KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) berkata semalam ia tidak akan membuat sebarang perubahan ke atas yuran sekolah bagi warga Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pelajar dari negara Asean.
Bagaimanapun, akan ada kenaikan sekitar 3 peratus dalam yuran bagi pelajar asing bukan dari negara Asean di sekolah pemerintah dan sekolah bantuan pemerintah, yang akan berkuatkuasa mulai Januari tahun depan.
Para pelajar itu akan membayar $25 hingga $50 lebih tinggi setiap bulan.
Perubahan itu sebahagian daripada semakan tetap MOE ke atas yuran sekolah.
Pendidikan sekolah rendah percuma bagi warga Singapura manakala pelajar di sekolah menengah dan peringkat prauniversiti masing-masing membayar yuran bulanan $5 dan $6.
Bagi PR, setiap pelajar membayar $205 sebulan tahun ini dan tahun depan, manakala pelajar antarabangsa dari negara Asean membayar $465 sebulan tahun ini dan tahun depan.
Pelajar antarabangsa dari negara bukan Asean membayar $750 sebulan tahun ini dan perlu membayar $25 lebih tinggi tahun depan, menjadi $775 sebulan.
Di peringkat sekolah menengah, PR membayar yuran sama, iaitu $380 sebulan tahun ini dan tahun depan manakala pelajar antarabangsa dari negara Asean membayar $780 sebulan.
Yuran bagi pelajar antarabangsa dari negara bukan Asean di peringkat menengah adalah $50 lebih tinggi tahun depan, iaitu $1,450 sebulan, berbanding $1,400 sebulan tahun ini.
Di peringkat prauniversiti pula, pelajar antarabangsa bukan dari negara Asean perlu membayar $50 lebih tinggi tahun depan, daripada $1,750 sebulan tahun ini.
Yuran rampaian bulanan tidak berubah tahun depan bagi semua pelajar, iaitu kekal $6.50 bagi murid sekolah rendah, $10 bagi penuntut sekolah menengah, dan $13.50 bagi pelajar prauniversiti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg