4 pemain M'sia, seorang dari Kemboja diuji positif Covid-19
4 pemain M'sia, seorang dari Kemboja diuji positif Covid-19
Penganjur: Kesemua kes positif yang dilapor sejauh ini tidak babitkan varian Omicron
SERAMAI lima individu dalam gelembung kejohanan Piala AFF Suzuki di sini telah diuji positif bagi Covid-19, kata Jawatankuasa Penganjur Tempatan.
Namun, dalam kalangan kes positif itu, tiada varian Omicron yang dilaporkan sehingga kini.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) semalam, Jawatankuasa Penganjur Tempatan Piala Suzuki AFF 2020 berkata lima kes positif tersebut - yang merangkumi empat pemain skuad Malaysia dan seorang dari Kemboja - kini sedang menjalani pengasingan.
Jawatankuasa Penganjur Tempatan berkata:
"Kami sedang memantau individu-individu ini dan memantau keadaan mereka setiap hari... sehingga kini tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa kes (Covid-19) yang aktif adalah kes varian Omicron.
"AFF dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tertentu mengenai langkah yang sesuai, termasuk peraturan yang lebih ketat, sekiranya terdapat peningkatan dalam bilangan kes."
Di sidang media selepas perlawanan kelmarin, jurulatih Malaysia Tan Cheng Hoe mengesahkan empat daripada skuad seramai 24 pemainnya kini diuji positif bagi koronavirus.
Ketiadaan pemain sayap kelab Johor Darul Takzim Akhyar Rashid ketika Harimau Malaya membelasah Laos 4-0 di Stadium Bishan malam kelmarin menimbulkan tanda tanya.
Akhyar, yang dinobat Pemain Terbaik dalam kemenangan 3-1 Malaysia ke atas Kemboja Isnin lalu, tidak disenaraikan dalam barisan kesebelasan utama mahupun bangku simpanan pasukan.
Menjelaskannya kepada media kelmarin, Tan berkata:
"Sudah tentu Akhyar bermain dengan amat baik pada perlawanan pertama kami tetapi disebabkan diuji positif Covid-19, beliau tidak dapat diturunkan.
"Saya harap beliau kembali pulih dan segera dapat menyertai pasukan semula."
Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberitahu media Malaysia bahawa pemain Selangor FC, Quentin Cheng, turut disahkan positif Covid-19 pada ujian saringan waktu yang sama.
Sebelum ini, penjaga gol Khairulazhan Khalid dan pemain sayap Faisal Halim dilaporkan positif bagi koronavirus.
Dua pemain ini sudah terlepas dua aksi awal Kumpulan B berdepan Kemboja dan Laos.
Mereka disahkan positif pada 3 Disember lalu ketika mengambil Ujian Ketika Tiba (OAT) sejurus ketibaan skuad Malaysia dari Kuala Lumpur, jelas Jawatankuasa Penganjur Tempatan dalam responsnya kepada akhbar ini.
Baki kes positif dari pasukan Kemboja tidak dikenal pasti sebagai pemain, kakitangan jurulatih atau pegawai pasukan itu.
Jawatankuasa itu juga memberitahu BH bahawa seorang pemain Myanmar juga telah ditempatkan dalam pengasingan sebelum ini.
Namun, beliau kini bebas untuk berlatih dan beraksi dalam perlawanan.
"Seorang pemain Myanmar juga sebelum ini telah ditempatkan dalam pengasingan tetapi keputusannya (bagi Covid-19) dipadamkan pada 6 Disember kerana ia adalah positif palsu," tambah Jawatankuasa Penganjur Tempatan.
Difahamkan pemain, kakitangan jurulatih serta pegawai terlibat dalam kejohanan Asean itu yang didapati positif bagi Covid-19 perlu menjalani pengasingan di bilik hotel masing-masing sehingga diuji negatif.
Malaysia, yang kini menduduki tangga teratas Kumpulan B, dijadual menentang juara bertahan Vietnam pada Ahad ini sebelum berdepan musuh tradisi Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada 19 Disember ini.
Kemboja pula, yang menganggotai kumpulan sama, akan bertemu Laos Rabu depan sebelum menutup tirai kempen mereka menentang Vietnam pada 19 Disember.
Kumpulan A kembali beraksi di Stadium Negara hari ini. Timor Leste berdepan Filipina pada 5.30 petang sementara juara lima kali Thailand menentang Myanmar pada 8.30 malam.
Hanya dua pasukan teratas daripada kumpulan masing-masing akan mara ke peringkat separuh akhir.

