Zaqy: NSMen dengan kepakaran siber akan dikerah ke peranan baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: NSMen dengan kepakaran siber akan dikerah ke peranan baru

Rangkaian Sukarelawan Pertahanan SG juga akan ditubuhkan galak warga sumbang pada negara.
Feb 27, 2026 | 6:20 PM

Zaqy: NSMen dengan kepakaran siber akan dikerah ke peranan baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
COS, Mindef, Zaqy
Mulai Jun 2026, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan mengerah Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) yang mempunyai kepakaran siber ke dalam Pasukan Pertahanan Siber Sektoral (SCDT). - Foto ST

Mulai Jun 2026, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menempatkan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) yang mempunyai kepakaran siber ke dalam Pasukan Pertahanan Siber Sektoral (SCDT).

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan kepakaran awam anggota kerahan dimanfaatkan sebaiknya dalam peranan pertahanan Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

“Ramai NSmen kita hari ini adalah profesional keselamatan siber yang mahir, membawa pengalaman dunia sebenar dan kepakaran industri yang berharga.

“Kepakaran mereka penting dan boleh membawa perubahan sebenar, bukan sahaja kepada SAF, tetapi juga kepada pertahanan siber Singapura yang lebih luas,” kata Encik Zaqy.

Encik Zaqy berkata SCDT akan memperkukuh keupayaan tentera, menyuntik idea dan pendekatan baharu, serta melengkapi pasukan sedia ada.

Mereka juga akan digerakkan untuk menyokong Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dalam melindungi Prasarana Maklumat Penting (CII) Singapura.

“Sukacita saya kata bahawa ramai yang telah tampil untuk menawarkan kemahiran mereka bagi mempertahankan Singapura,” kata Encik Zaqy.

Semasa ucapannya di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 27 Februari, Encik Zaqy berkata NSmen hari ini boleh berkhidmat dalam peranan NS yang memanfaatkan kemahiran yang mereka perolehi melalui kerjaya mereka, di bawah Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat.

Kira-kira 850 NSmen telah dikerahkan semula ke dalam peranan yang lebih sejajar dengan kepakaran profesional mereka yang meliputi lebih daripada 20 bidang seperti perundangan, siber, komunikasi strategik dan banyak lagi.

Beliau menukil contoh ME4A(NS) Aslam Mohamed Johan, seorang jurutera perisian dengan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH), yang pakar dalam reka bentuk sistem dan pembangunan penyelesaian digital.

Encik Aslam sebelum ini bertugas sebagai pemandu dalam Batalion Pengangkutan SAF Pertama, tetapi telah dipindahkan ke Markas Pendigitalan dan C4 SAF (SAFC4DC) pada 2024.

Dalam peranan barunya ini, beliau dapat menggunakan kepakaran teknikalnya untuk mengukuhkan sistem digital SAF dan meningkatkan keberkesanan operasi.

“Inilah yang kita maksudkan dengan mengoptimumkan sumbangan anggota tentera kita.

“Daripada mengerah mengikut satu saiz untuk semua, kita memadankan kepakaran profesional individu dengan peranan di mana kemahiran tersebut dapat memenuhi keperluan pertahanan Singapura dengan sebaik-baiknya,” kata Encik Zaqy.

Encik Zaqy turut mengumumkan bahawa Mindef dan SAF akan menubuhkan Rangkaian Sukarelawan Pertahanan SG tahun ini untuk menyatukan semua sukarelawan dalam Mindef, SAF dan organisasi berkaitan lain di bawah satu identiti, lantas memperkukuh ekosistem sukarelawan.

Sebagai permulaan, Rangkaian Sukarelawan Pertahanan SG ini akan memberi tumpuan kepada dua bidang utama.

Pertama, laluan sukarelawan awam akan diperluas merentasi organisasi berkaitan Mindef, membolehkan mereka menyumbang mengikut kesesuaian kemahiran, minat dan peringkat kehidupan mereka.

Kedua, Mindef juga akan mempertingkat laluan sukarelawan tentera melalui Kor Sukarelawan SAF (SAFVC) – skim berseragam yang membolehkan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap menyumbang dan menunjukkan sokongan kepada pertahanan negara

“Kami akan mengintegrasikan SAFVC dengan lebih rapat ke dalam unit SAF untuk memenuhi tugas operasi bersama kakitangan SAF, melangkaui fungsi sokongan masa aman.

“Kami juga akan memperkenalkan skim sukarelawan tentera tanpa pakaian seragam baharu dengan peranan baharu.

“Ini memberi sukarelawan pemahaman yang lebih baik tentang cara SAF beroperasi dan membolehkan mereka menyumbang secara praktikal,” kata Encik Zaqy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg