Terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk mengisi pelbagai peranan dalam sektor sukan di Singapura, memandangkan pengurusan sukan merupakan satu bidang yang sedang berkembang, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Beliau, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, menambah bahawa Singapura bukan sahaja memerlukan atlet hebat.

Malah, negara ini juga memerlukan jurulatih, pengurus, mentor, dan pemimpin yang mampu membangunkan generasi akan datang.

Lantaran itu, terdapat pelbagai laluan lain yang dapat dimanfaatkan untuk seseorang menyumbang kepada pembangunan sukan di sini, selain menjadi atlet semata-mata, ujarnya.

“Terdapat keperluan yang semakin meningkat terhadap individu yang mempunyai kebolehan untuk memimpin sebuah pasukan, membangunkan bakat, mengurus program dan menyumbang kepada ekosistem sukan yang lebih luas.

“Ekosistem sukan kita memerlukan golongan karyawan dalam pelbagai bidang – termasuk sukan berprestasi tinggi, pembangunan atlet, pertandingan, penganjuran acara, pemasaran dan pentadbiran sukan,” kata Encik Zaqy.

Beliau berkata demikian semasa berucap di siri perbincangan Rangkaian Karyawan (PN) Mendaki di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) di Paya Lebar pada 20 November.

Acara kali ini menyaksikan dua sesi perbincangan yang berlangsung secara serentak – sesi pertama menyentuh berkenaan sektor sukan manakala sesi kedua terkait dengan sektor teknologi.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sekitar 200 peserta merangkumi pemimpin industri, golongan karyawan dan belia, menyertai sesi perbincangan tersebut, di samping sesi rangkaian.

Ia julung-julung kalinya siri perbincangan PN bagi sukan diadakan, selepas Mendaki mengumumkan pada Julai bahawa ia memperluaskan PN kepada tiga sektor baharu iaitu sukan, pendidikan dan keusahawanan.

Ini sekaligus menambah jumlah sektor PN daripada 13 kepada 16 secara keseluruhan.

Sesi perbincangan bagi sektor sukan bertajuk Pencetus Perubahan: Kepimpinan dalam Sukan dan Laluan Lain, manakala sesi untuk sektor teknologi bertajuk Lebih Daripada Sekadar Gembar-gembur: Mengubah AI (kecerdasan buatan) menjadi Impak Dunia Nyata.

Ia disampaikan oleh jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Encik Gavin Lee dan pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter lari berpagar wanita, Cik Kerstin Ong, selaku anggota panel.

Sesi tersebut dikendalikan oleh bekas atlet kebangsaan dalam sukan pertahanan diri Jiu-jitsu, yang juga penerbit podcast Berita Harian (BH) NoTapis, Cik Natasha Hazirah Mustafa.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (paling kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Feroz Akber (paling kanan), bertukar pandangan dengan anggota panel selepas sesi perbincangan Rangkaian Karyawan (PN) Mendaki pada 20 November.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (paling kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Feroz Akber (paling kanan), bertukar pandangan dengan anggota panel selepas sesi perbincangan Rangkaian Karyawan (PN) Mendaki pada 20 November. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Menyentuh berkenaan teknologi pula, Encik Zaqy berkata kewujudan AI sememangnya sesuatu yang dapat mengubah kehidupan. Namun demikian, nilainya bergantung pada penggunaan praktikal dan pemikiran inovatif.

Beliau berkata: “Nilai sebenar AI terletak pada cara kita menggunakannya untuk menyelesaikan masalah sebenar, mewujudkan peluang, dan menambah baik (mutu) kehidupan.”

Beliau menukil usaha yang telah dilakukan oleh pengasas bersama syarikat AI, Plouton AI, Encik Sarfaz Shahid dan Encik Furqan Kidwai, sebagai contoh bagaimana teknologi dan semangat keusahawanan boleh digabungkan untuk merealisasikan idea kepada satu penyelesaian praktikal.

Encik Sarfaz dan Encik Furqan juga adalah anggota panel untuk sesi perbincangan PN bagi sektor teknologi.

Kapten pasukan bola sepak Singapura yang juga anggota PN bagi Sukan, Encik Hariss Harun, berkata rangkaian ini diharap dapat mencorak budaya kesukanan di Singapura, di samping menanam minat dalam bidang sukan demi memakmurkan arena sukan Singapura.

Beliau, yang hadir selaku hadirin, berkata: “Di Singapura, kita belum benar-benar mempunyai budaya bersukan, namun saya fikir kini semakin ramai golongan muda berminat untuk melibatkan diri dalam sukan.

“Dengan lebih ramai yang menyertai sektor sukan, lebih ramai yang akan dapat menghargai apa yang berlaku di sebalik tabir.

“Ini selain menghayati dan meraih manfaat daripada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam sukan-sukan yang mereka minati.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti