Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mungkin sudah melabuhkan tirai, namun pencapaian Team Singapore (TeamSG) di Jepun meninggalkan banyak kenangan yang sukar dilupakan.

Kontinjen Singapura menamatkan kempen dengan 18 pingat – dua emas, sembilan perak dan tujuh gangsa – di samping mencatat 10 rekod kebangsaan, 23 catatan peribadi terbaik dan lima prestasi terbaik musim ini.

Di sebalik pungutan pingat itu, terdapat atlet yang bukan sahaja mencipta kenangan manis, malah melepasi batas lama dan menunjukkan sejauh mana atlet Singapura mampu bersaing di pentas terbesar Asia.

Daripada mempertahankan gelaran kepada mencipta pencapaian sulung dalam sukan masing-masing, berikut adalah lima atlet yang mencuri perhatian dan membanggakan Singapura di temasya sukan Aichi-Nagoya 2026.

Shanti Pereira (Atletik)

Ratu pecut negara, Shanti Pereira, meraikan kejayaan mempertahankan pingat emas acara pecut 200 meter wanita di Stadium Taman Mizuho, Nagoya pada 27 September 2026.
Ratu pecut negara, Shanti Pereira, meraikan kejayaan mempertahankan pingat emas acara pecut 200 meter wanita di Stadium Taman Mizuho, Nagoya pada 27 September 2026. - Foto AFP

Empat tahun selepas mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas perlumbaan pecut 200 meter wanita di Hangzhou, Shanti Pereira sekali lagi membuktikan bahawa kejayaan itu bukan sekadar kebetulan.

Pereira mempertahankan gelaran 200 meter di Nagoya dengan masa catatan 22.78 saat – sekali gus menjadi wanita pertama dalam sejarah Sukan Asia untuk mempertahankan gelaran acara itu.

Beliau turut meraih perak dalam acara 100 meter, menjadikan dua pingat individu miliknya pada temasya kali ini.

Namun, beliau memasuki final dengan satu keyakinan yang jelas.

“Saya tahu hari ini adalah hari saya. Tidak ada sesiapa atau apa pun yang akan menghalang saya daripada mencapai kejayaan,” kata ratu pecut Singapura itu, penuh azam, selepas kejayaan emasnya itu.

Kiria Tikanah (Lawan Pedang)

Atlet lawan pedang Singapura, Kiria Tikanah, meraikan kejayaan menewaskan Irina Bakaldina dari Kazakhstan dalam suku akhir acara ‘epee’ individu wanita di Aichi Sky Expo.
Atlet lawan pedang Singapura, Kiria Tikanah, meraikan kejayaan menewaskan Irina Bakaldina dari Kazakhstan dalam suku akhir acara ‘epee’ individu wanita di Aichi Sky Expo. - Foto ST

Kiria Tikanah tiba di temasya sukan Aichi-Nagoya ini dengan rasa ragu-ragu.

Beberapa bulan sebelum temasya, prestasinya sendiri tidak berada pada tahap yang diinginkan.

Namun, pada hari pertandingan, beliau memilih untuk mempercayai proses latihan yang telah dilaluinya.

“Saya memutuskan untuk percaya sahaja bahawa segala usaha saya akan membuahkan hasil, dan saya benar-benar mempercayai setiap keputusan dan aksi yang dilakukan hari ini,” katanya.

Kepercayaan tersebut membuahkan hasil apabila Kiria meraih pingat perak bagi acara ‘epee’ individu wanita – pencapaian terbaik pernah dicatatkan seorang atlet lawan pedang Singapura di Sukan Asia.

Beliau juga menjadi atlet lawan pedang pertama Singapura untuk meraih pingat individu di temasya itu sejak 2014.

Loh Kean Yew (Badminton)

Loh Kean Yew melakar sejarah setelah meraih pingat perak perseorangan lelaki badminton di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Loh Kean Yew melakar sejarah setelah meraih pingat perak perseorangan lelaki badminton di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. - Foto ZAOBAO

Loh Kean Yew melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan mana-mana pemain badminton perseorangan Singapura sebelum ini.

Loh mara ke final perseorangan lelaki di Aichi-Nagoya – pemain Singapura pertama yang melakukannya di Sukan Asia – sebelum meraih pingat perak selepas tewas kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Pingat tersebut juga merupakan pingat individu pertama Singapura dalam badminton di Sukan Asia, sekali gus menamatkan penantian 20 tahun bagi pingat badminton di temasya itu.

Loh, yang sebelum itu menewaskan jaguh Indonesia, Jonatan Christie, buat kali pertama dalam 11 pertemuan, meraikan pencapaian tersebut dengan penuh emosi.

Namun, selepas tewas dalam final, beliau tidak menyembunyikan rasa terkilan.

“Saya gembira dapat meraih pingat perak dan mencipta sejarah. Namun pada masa yang sama, saya rasa sedih sedikit kerana terlepas pingat emas,” katanya.

Tiffany Teo (MMA)

Tiffany Teo mengibarkan bendera Singapura selepas menewaskan Khilola Sobirova dari Uzbekistan dalam final MMA tradisional (60kg) wanita Sukan Asia 2026.
Tiffany Teo mengibarkan bendera Singapura selepas menewaskan Khilola Sobirova dari Uzbekistan dalam final MMA tradisional (60kg) wanita Sukan Asia 2026. - Foto ST

Nama Tiffany Teo terpahat dalam sejarah sukan Singapura apabila beliau memenangi pingat emas acara seni mempertahankan diri campuran (MMA) kategori tradisional bawah 60 kilogram di Sukan Asia Aichi-Nagoya ini.

Kemenangan itu begitu istimewa kerana ia merupakan pingat emas pertama Singapura di temasya Sukan Asia ini selain menjadi emas pertama Singapura dalam MMA yang diperkenalkan buat julung-julung kali dalam Sukan Asia.

Namun, di sebalik pingat emas itu tersirat perjalanan yang panjang, penuh cabaran, pengorbanan dan ketabahan.

Tiffany, yang pernah mengalami kekecewaan dan melalui tempoh hampir tiga tahun tanpa bertanding, kembali bangkit dan terus mengejar impiannya.

Dalam perlawanan akhir, beliau berdepan Khilola Sobirova dari Uzbekistan – lawan yang pernah menewaskannya dahulu.

Kali ini, Tiffany berjaya membalas kekalahan tersebut dan membawa pulang emas untuk Singapura selepas pertarungan yang sengit sehingga ke pusingan tambahan.

Selepas diumumkan sebagai juara, Tiffany tidak dapat menahan air matanya.

Beliau berkata: “Saya sangat terharu sebaik mengetahui saya memenangi pertarungan itu. Saya tidak pernah menangis selepas pertarungan sebelum ini.”

Marissa Hafezan (Karate)

Atlet karate Singapura, Hafezan Marissa (kanan), ketika bertarung menentang lawan dari Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, dalam acara kumite 55 kilogram wanita di Sukan Asia ini.
Atlet karate Singapura, Hafezan Marissa (kanan), ketika bertarung menentang lawan dari Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, dalam acara kumite 55 kilogram wanita di Sukan Asia ini. - Foto REUTERS

Bagi Marissa Hafezan, penampilan sulung di Sukan Asia hampir berakhir dengan pingat.

Marissa tewas kepada juara dunia dan Asia bawah 21 tahun dari Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, tetapi bangkit melalui ‘repechage’ dengan menewaskan wakil Laos 2-0 dan mara ke perlawanan pingat gangsa.

Namun, dalam pertarungan merebut gangsa, Marissa tewas 3-7 kepada lawan dari Indonesia, Cok Istri Agung Sanistyarani.

Ia bukan keputusan yang mudah diterima bagi atlet berusia 20 tahun itu, apatah lagi selepas beliau menjadi juara Sukan SEA 2025 dan melangkah ke Sukan Asia ini dengan harapan tinggi.

Marissa bagaimanapun menganggap pengalaman itu sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran menjelang kejohanan dunia yang mendatang.

“Saya rasa detik-detik sebegini perlu dijadikan pengajaran supaya pada masa akan datang kita dapat mempertingkatkan prestasi,” katanya.

Walaupun pulang tanpa pingat, yang pasti Marissa meninggalkan Nagoya dengan pengalaman berharga.