Pindaan yang diusulkan terhadap Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) berlandaskan tanggungjawab bersama untuk memperkukuh institusi yang berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura supaya ia dilengkapi dengan baik untuk memenuhi keperluan yang sentiasa berkembang bagi generasi akan datang.

Ini termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Mahkamah Syariah (SYC), serta institusi baharu seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Ini dinyatakan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Pentadbiran Hukum Islam (Pindaan) di Parlimen pada 3 November.

“Kita mesti menggalas tanggungjawab ini dengan penuh cermat dan rendah hati, kerana kekuatan institusi kita bukan sahaja diukur melalui undang-undang yang mentadbirkannya, malah melalui kepercayaan yang diperolehinya, kehidupan yang disentuhnya, serta keyakinan yang diberikan kepada masyarakat kita dalam menghadapi masa depan,” kata beliau.

Pindaan kepada Amla itu melibatkan penubuhan SCIS serta perubahan kepada proses perkahwinan dan perceraian orang Islam.

Antaranya, ia bertujuan mewujudkan rangka kerja tadbir urus dan pengawasan baharu bagi SCIS selain memberikan MUIS kuasa pengawasan terhadap misi kolej itu untuk membangunkan bakat dalam bidang keagamaan.

MUIS juga akan diberi kuasa untuk menyediakan pembiayaan daripada sumber masyarakat sedia ada yang diuruskannya, termasuk daripada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), zakat dan wakaf.

Dalam soal perkahwinan dan perceraian pula, antara lain, pasangan Islam yang bersetuju untuk bercerai secara Talak Tafwidh – iaitu apabila suami menyerahkan kuasa talak kepada isteri – berpotensi menjimatkan tempoh proses perceraian sekurang-kurangnya enam bulan.

SYC akan diberi kuasa untuk mengecualikan pelantikan hakam sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai dan mahkamah menganggapnya tidak diperlukan.

Kebajikan anak-anak dalam perceraian Islam turut diutamakan, dengan Amla akan menyatakan secara jelas bahawa kebajikan anak adalah pertimbangan utama SYC, sekali gus merasmikan dan mendaftarkan amalan sedia ada. Ini termasuk apabila menentukan sama ada mereka boleh berpindah ke luar negara atau tidak.

Penubuhan SCIS, kata Encik Zaqy, membolehkan masyarakat membina atas sumbangan generasi terdahulu dan melabur untuk para pemimpin agama masa hadapan.

Kolej itu akan menerima kohort pelajar pertamanya pada 2028, sekali gus membuka satu lagi laluan bagi lulusan madrasah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.

“Melalui SCIS, kita mahu menggabungkan kekuatan tradisi keilmuan Islam dengan ilmu dalam bidang lain seperti sains sosial, agar para asatizah kita lebih bersedia memahami dan menangani cabaran yang dihadapi masyarakat masa kini.

“Kita mahu melahirkan asatizah yang bukan sahaja mempunyai ilmu agama yang mendalam, tetapi juga memahami denyut nadi masyarakat – asatizah yang mampu membimbing dengan ilmu, mendampingi dengan ihsan, dan memimpin dengan hikmah,” kata beliau.

Pindaan kepada undang-undang perkahwinan dan perceraian pula mengesahkan kepentingan perkahwinan, memperkukuh keadilan dan belas ihsan apabila keluarga berdepan kesulitan, serta meletakkan kebajikan anak-anak sebagai teras keputusan, kata Encik Zaqy.

“Matlamat kita bukan untuk memudahkan perceraian, tetapi untuk memastikan mereka yang terpaksa melalui proses ini mendapat penyelesaian yang lebih jelas, adil dan tidak berlarutan,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, keprihatinan tidak terbatas terhadap pasangan yang berpisah, tetapi turut mengutamakan perlindungan anak-anak.

“Prinsip ini selaras dengan ajaran Islam dan amalan semasa Mahkamah Syariah yang sama-sama menitikberatkan kebajikan dan perlindungan anak-anak.

“Meskipun ikatan suami isteri mungkin terputus, tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tetap berterusan.

“Walau apa pun kesulitan yang dihadapi pasangan dalam hubungan mereka, anak-anak tetap berhak membesar dengan rasa selamat dan penuh kasih sayang.

“Kitalah yang bertanggungjawab memastikan masa depan mereka terus terpelihara,” kata beliau.