Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yeo’s hentikan 25 pekerja susulan penutupan kilang Oatly S’pura

Dec 19, 2024 | 12:54 PM
Oatly, pengeluar dari Sweden itu telah mengumumkan pada 18 Disember rancangannya untuk menutup kilang di Singapura sebagai usaha untuk meningkatkan struktur kos masa depan syarikat serta mengurangkan keperluan perbelanjaan modal pada masa akan datang.
Oatly, pengeluar dari Sweden itu telah mengumumkan pada 18 Disember rancangannya untuk menutup kilang di Singapura sebagai usaha untuk meningkatkan struktur kos masa depan syarikat serta mengurangkan keperluan perbelanjaan modal pada masa akan datang. - Foto ST

Pengilang minuman Yeo Hiap Seng akan memberhentikan 25 daripada sejumlah 41 pekerja yang terlibat secara langsung dalam operasi Oatly.

Ini susulan keputusan Oatly untuk menghentikan operasi pengeluarannya di Singapura.

“Yeo’s, dengan sedaya upaya, cuba menempatkan semula seramai mungkin pekerja, dan berjaya menempatkan 16 pekerja dalam peranan lain,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang disertakan dengan pemfailan bursa pada 19 Disember.

Pekerja yang diberhentikan bakal menerima pakej pampasan berdasarkan gaji dan tempoh perkhidmatan mereka, tambah syarikat itu.

Yeo’s menjelaskan bahawa pekerja yang terjejas telah diambil secara khusus untuk menyokong pengeluaran Oatly di kilang Yeo’s yang terletak di Senoko, dan pemberhentian itu adalah hasil keputusan daripada penilaian Oatly yang telah dijalankan terhadap rangkaian bekalannya, lapor The Straits Times.

Pengeluar dari Sweden itu telah mengumumkan pada 18 Disember rancangannya untuk menutup kilang di Singapura sebagai usaha untuk meningkatkan struktur kos masa depan syarikat serta mengurangkan keperluan perbelanjaan modal pada masa akan datang.

Yeo’s memaklumkan ia telah bekerjasama dengan Oatly di Singapura sejak 2019.

“Walaupun operasi pengeluaran akan dihentikan, syarikat itu tetap komited untuk menyokong pengedaran produk Oatly di Singapura dan Malaysia,” kata Yeo’s.

Syarikat itu menambah ia telah memaklumkan Kesatuan Pekerja Makanan, Minuman dan yang Berkaitan (FDAWU) selepas pengumuman Oatly pada 18 Disember.

Yeo’s juga menjelaskan pihaknya telah bekerjasama dengan kesatuan tersebut sepanjang proses ini bagi memastikan kepatuhan garis panduan tiga pihak dan pampasan yang adil diberikan kepada pekerja yang terjejas, selaras dengan perjanjian kolektif syarikat dan kesatuan.

FDAWU dan Yeo’s akan bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bagi sokongan pencarian pekerjaan dan panduan kerjaya kepada mereka yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yeo’s, Encik Ong Yuh Hwang, meluahkan rasa kesal atas keputusan tersebut.

“Keutamaan kami adalah untuk menyokong rakan sekerja dan mengurangkan tekanan serta kebimbangan mereka sepanjang tempoh ini.

“Dengan itu, kami akan bekerjasama rapat dengan kesatuan bagi memastikan pekerja yang terjejas menerima semua sumber yang diperlukan dalam menghadapi masa yang mencabar ini,” kata Encik Ong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg