Zon kargo di Pusat Pemeriksaan Woodlands akan ditutup beberapa hari pada November 2024 dan Januari 2025 bagi kerja penyelenggaraan dan peningkatan.
Penutupan sementara itu tidak akan menjejas zon lain di pusat pemeriksaan tersebut, kata jurucakap Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 7 November semasa menjawab pertanyaan The Straits Times.
Zon berlepas kargo untuk pemandu menuju ke Johor Bahru melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands akan ditutup pada 9 November dari 10 pagi hingga 11.59 malam.
Zon itu juga akan ditutup sepanjang hari pada 10 dan 17 November, iaitu dari 12 tengah malam hari sebelumnya hingga 11.59 malam hari penutupan.
Zon ketibaan kargo baagi pemandu tiba ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands akan ditutup pada 11 Januari, dari 10 pagi hingga 11.59 malam.
Ia juga akan ditutup sepanjang hari pada 12 dan 19 Januari, dari 12 tengah malam hari sebelumnya hingga 11.59 malam hari penutupan.
ICA telah memaklumkan kepada persatuan lori dan mengedarkan risalah kepada pemandu lori mengenai penutupan itu.
Mereka dinasihatkan supaya menggunakan Pusat Pemeriksaan Tuas pada hari yang terjejas dan mengikut lorong yang disediakan bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
ICA juga telah memaklumkan pihak berkuasa Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) untuk mengarahkan lori menggunakan laluan Linkedua semasa tempoh tersebut.
Trafik lebih sesak dijangka di Tuas dan ICA akan mengerahkan lebih ramai pegawai untuk mengurus aliran kargo yang meningkat bagi mengehadkan gangguan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg