GLASGOW: Sekitar 2,000 kes baru Covid-19 di Scotland dikaitkan dengan orang ramai yang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2020.
Jurucakap Kesihatan Awam Scotland berkata dua pertiga daripada 1,991 kes itu membabitkan mereka yang berkunjung ke London untuk perlawanan antara Scotland dan England pada 18 Jun lalu.
Ia termasuk 397 penyokong yang memasuki Wembley untuk menyaksikan perlawanan itu yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Sejumlah kecil kes dilaporkan berlaku membabitkan mereka yang mengunjungi Fanzone di Glasgow atau dua perlawanan Scotland di tempat sendiri di Hampden.
Berikutan larangan berkaitan Covid-19, Scotland hanya diperuntukkan 2,600 tiket untuk perlawanan di Wembley itu.
Pengarah Klinikal Kebangsaan negara itu, Profesor Jason Leitch berkata beliau kecewa apabila 2,000 daripada 32,000 kes direkodkan di Scotland sejak 11 Jun lalu dikaitkan dengan Euro 2020.
Bagaimanapun, katanya, sukar untuk menentukan sama ada mereka dijangkiti ketika menyaksikan perlawanan atau di tempat lain serta berapa ramai lagi sudah dijangkiti.
Prof Leitch berkata: "Sebahagiannya membawa virus itu ke London bersama mereka dan sebahagian lagi mendapat jangkitan di sana dan membawa pulang ke sini." - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg