Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy hadiri Dialog Manama di Bahrain

Nov 21, 2022 | 5:30 AM
Encik Zaqy Mohamad
Encik Zaqy Mohamad -

MENTERI Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berada di Bahrain selama tiga hari hingga semalam untuk menghadiri Dialog Manama Ke-18.

Dialog tahunan itu, anjuran Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik, merupakan sebuah forum keselamatan utama bagi pegawai pertahanan, keselamatan dan ehwal luar kanan dari seluruh dunia membincangkan cabaran keselamatan di Timur Tengah dan di luar rantau itu.

Singapura telah menghadiri Dialog Manama sejak ia dimulakan pada 2004, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataannya semalam.

Sebagai sebahagian daripada lawatannya itu, Encik Zaqy menghadiri majlis jamuan malam Dialog Manama dihoskan Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Bin Hamad Al Khalifa, dan jamuan tengah hari oleh Menteri Ehwal Luar Bahrain, Dr Abdullatif bin Rashid Al Zayani.

Encik Zaqy juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Panglima Besar Angkatan Pertahanan Bahrain, Marsyal Tentera Darat Shaikh Khalifa Bin Ahmed Al Khalifa, dan Penasihat kepada Raja bagi Ehwal Diplomatik, Shaikh Khalid Bin Ahmed Al Khalifa, serta Menteri Buruh dan Pembangunan Sosial, Encik Jameel Bin Mohammed Ali Humaidan.

"Mereka mengesahkan hubungan dua hala dan pertahanan mesra antara Singapura dengan Bahrain," kata Mindef.

Di luar Dialog Manama itu, Encik Zaqy bertemu dengan beberapa pemimpin lain, termasuk Panglima Tentera Udara Australia, Marsyal Udara Robert Chipman; Penolong Menteri Pertahanan bagi Hubungan Antarabangsa Mesir, Mejar Jeneral Mohamed Salahedin Hasan; dan Menteri Negara di Pejabat Ehwal Luar Persekutuan Jerman, Dr Tobias Lindner.

Beliau juga bertemu dengan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Dr Nayef Falah Al-Hajraf; Setiausaha Agung Liga Negara-Negara Arab, Dr Ahmed Abo El Gheit; dan Timbalan Pengarah Utama Perisikan Nasional Amerika Syarikat, Dr Stacey Dixon.

Semasa pertemuan tersebut, Encik Zaqy telah bertukar-tukar pandangan dengan mereka mengenai perkembangan keselamatan serantau dan sejagat, dan mengesahkan hubungan pertahanan dua hala.

Selain pertemuan dua hala tersebut, Encik Zaqy juga memberikan ucapan semalam di sesi pleno Dialog Manama mengenai "Keselamatan Titik Sekatan Maritim Global", di mana beliau mengetengahkan landskap ancaman keselamatan maritim yang berkembang, dan bagaimana negara-negara boleh bekerja rapat bersama untuk menangani isu tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg