Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: PSP berulang kali buat kenyataan palsu mengenai Ceca

Ong Ye Kung berkata PSP menentang globalisasi, FTA meskipun beliau jelaskan dua perkara itu asas penakatan ekonomi Singapura
Jul 7, 2021 | 5:30 AM
"Rakyat Singapura bimbang tentang pekerjaan, persaingan asing, dan juga kesan jumlah besar warga asing yang bekerja dan hidup di sini. Ini adalah keprihatinan berasas yang kami akan tangani. Namun, jika kita menyalahkan Ceca, itu tidak akan menyelesaikan masalah kita tetapi sebaliknya, menjadikannya lebih buruk." - Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
"Rakyat Singapura bimbang tentang pekerjaan, persaingan asing, dan juga kesan jumlah besar warga asing yang bekerja dan hidup di sini. Ini adalah keprihatinan berasas yang kami akan tangani. Namun, jika kita menyalahkan Ceca, itu tidak akan menyelesaikan masalah kita tetapi sebaliknya, menjadikannya lebih buruk." - Perdana Menteri Lee Hsien Loong. -

PARTI Kemajuan Singapura (PSP) telah berulang kali membuat kenyataan palsu bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) India-Singapura telah memberikan karyawan India kebebasan untuk datang dan bekerja di Singapura, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Encik Ong dalam kenyataan menteri mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) di Parlimen semalam berkata selama beberapa bulan kini, PSP mendakwa perjanjian FTA dan Ceca telah membawa kepada kemasukan karyawan dari India yang tidak terkawal, dan menggantikan rakyat Singapura dalam pekerjaan mereka, dan membawa semua jenis gejala sosial.

"Ini adalah hujah yang nampak terlalu mudah di mana pekerja yang menghadapi cabaran di tempat kerja mereka boleh kenal pasti, dan telah menimbulkan banyak emosi. Laman bertemakan Ceca telah muncul, dipenuhi dengan pandangan xenofobia yang membimbangkan mengenai imigran dari India.

"Kata-kata perlahan-lahan menjadi perbuatan, dan pandangan toksik bertukar menjadi serangan lisan dan fizikal terhadap orang India, termasuk rakyat kita sendiri. Adalah menyedihkan bahawa isu serius berkaitan kesejahteraan ekonomi negara dan pekerja kita telah jadi begini," kata beliau.

Dalam bahas menyusuli kenyataan menteri itu, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan anggota PSP, Encik Leong Mun Wai, berkata PSP tidak menentang FTA dan memahami kepentingan FTA bagi Singapura sebagai sebuah ekonomi terbuka dan negara kecil. Namun, beliau berkata mereka prihatin tentang kesannya kepada Singapura.

Encik Leong juga telah bertanya sama ada pergerakan individu, iaitu kemasukan warga negara asing ke Singapura, digunakan sebagai salah satu cip tawar-menawar dalam perundingan FTA.

Beliau juga berkata tujuan PSP menimbulkan soal tenaga kerja asing dan FTA adalah kerana ia melibatkan mata pencarian dan pekerjaan rakyat Singapura.

Membalas, Encik Ong berkata selepas mendengar hujahan Encik Leong, beliau mendapati PSP menentang globalisasi dan FTA meskipun beliau telah menjelaskan bahawa dua perkara itu merupakan asas penakatan ekonomi Singapura.

Encik Ong menambah PSP juga tidak menarik balik kepalsuan dan dakwaan bahawa Ceca telah memberikan karyawan India kebebasan untuk datang dan bekerja di Singapura.

"Anda rasakan FTA dan Ceca, meskipun kami telah memberikan penjelasan, membiarkan karyawan India masuk ke Singapura dengan bebas. Saya rasa itu adalah pendirian anda. Tolong buktikan saya salah. Tetapi setelah mendengar anda, saya takut ini adalah pendirian anda," kata beliau.

Encik Ong kemudian turut bertanya dua lagi soalan kepada Encik Leong dan NCMP yang juga anggota PSP, Cik Hazel Poa, sama ada mereka bersetuju atau tidak FTA, termasuk Ceca, adalah penting bagi penakatan ekonomi Singapura, dan jika mereka bersetuju Ceca tidak membenarkan kemasukan karyawan India ke Singapura secara bebas.

Menjawab, Encik Leong berkata jawapan bagi dua soalan itu perlu lebih dibahaskan dan dikaji, tetapi beliau menekankan bahawa PSP menyokong FTA.

"Setelah mendengar bahawa pekerjaan dan mata pencarian rakyat kita tidak digunakan sebagai cip tawar-menawar, kami amat yakin kepentingan rakyat Singapura dijaga. Namun, sama ada Ceca telah menyumbang kepada kemasukan yang banyak warga negara dari negara itu, saya rasa kita perlu lebih mengkajinya," kata beliau.

Encik Ong kemudian merumuskan bahawa jawapan Encik Leong itu menunjukkan PSP bersetuju FTA, termasuk Ceca, adalah penting bagi penakatan ekonomi Singapura, dan pergerakan individu tidak digunakan sebagai cip tawar-menawar dan tidak ada kemasukan karyawan India ke Singapura secara bebas.

Encik Leong bagaimanapun berkata terdapat salah tafsir dalam rumusan Encik Ong itu kerana perlu ada kajian sama ada Ceca telah menyumbang kepada kemasukan yang banyak PMET asing ke negara ini.

Membalas, Encik Ong berkata "saya rasa Encik Leong gagal membuat keputusan".

"Saya berpendapat anda tidak akan menarik balik dakwaan...tetapi sekurang-kurangnya anda katakan FTA dan Ceca penting bagi penakatan kita tetapi anda terus mendakwa sedemikian, meskipun kami telah berikan penjelasan. Maka, tidak ada pilihan. Kita perlu biarkan perkara ini seperti itu," kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang merupakan ketua perunding bagi Ceca, pula menjelaskan bahawa pergerakan individu merupakan satu bab penting dalam Ceca tetapi ia tidak digunakan sebagai cip tawar-menawar untuk tukar beli apa saja benda lain yang diperolehi.

"Anda tanyakan apakah cip tawar-menawar Singapura? Jawapan jujurnya adalah amat sedikit. Kita hanya ada tarif ke atas tiga barang - bir, bir hitam, samsu (wain Cina). Apakah itu sebagai cip tawar-menawar?" soal Encik Heng.

"Saya rasa Encik Leong tidak harus berpendapat, anda katakan anda berharap pemerintah mengutamakan kepentingan rakyat kita. Tentu sekali (kami mengutamakan kepentingan rakyat). Mengapakah kami merunding perdagangan bebas dan mengapakah kami melakukan perkhidmatan awam ini jika ia bukan demi mengutamakan kepentingan rakyat?" tambah beliau.

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, pula berkata sekiranya lebih banyak maklumat seperti jumlah pekerja yang dipindahkan dari syarikat ke syarikat didedahkan lebih awal, kebanyakan salah faham mengenai Ceca dan isu seperti xenofobia boleh ditangani.

Membalas, Encik Ong berkata beliau mengambil serius pandangan Encik Singh bahawa kepalsuan sedemikian boleh dihentikan dengan lebih awal sekiranya maklumat sedemikian didedahkan.

Namun, oleh sebab "kami bekerja dalam birokrasi, ada data yang sulit, rahsia", dan pemerintah tidak bebas untuk mendedahkannya.

"Namun, apa yang anda katakan adalah benar. Adalah lebih baik bagi beberapa maklumat didedahkan awal, dan kita boleh lanjutkan perbincangan. Dan terutamanya, seperti anda katakan, apabila ia berkenaan isu seperti perkauman atau xenofobia, adalah lebih baik untuk menghentikannya awal," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg