LEBIH 20,000 tempahan dalam talian bagi slot di kompleks renang, ginamsium dan gelanggang badminton ActiveSG telah diterima Sport Singapore (SportSG) sejak pembukaan kemudahan sukan Jumaat lalu, kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Ini sedang warga Singapura giat menyertai kegiatan sukan di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Menurut statistik terkini Tinjauan Penyertaan Sukan Nasional SportSG, 73 peratus warga Singapura kerap bersenam semasa empat bulan pertama 2020.
Selain memula semula kegiatan sukan di sini, kementerian itu juga merancang menyokong pemulihan sektor terjejas oleh pandemik Covid-19 dan mendekatkan awam kepada kemudahan sukan inovatif pada masa akan datang.
Dalam kenyataannya pada Isnin (22 Jun), ia berkata MCCY dan SportSG telah mendekati lebih 500 syarikat dan lebih 10,000 pekerja bebas dalam sektor sukan dalam beberapa bulan ini untuk memahami lebih baik cabaran mereka.
Sektor sukan antara sektor yang terjejas oleh koronavirus dengan kegiatan luar tidak dibenarkan semasa tempoh 'pemutus litar'.
SportSG telah memperuntukkan pakej bernilai $23 juta bagi membantu mereka yang terjejas.
Sehingga kini, SportSG menerima 13 permohonan bagi geran $3 juta Perusahaan Inovasi dan Keupayaan.
Ia juga telah meluluskan lebih 200 permohonan dan tekad memberi kira-kira $2 juta geran untuk menyokong cadangan kandungan digital dan kegiatan maya bagi mempromosikan gaya hidup aktif, melalui Program Active Enabler.
Agensi sukan nasional itu turut mencipta lebih 900 pekerjaan sementara bagi karyawan sektor sukan yang kehilangan pendapatan.
Lebih 250 pekerja bekerja sendiri dan 75 perniagaan juga telah menyertai ActiveSG Circle, iaitu pusat sukan maya bagi industri itu mencipta kandungan berkaitan sukan.
Sejak ia dilancarkan April lalu, ActiveSG Circle menerima lebih 10 juta tontonan, kata MCCY.
SportSG juga merancang untuk menawarkan lebih 400 kursus pembangunan keupayaan sebelum hujung tahun ini supaya jurulatih, pelatih dan kakitangan lain dalam sektor sukan mempunyai peluang yang cukup untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Buat jangka panjang pula, MCCY berkata pemerintah akan melaburkan sekitar $400 juta setiap tahun bagi sukan dan pembangunannya di Singapura.
Pusat Sukan Daerah Punggol (RSC) mempunyai kemudahan sukan seperti stadium bola sepak, kompleks renang, dewan sukan, gimnasium, gelanggang futsal dan tenis tertutup dan pusat latihan memanah, antara lain.
Pembinaan pusat itu, yang dijangka siap pada 2023, akan dimulakan secepat mungkin, tambah MCCY.
Penduduk Bishan dan Toa Payoh juga boleh menjangkakan pembangunan integrasi baru - pusat sukan, poliklinik, perpustakaan dan taman bandar - yang akan dibangun 10 tahun akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg