Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: TCM boleh main peranan dalam SG Lebih Sihat

Oct 28, 2024 | 12:44 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berucap di majlis makan malam pengumpulan dana sempena ulang tahun ke-50 Persatuan Klinik Percuma Awam, yang diadakan di Hotel Orchard pada 27 Oktober.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berucap di majlis makan malam pengumpulan dana sempena ulang tahun ke-50 Persatuan Klinik Percuma Awam, yang diadakan di Hotel Orchard pada 27 Oktober. - Foto ST

Pengamal perubatan tradisional Cina (TCM) boleh bekerjasama dengan doktor mengamalkan perubatan Barat di bawah program SG Lebih Sihat yang bakal diperluaskan.

Kementerian Kesihatan (MOH) juga sedang mencari jalan untuk “menggabungkan dengan berhati-hati” rawatan TCM tertentu ke dalam klinik dan hospital awam.

Pesakit juga boleh mendapat subsidi untuk rawatan sedemikian, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 27 Oktober.

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-50 Persatuan Klinik Percuma Awam di Hotel Orchard, Encik Ong turut menghuraikan peranan bagi pengamal TCM dalam SG Lebih Sihat, skim penjagaan kesihatan pencegahan nasional yang dilancarkan pada Julai 2023, lapor The Straits Times (ST).

Skim itu menggalakkan orang ramai mendaftar dengan klinik keluarga untuk mengambil langkah peribadi ke arah kesihatan yang lebih baik.

Lebih satu juta rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) telah mendaftar dengan SG Lebih Sihat, termasuk satu daripada tiga daripada mereka yang berusia antara 40 dengan 59 tahun.

TCM mengambil pendekatan holistik terhadap kesihatan dan memberi lebih tumpuan kepada penjagaan pencegahan, justeru harus mempunyai peranan dalam SG Lebih Sihat.

“Ini bukan keputusan untuk pemerintah atau doktor Barat buat. Ia sudah diputuskan oleh ramai rakyat Singapura, yang memilih TCM,” kata Encik Ong.

“Tugas kami adalah untuk menyatukan usaha antara SG Lebih Sihat dengan TCM, dan memastikan penjagaan pencegahan yang berkualiti tinggi dan sesuai dapat disampaikan kepada seramai mungkin warga Singapura,” tambahnya.

Namun, beliau menegaskan bahawa jika pengamal TCM terlibat dalam SG Lebih Sihat yang diperluaskan, sebahagian daripada yuran yang dibayar oleh pemerintah di bawah skim itu perlu diberikan kepada mereka.

Encik Ong menggesa orang ramai supaya bersikap terbuka mengenai topik itu, sambil menambah:

“Lagipun, MOH membelanjakan tambahan $400 juta setahun untuk SG Lebih Sihat, dan kira-kira $110 juta dibelanjakan melalui perubatan umum (GP), termasuk yuran perkhidmatan dan subsidi penjagaan pencegahan, seperti saringan dan vaksinasi.”

Jumlah itu dijangka meningkat seiring dengan perkembangan SG Lebih Sihat dan peningkatan jumlah pendaftaran, katanya.

Encik Ong menyenaraikan tiga langkah untuk membangunkan kerjasama antara pengamal GP dengan pengamal TCM.

Pertama, MOH akan berunding dengan kededua kumpulan mengenai model kerjasama untuk menetapkan peranan dan aliran kerja yang sewajarnya di antara mereka.

Lembaga Pengamal TCM juga sedang bekerjasama dengan MOH dalam rangka kerja akreditasi untuk pengamal TCM.

Rangka kerja itu akan mengiktiraf mereka yang memenuhi piawaian profesional dan kecekapan yang lebih tinggi, dan boleh digunakan untuk menentukan kelayakan menyertai skim SG Lebih Sihat yang diperluaskan.

Ia dijangka dilancarkan pada 2026, kata Encik Ong.

Mengenai pendidikan dan kelayakan TCM, Encik Ong mengatakan bahawa keperluan untuk mendapatkan lesen pengamalan TCM akan diperkemas.

Sebagai permulaan, graduan daripada program ijazah Sarjana Muda Perubatan Cina Universiti Teknologi Nanyang (NTU) tidak lagi perlu mengambil Peperiksaan Pendaftaran Pakar Perubatan TCM Singapura.

“(Peperiksaan ini) menyebabkan ramai graduan gagal, dan kemudian mereka tidak boleh mendapatkan lesen untuk berlatih,” kata Encik Ong.

Graduan daripada dua lagi sekolah TCM Singapura – Kolej Perubatan Tradisional Cina Singapura dan Institut Pengajian Perubatan Cina – boleh dikecualikan daripada bahagian teori peperiksaan tersebut.

Namun, kecekapan klinikal semua graduan masih perlu dinilai untuk mendapatkan sijil amalan mereka, kata Encik Ong.

“Pendekatan yang diperkemas ini bukan sahaja akan mengurangkan beban pelajar, ia (juga) membolehkan calon pengamal TCM menumpukan usaha mereka dalam mengasah kemahiran klinikal dan lebih bersedia untuk penilaian kecekapan klinikal,” tambahnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg