Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Perkukuh program pendidikan Islam aLIVE, ADIL di masjid setempat
Program aLIVE bantu bentuk jati diri, bukan hanya ‘madrasah sambilan’, kata Zaqy
Zaqy: Perkukuh program pendidikan Islam aLIVE, ADIL di masjid setempat
Program pendidikan Islam untuk kanak-kanak dan dewasa di masjid setempat perlu diperkukuh untuk mencerminkan mutu dan nilai pendidikan yang ditawarkan kepada masyarakat.
Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang berkata program sedemikian tidak harus dianggap sebagai ‘madrasah sambilan’ semata-mata.
Justeru, beliau meminta Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Pejabat Pengurusan dan Hab Pembelajaran Islam (ILHAM) untuk memperkukuh program pendidikan Islam untuk kanak-anak, aLIVE, dan Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL), termasuk dari segi penjenamaannya.
“Kami ingin ibu bapa berasa yakin dengan laluan (pendidikan Islam) ini. Kami ingin anak muda rasa bangga dengan pendidikan Islam yang diterima,” kata Encik Zaqy.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis tamat pengajian Youth aLIVE 2026, yang berlangsung di auditorium Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 21 November.
Majlis bertemakan Legacies of Light itu meraikan lebih 600 belia yang menamatkan pengajian agama mereka, dengan kehadiran sekitar 1,895 tetamu termasuk ibu bapa, asatizah dan wakil masjid.
Kata Encik Zaqy lagi, kurikulum dan kaedah pengajaran aLIVE telah mengalami pembaharuan ketara sepanjang sedekad lalu, hasil usaha MUIS dan ILHAM.
ILHAM ditubuhkan MUIS pada 2019 bagi mengurus operasi program aLIVE di masjid terpilih, selain membangunkan kandungan pendidikan Islam dan menyediakan tenaga pendidik profesional.
Tambahan itu, Encik Zaqy berpendapat bahawa program tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar kelas agama sambilan kerana peranannya jauh lebih besar dalam membentuk jati diri dan akhlak generasi muda.
“aLIVE bukan sekadar mempelajari agama secara sambilan, tetapi membantu golongan muda membina asas Islam yang kukuh, membentuk akhlak baik dan mempunyai keyakinan untuk mengamalkan agama sebagai rakyat Singapura dan warga dunia,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelbagai laluan pendidikan Islam, termasuk madrasah sepenuh masa, pusat pendidikan Islam, aLIVE dan ADIL, kini memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar.
Matlamat bersama, katanya, adalah memastikan setiap anak Muslim berpeluang mendalami agama, mengembangkan potensi dan membentuk keperibadian mulia.
Antara graduan yang mencerminkan matlamat tersebut ialah Encik Mohd Shakel @ Aung Htet Thu Lin, 18 tahun, yang dilahirkan di Myanmar sebelum berpindah ke Singapura pada usia tiga tahun.
Encik Shakel, kini penduduk tetap Singapura dan pelajar maktab rendah, berkata kelas mingguan aLIVE di Masjid Al-Khair membantunya mengekalkan hubungan dengan agama meskipun mengikuti pendidikan arus perdana.
“Berada di sekolah sekular lima hari seminggu, isu berkaitan agama bukanlah sesuatu yang sering saya bincangkan bersama rakan, terutama yang bukan Muslim.
“Namun, kelas aLIVE memberi saya peluang untuk terus memperkukuh iman dan pemahaman agama,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, pendidikan tersebut turut mempengaruhi keputusan harian, termasuk merancang aktiviti supaya tidak terlepas waktu solat.
Walaupun jadual maktab rendah yang padat adakalanya menyukarkan beliau menghadiri kelas, Encik Shakel tetap berusaha meluangkan masa.
“Ada hari saya terlalu penat dan tidak berasa mahu menghadiri kelas, terutama ketika musim peperiksaan.
“Tetapi saya melihat kelas aLIVE sebagai butang ‘set semula’ untuk iman saya, yang memberi motivasi supaya terus istiqamah,” katanya.
Beliau turut menghargai persahabatan yang terjalin melalui program tersebut, yang memberinya ruang berkongsi persoalan agama bersama rakan sebaya.
Bagi Encik Zaqy, pengalaman seperti itu menunjukkan kepentingan pendidikan Islam dalam melahirkan belia yang yakin dengan identiti agama mereka, sambil menghormati kepelbagaian masyarakat Singapura.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya terus menuntut ilmu dan mendapatkan bimbingan asatizah yang dipercayai apabila berdepan persoalan agama.
“Jadilah generasi yang teguh imannya, luas ilmunya, dan mulia akhlaknya. Jadikan ilmu sebagai penyuluh hidup. Dan jadikan kebaikan yang anda lakukan sebagai cahaya yang menerangi kehidupan orang lain,” pesannya.