Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy lawat Arab Saudi, Mesir kemuka kuota haji tambahan, perkukuh kerjasama
Lawatan rasmi tujuh hari perkukuh hubungan dua hala, persiapan haji 2027, pendidikan tinggi Islam dan bantuan kemanusiaan
Zaqy lawat Arab Saudi, Mesir kemuka kuota haji tambahan, perkukuh kerjasama
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, sedang mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Mesir dari 8 hingga 14 November.
Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), fokus utama lawatan itu ialah urusan persiapan haji 2027, pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh kerjasama kemanusiaan dan dua hala.
Beliau diiringi Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, bersama beberapa pegawai kanan lain.
Di Jeddah, Encik Zaqy akan menghadiri Persidangan dan Pameran Haji tahunan yang dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Saudi.
Acara tersebut menghimpunkan wakil negara peserta untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan haji.
Di samping persidangan tersebut, Encik Zaqy dijadual bertemu Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, untuk membincangkan persiapan musim haji akan datang yang dijangka berlangsung pada Mei 2027.
Beliau juga akan menyampaikan permohonan bagi kuota tambahan bagi musim haji 2028 demi memenuhi aspirasi bakal jemaah setempat dengan lebih baik.
Permohonan itu bersandarkan rekod cemerlang Singapura dalam pengurusan haji, termasuk pengiktirafan Labbaitum yang diterimanya pada 2023, 2025 dan 2026.
Kedua-dua menteri akan turut memeterai Perjanjian Haji untuk memuktamadkan peruntukan kuota haji Singapura bagi 2027.
Semasa berada di Kaherah, Encik Zaqy akan bertemu para ulama serta rakan kerjasama dalam pendidikan tinggi Islam, termasuk rakan kerja dan anggota Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Beliau juga akan meluangkan masa bersama pelajar Singapura yang sedang mengikuti pengajian Islam di Mesir.
Selain itu, Encik Zaqy akan bertemu dengan rakan sejawatannya di Mesir serta rakan badan kemanusiaan di sana untuk mengeratkan hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama antara Singapura dengan Mesir serta memperkukuh kerjasama dalam bidang agama dan kemanusiaan.
Lawatan ke Mesir itu turut memanfaatkan momentum pelancaran inisiatif SG for Humanity pada 5 November, yang termasuk menyokong usaha badan kemanusiaan Singapura yang mengambil bahagian dan memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan kerjasama di Mesir.