Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Belia mampu jadi benteng pertahanan terkuat tangani pengganasan
Anak muda faham bagaimana masyarakat dalam talian dapat bentuk pandangan, wujudkan rasa kebersamaan
Zaqy: Belia mampu jadi benteng pertahanan terkuat tangani pengganasan
Media sosial yang kian berkembang pesat telah menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah golongan belia yang ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas kes radikalisme, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Merujuk kepada Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura (STTAR) 2026 yang telah dikeluarkan September lalu, beliau berkongsi bahawa enam daripada lapan kes baharu yang ditangani ISA melibatkan belia berusia 20 tahun dan ke bawah.
Malah, jumlah kes ISA yang melibatkan belia sepanjang lima tahun lalu telah meningkat hampir empat kali ganda – daripada empat kes antara 2017 dengan 2021 kepada 15 kes sejak 2022.
Menurut Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), belia bukan sahaja merupakan golongan yang mudah terpengaruh dengan ekstremisme dalam talian, malah turut mampu menjadi benteng pertahanan Singapura yang paling kuat dalam mendepaninya.
“Angka (laporan STTAR) ini serius. Namun, saya tidak mahu kita melihat golongan muda hanya sebagai pihak yang mudah terpengaruh dengan ekstremisme dalam talian,” ujarnya.
Hal tersebut kerana golongan belia memahami dunia maya dalam cara yang tidak ramai golongan dewasa dapat fahami.
Pada masa yang sama, mereka juga mengerti bagaimana masyarakat dalam talian dapat membentuk pandangan dan mewujudkan rasa kebersamaan.
“Saya percaya anda (belia) boleh juga jadi (benteng) pertahanan kita yang paling kuat dalam mendepaninya.
“Anda tahu bagaimana perbualan bergerak merentas wadah serta bagaimana masyarakat dalam talian membentuk pandangan dan mencipta rasa kebersamaan,” kata Encik Zaqy sewaktu menghadiri Forum Belia Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) di Politeknik Republic pada 17 November.
Dianjurkan oleh Yayasan Mendaki dengan kerjasama ACG serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), forum belia itu bertajuk ‘Terperangkap dalam Media Sosial, Melindungi Belia Daripada Ekstremisme Dalam Talian’.
Forum belia itu bertujuan memperkasa belia dalam mengemudi landskap digital yang dibentuk media sosial dan kecerdasan buatan (AI), di mana pendedahan berulang terhadap kandungan berbahaya mampu membiasakan pemikiran ekstremis.
Forum tersebut dihadiri sekitar 150 pelajar daripada pelbagai institut pengajian tinggi termasuk madrasah, politeknik, institut pendidikan teknikal dan universiti.
Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang juga Pengerusi Masjid Khadijah, Ustaz Dr Mohamed Ali, memberitahu Berita Harian (BH), RRG berdepan dengan cabaran dalam memastikan anak muda mempunyai kemahiran untuk berfikir dan membezakan bahawa tidak semuanya yang timbul dalam media sosial itu betul dan harus dipercayai.
Dalam mengekang penyebaran fahaman radikal itu, beliau berpandangan bahawa belia sendiri wajar memainkan peranan dalam menyebarkan fahaman yang betul.
“Dengan kepakaran belia dalam media sosial, mereka boleh berperanan untuk membidas fahaman ataupun naratif yang salah.
“Mereka boleh menjadi ejen ataupun individu yang menyebarkan ‘suara kesederhanaan’ dan fahaman yang betul melalui media sosial,” jelas beliau.
Pengerusi ACG yang juga Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, turut berkongsi langkah dan kemahiran tambahan yang dapat dilaksanakan beberapa pihak lain bagi membanteras radikalisme dalam kalangan belia.
“Antara kemahiran yang golongan asatizah dapat perkasakan ialah cara mereka dekati belia dengan menggunakan bahasa dan lenggok perbualan belia agar tidak berlaku jurang antara mereka.
“Ini dapat mengizinkan asatizah untuk bekerjasama dengan belia dan sekali gus menghasilkan kandungan dalam talian yang lebih sesuai dengan belia,” ujar beliau.