Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yuran bulanan pungut sampah naik tahun depan

Dec 1, 2021 | 5:30 AM
TAMPUNG KOS: Dalam satu kenyataan, NEA berkata kenaikan yuran itu perlu demi menampung kos penyediaan khidmat kutipan sampah dan kitar semula termasuk bagi tenaga kerja, sejajar dengan peningkatan kos operasi. - Foto fail
TAMPUNG KOS: Dalam satu kenyataan, NEA berkata kenaikan yuran itu perlu demi menampung kos penyediaan khidmat kutipan sampah dan kitar semula termasuk bagi tenaga kerja, sejajar dengan peningkatan kos operasi. - Foto fail -

MULAI tahun depan, bayaran yuran kutipan sampah bulanan akan naik kepada $9.63 - termasuk bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kondominium yang tidak memilih dikecualikan daripada skim pengumpulan sampah awam - dan $32.07 bagi rumah berhalaman.

Bayaran yang dikenakan itu termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ia meningkat sebanyak $1.38 sebulan bagi keluarga yang tinggal di apartmen, dan naik $4.60 sebulan bagi mereka yang tinggal di hartanah berhalaman.

Dalam satu kenyataan semalam, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan kenaikan yuran itu perlu demi menampung kos penyediaan khidmat kutipan sampah dan kitar semula termasuk bagi tenaga kerja, sejajar dengan peningkatan kos operasi.

Yuran kutipan sampah disemak sekali setiap dua tahun. Kali terakhir ia disemak pada 2017 dan kekal tidak berubah sejak itu.

NEA menambah, yuran kutipan sampah itu boleh ditampung oleh Baucar GST - rebat U-Save.

Pemberian seterusnya rebat U-Save akan dilakukan pada Januari 2022.

Skim itu membantu isi rumah HDB yang layak dengan kos utiliti mereka, termasuk yuran kutipan sampah.

Selain itu, keluarga yang menghadapi masalah kewangan boleh menghubungi Pejabat Khidmat Sosial (SSO) terdekat untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, NEA menyatakan pihaknya akan terus bekerjasama dengan rakan berkepentingan untuk mengubah sektor itu dan membangunkan budaya '3R' - mengurangi, mengguna semula, dan mengitar semula - di Singapura, untuk mencapai visi menjadi Negara Sifar Sisa.

Budaya 3R mengurangkan tekanan pada sistem pelupusan sisa di negara ini dan memastikan pengurusan sisa isi rumah yang mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg