SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

6 pemain hebat gagal layakkan diri ke Piala Dunia

6 pemain hebat gagal layakkan diri ke Piala Dunia

Terlepas peluang selepas negara masing-masing tersingkir dalam pusingan kelayakan
Apr 6, 2026 | 5:30 AM

6 pemain hebat gagal layakkan diri ke Piala Dunia

Italy, Sandro Tonali
Pemain tengah Italy, Sandro Tonali (kiri), beraksi menentang Haris Seferovic dari Bosnia di Stadium Bilino Polje, Bosnia, pada 31 Mac. Tonali merupakan antara pemain ternama yang gagal layak ke Piala Dunia 2026. - Foto REUTERS

LONDON: Piala Dunia 2026 di Canada, Amerika Syarikat dan Mexico bakal menyaksikan beberapa nama besar yang tidak akan menyertai kejohanan utama dunia itu.

Ia termasuk bintang Poland daripada kelab Barcelona, Robert Lewandowski, yang merupakan salah seorang penyerang terhebat sejak 15 tahun kebelakangan ini.

Penyerang berusia 37 tahun itu, yang telah menjaringkan 89 gol untuk negaranya, gagal membantu pasukan apabila mereka tewas 2-3 kepada Sweden dalam perlawanan penentu final di Stockholm pada 31 Mac.

Lewandowski, yang kini menyarung jersi Barcelona, pernah memenangi kejuaraan Bundesliga sebanyak 10 kali – dua kali bersama Borussia Dortmund dan lapan musim berturut-turut bersama Bayern Munich – sebelum menjulang gelaran La Liga sebanyak dua kali bersama Barcelona.

Kekalahan pada 31 Mac itu memberi gambaran bahawa besar kemungkinan beliau tidak akan beraksi lagi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa yang besar.

Berikut adalah antara barisan pemain hebat yang turut gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Gianluigi Donnarumma (Italy, Manchester City)

Gianluigi Donnarumma, merupakan antara penjaga gol terbaik di Liga Perdana England (EPL) musim ini sejak berpindah daripada Paris St-Germain (PSG) dengan nilai £26 juta (sekitar $44 juta) pada September 2025, selepas membantu kelab Perancis tersebut menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara musim lepas.

Penjaga gol Italy, Gianluigi Donnarumma, meraikan jaringan gol pembukaan pasukannya dalam perlawanan penentu kelayakan Piala Dunia Fifa 2026 zon Eropah antara Bosnia-Herzegovina dengan Italy di Zenica, Bosnia-Herzegovina, pada 31 Mac.
Penjaga gol Italy, Gianluigi Donnarumma, meraikan jaringan gol pembukaan pasukannya dalam perlawanan penentu kelayakan Piala Dunia Fifa 2026 zon Eropah antara Bosnia-Herzegovina dengan Italy di Zenica, Bosnia-Herzegovina, pada 31 Mac. - Foto EPA

Meskipun pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan ketika Italy memenangi Euro 2020, beliau sekali lagi terlepas aksi Piala Dunia selepas Italy tewas 1-4 dalam sepakan penalti kepada Bosnia-Herzegovina pada 31 Mac.

Serhou Guirassy (Guinea, Borussia Dortmund)

Serhou Guirassy telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang paling prolifik di Eropah, dengan rekod 62 gol dalam Bundesliga Jerman, sepanjang tiga musim lalu. 

Pemain Borussia Dortmund, Serhou Guirassy, ketika perlawanan Bundesliga Jerman antara Borussia Dortmund dengan Hamburger SV di Dortmund, Jerman, pada 21 Mac.
Pemain Borussia Dortmund, Serhou Guirassy, ketika perlawanan Bundesliga Jerman antara Borussia Dortmund dengan Hamburger SV di Dortmund, Jerman, pada 21 Mac. - Foto EPA

Malah, tiada pemain yang dapat mengatasi rekod 13 gol beliau dalam Liga Juara-Juara musim 2024-25.

Namun, beliau tidak akan beraksi di Piala Dunia memandangkan negaranya, Guinea, tersingkir dalam pusingan pertama kelayakan zon Afrika. 

Guinea menduduki tempat keempat dalam kumpulan mereka dengan mencatat empat kemenangan dan tiga seri daripada 10 perlawanan.

Khvicha Kvaratskhelia (Georgia, Paris St-Germain)

Khvicha Kvaratskhelia membantu PSG merangkul kejuaraan Eropah musim lalu, termasuk menjaringkan gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir. 

Pemain Paris Saint-Germain, Khvicha Kvaratskhelia (kiri), beraksi dengan pemain kelab Perancis OGC Nice, Dante, dalam perlawanan Liga Perancis di Nice, Perancis, pada 21 Mac.
Pemain Paris Saint-Germain, Khvicha Kvaratskhelia (kiri), beraksi dengan pemain kelab Perancis OGC Nice, Dante, dalam perlawanan Liga Perancis di Nice, Perancis, pada 21 Mac. - Foto EPA

Prestasi cemerlangnya turut menyaksikan beliau menduduki tempat ke-12 dalam anugerah Ballon d’Or 2025.

Namun, Georgia mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia yang mengecewakan selepas mengutip hanya tiga mata dalam kumpulan yang dikuasai Sepanyol, Turkey dan Bulgaria.

Robert Lewandowski (Poland, Barcelona)

Lewandowski menggalas tugas sebagai kapten Poland semasa Piala Dunia 2018, namun gagal menjaringkan gol di Russia ketika negaranya menduduki tangga tercorot kumpulan.

Pemain Poland, Robert Lewandowski, dalam aksi final kelayakan Piala Dunia menentang Sweden di Arena Strawberry, Solna, pada 31 Mac.
Pemain Poland, Robert Lewandowski, dalam aksi final kelayakan Piala Dunia menentang Sweden di Arena Strawberry, Solna, pada 31 Mac. - Foto REUTERS

Beliau mempamerkan prestasi lebih baik di Piala Dunia Qatar 2022 dengan menjaringkan dua gol, sekali gus membantu Poland melangkah ke pusingan 16 terakhir sebelum tewas 1-3 kepada Perancis.

Beliau berjaya menjaringkan empat gol dalam Kumpulan G pada kempen kelayakan 2026, namun, Poland menamatkan saingan tiga mata di belakang Belanda, sebelum akhirnya tewas 2-3 kepada Sweden pada 31 Mac.

Victor Osimhen (Nigeria, Galatasaray)

Victor Osimhen membantu Napoli merangkul kejuaraan Serie A pada 2023 sebelum berpindah ke Galatasaray.

Penyerang Nigeria yang bermain untuk Galatasaray, Victor Osimhen, dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Uefa antara Galatasaray SK dengan Liverpool FC di Kompleks Sukan Ali Sami Yen di Istanbul pada 10 Mac.
Penyerang Nigeria yang bermain untuk Galatasaray, Victor Osimhen, dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Uefa antara Galatasaray SK dengan Liverpool FC di Kompleks Sukan Ali Sami Yen di Istanbul pada 10 Mac. - Foto AFP

Di sana, beliau merekodkan 26 gol dalam 30 perlawanan untuk memacu kelab itu merangkul gelaran liga Turkey musim lalu.

Namun, Nigeria pula mencatat keputusan seri dalam lima daripada 10 perlawanan pada fasa kumpulan pertama, sekali gus menamatkan saingan satu mata di belakang juara kumpulan, Afrika Selatan.

Bagaimanapun, mereka mendapat peluang kedua melalui pusingan penentu seterusnya.

Selepas Osimhen digantikan dengan pemain lain, Nigeria tewas menerusi sepakan penalti penentuan kepada Republik Demokratik (DR) Congo, sekali gus gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Dominik Szoboszlai (Hungary, Liverpool)

Pemain tengah Liverpool dan Hungary, Dominik Szoboszlai, mempamerkan aksi memukau musim ini, termasuk menjaringkan beberapa gol jarak jauh yang menakjubkan.

Pemain Hungary, Dominik Szoboszlai, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa antara Hungary dengan Greece di Arena Puskas, Budapest, Hungary, pada 31 Mac.
Pemain Hungary, Dominik Szoboszlai, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa antara Hungary dengan Greece di Arena Puskas, Budapest, Hungary, pada 31 Mac. - Foto REUTERS

Namun, beliau tidak akan beraksi di Piala Dunia selepas negaranya mensia-siakan kelebihan 2-1 dalam perlawanan kumpulan menentang Ireland.

Ireland berjaya menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan untuk mendapatkan slot ke pusingan penentu sekali gus menyingkirkan Hungary.

Pemain lain yang terlepas aksi Piala Dunia

Piala Dunia yang bakal berlangsung pada Jun dan Julai bakal menjadi pesta bola sepak gilang-gemilang, namun beberapa lagi nama besar turut tidak dapat menyertai kejohanan tersebut, termasuk:

Penjaga gol: Jan Oblak (Atletico Madrid, Slovenia).

Pemain Pertahanan: Milos Kerkez (Liverpool, Hungary); Nikola Milenkovic (Nottingham Forest, Serbia); Willi Orban (RB Leipzig, Hungary); Riccardo Calafiori (Arsenal, Italy); Ola Aina (Nottingham Forest, Nigeria); Matty Cash (Aston Villa, Poland).

Pemain Tengah: Sandro Tonali (Newcastle, Italy).

Pemain Sayap: Bryan Mbeumo (Manchester United, Cameroon). – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg