih cepat.
Beliau turut menyatakan bahawa satu templat standard akan diguna pakai bagi tujuan konsultasi kawal selia dan kelulusan, termasuk bagi ujian klinikal yang dijalankan merentasi beberapa institusi penjagaan kesihatan – sesuatu yang diakuinya sebagai antara cabaran utama dalam pelaksanaan ujian klinikal ketika ini.
“Oleh itu, jangkakan banyak perubahan. Kami memberi perhatian yang sangat dekat... Kami bertekad untuk membuat perubahan ini, dan menjadikan Singapura jauh lebih berdaya saing dalam ujian klinikal,” kata Encik Ong.
Kementerian Kesihatan (MOH) juga dijangka dapat membuat keputusan pembiayaan dengan lebih pantas, seperti pemberian subsidi bagi produk kesihatan inovatif terpilih.
Ini susulan penubuhan laluan keutamaan bagi penilaian teknologi kesihatan (HTA) mulai November ini oleh HSA dan Agensi untuk Keberkesanan Penjagaan (ACE) di bawah MOH.
Bagi produk kesihatan inovatif terpilih, ACE boleh menjalankan HTA secara serentak semasa HSA melakukan penilaian kawal selianya, berbanding proses sedia ada yang perlu menunggu HSA menyelesaikan penilaian terlebih dahulu.
Dengan adanya proses baharu ini, Encik Ong berkata pihak berkuasa berhasrat untuk memendekkan masa yang diperlukan bagi mencapai keputusan HTA yang pertama.
Ia dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan selepas kelulusan kawal selia, berbanding tempoh satu tahun pada masa ini.