6 kelab England ingin sertai Liga Super
LONDON: Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur antara 12 kelab bola sepak yang telah bersetuju menyertai Liga Super Eropah (ESL) yang baru.
Enam kelab dari Liga Perdana England (EPL) itu akan disertai AC Milan, Inter Milan dan Juventus dari Serie A Italy serta Atletico Madrid, Barcelona dan Real Madrid dari La Liga Sepanyol.
ESL berkata kelab-kelab pengasas itu telah bersetuju membentuk pertandingan benua baru yang akan berlangsung di pertengahan minggu d kelab-kelab tersebut akan terus bertanding dalam liga domestik masing-masing.
Ia berkata musim pertama akan berlangsung secepat mungkin dan lagi tiga kelab akan menyertai 12 kelab itu.
ESL juga berkata ia merancang untuk melancarkan pertandingan wanita sejurus selepas pertandingan lelaki bermula.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dan EPL telah mengecam tindakan 12 kelab itu.
Sebelum ini, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah berkata ia tidak akan mengiktiraf pertandingan sedemikian dan pemain yang menyertainya mungkin tidak dibenarkan beraksi di Piala Dunia.
Dalam kenyataannya menyusuli pengumuman mengenai ESL itu, Fifa berkata ia amat kecewa dan tidak mempersetujui tindakan itu. Ia juga menggesa semua pihak yang terlibat berlapang dada dan mengadakan perbincangan tenang yang membina.
Uefa, satu-satunya pentadbir bola sepak di Eropah mengulangi amaran ini kelmarin, dan berkata pemain yang menyertai kelab-kelab di ESL boleh digantung dari semua pertandingan lain di peringkat domestik, Eropah atau dunia. Mereka juga mungkin tidak dibenarkan mewakili pasukan nasional masing-masing.
Memberi respons, ESL berkata ia bersedia mengadakan perbincangan dengan Uefa dan Fifa untuk mencapai persetujuan terbaik bagi liga baru itu dan bola sepak.
Perbincangan bersama bank Wall Street JP Morgan telah diadakan sejak Oktober, mengenai pertandingan sebenua baru bernilai £4.6 bilion ($8 bilion) untuk menggantikan Liga Juara-Juara Eropah.
Uefa telah berharap rancangannya untuk membentuk Liga Juara-Juara 36 pasukan - dengan perubahan dijadual diumumkan pagi tadi - boleh mendesak kelab-kelab elit di Eropah itu supaya menggugurkan rancangan bagi ESL.
Namun, 12 kelab pengasas ESL berkata mereka menganggap perubahan yang diusul kurang menyeluruh.
Pandemik telah menyebabkan model ekonomi bola sepak Eropah menjadi tidak stabil, kata ESL.
"Kelab-kelab pengasas percaya huraian yang diusulkan tidak menghuraikan isu-isu asas, termasuk keperluan mengadakan perlawanan bermutu lebih tinggi dan sumber kewangan tambahan bagi semua kelab."
ESL akan disaingi 20 pasukan - 12 anggota pengasas dan lagi tiga anggota - serta lima pasukan yang melayakkan diri setiap tahun mengikut kedudukan mereka dalam liga domestik.
Penganjurnya mengusul supaya liga bermula setiap Ogos dan kelab-kelab akan dipecahkan kepada dua kumpulan 10 anggota. Setiap pasukan akan bertemu pasukan lawan yang sama dua kali di peringkat kumpulan ini.
Tiga kelab teratas dari setiap kumpulan melayakkan diri ke suku akhir, dengan pasukan keempat dan kelima dalam setiap kumpulan bersaing untuk merebut dua lagi tempat di suku akhir.
Selanjutnya, format pertandingan akan mengikut format kalah-mati Liga Juara-Juara, yang mencapai kemuncaknya dalam final pada Mei.
ESL berkata ia akan menjana lebih banyak wang daripada Liga Juara-Juara dan ini boleh membenarkan lebih banyak pendapatan ini diagihkan kepada peringkat lain sukan ini.
Presiden Real Florentino Perez adalah pengerusi pertama ESL, sementara pengerusi bersama United Joel Glazer dilantik menjadi naib-pengerusinya.
Beliau berkata: "Menghimpunkan kelab-kelab dan pemain terhebat di dunia untuk bersaing sepanjang musim membuka bab baru dalam bola sepak Eropah. Ini termasuk memastikan pertandingan dan prasarana bertaraf dunia, dan sokongan kewangan bagi ekosistem bola sepak lebih luas." - Agensi berita.

