Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zakat Muis bantu golongan memerlukan dari semua peringkat usia

Mar 8, 2025 | 5:30 AM
1e07333c-2b66-4dde-bb43-570cb7a2eaec
-

Setiap tahun, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengagihkan hampir 40 peratus daripada dana zakat yang dikutip menerusi pusat-pusat kutipan zakat bertauliah dan wadah dalam talian www.zakat.sg, kepada keluarga dan individu memerlukan.

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar dana membentuk bantuan bulanan yang diberikan kepada lebih 6,000 keluarga memerlukan yang layak. Antara penerima wang zakat bulanan ini termasuk keluarga yang mempunyai anak kecil, serta keluarga yang sedang menjalani persaraan atau tidak aktif bertugas akibat sebab-sebab tertentu seperti isu kesihatan.

Penerima agihan bulanan zakat Muis dibahagikan kepada dua kumpulan – 50 peratus merupakan penerima jangka panjang manakala bakinya penerima jangka singkat.

Menurut Penolong Pengarah, Pembangunan Sosial Zakat di Muis, Encik Mohamad Zulfadhli Gazali, skim bantuan zakat yang dikelolakan Muis membantu mereka yang memerlukan dari semua peringkat usia.

“Program Sokongan Zakat yang ditadbir Muis bertujuan meneroka cara-cara selain menyediakan bantuan kewangan bagi menyokong pelbagai keperluan para penerima zakat. Ini termasuk bekerja rapat dengan masjid-masjid untuk menganjurkan pelbagai program termasuk program bantuan persekolahan, pembelajaran Islam, meningkatkan kemahiran untuk ibu bapa, serta pembaikan rumah. Kumpulan ini lazimnya menerima bantuan buat jangka masa yang singkat kerana bantuan yang dihulurkan membolehkan mereka bangkit dan berdikari.

“Bagi golongan yang berusia, zakat yang dihulurkan lebih lama dan selalunya diselarikan dengan program-program penuaan aktif bagi memastikan mereka menerima bantuan yang sesuai dengan fasa dan keperluan kehidupan mereka,” ujar Encik Mohamad Zulfadhli. Beliau menambah selain zakat, Muis turut menyelaraskan agihan wakaf yang membantu menguruskan hal ehwal pengebumian bagi individu penerima zakat yang meninggal dunia, sekiranya keluarga mereka tidak berkemampuan.

Pada tahun lalu, sekitar $71 juta dalam bentuk dana zakat diagihkan kepada kesemua lapan asnaf yang layak menerima mengikut syarak. Jumlah agihan ini adalah yang terbesar dicatatkan Muis dan ia mencerminkan bantuan lebih besar yang diperlukan golongan memerlukan bagi mengharungi cabaran kos kehidupan yang semakin meningkat.

Daripada jumlah tersebut, hampir 40 peratus atau $27.3 juta diagihkan bagi pembangunan sosial dan bantuan untuk asnaf fakir dan miskin. Baki agihan diperuntuk bagi pembangunan dan bantuan madrasah dan asatizah; bimbingan agama, pendidikan Islam dan pendampingan belia; dan program agama, pengurusan masjid serta pembangunan amil. Program-program ini meliputi semua lapan asnaf yang berhak menerima zakat.

Encik Mohamad Zulfadhli menambah agihan dalam bentuk bantuan pendidikan Islam merupakan satu lagi peruntukan besar bagi membolehkan anak-anak dan para pelajar dari keluarga kurang berkemampuan mendapatkan pendidikan Islam yang sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa bantuan zakat adalah bersifat pelengkap, di mana pihaknya akan menghubungkan keluarga yang layak dengan skim bantuan nasional yang menawarkan sokongan yang lebih menyeluruh.

“Sumber yang ada di peringkat nasional lebih besar. Dengan merujukkan keluarga ini kepada skim-skim nasional yang ada, ia membolehkan mereka mendapat sokongan yang lebih menyeluruh, seperti skim pemadanan kerja dan skim bantuan lain seperti yuran dan buku sekolah percuma.

“Harapan besar Muis ialah untuk menyokong setiap keluarga untuk meningkatkan daya tahan mereka agar mereka boleh lebih berdikari, dan pada satu masa nanti, menjadi penyumbang zakat,” kata Encik Mohamad Zulfadhli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg