Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BINA BADAN

ABPS (SG) orak langkah kembalikan era gemilang

Persatuan bina badan rancang 'bersihkan rumah', tambat semula sokongan SNOC
Mar 22, 2021 | 05:30 AM



Setelah sekian lama berada di pinggiran dengan hanya menyertai kejuaraan kecil, beberapa penggerak sukan bina badan setempat mengorak langkah untuk memberi nafas baru kepada sukan itu dan mengembalikan era kegemilangannya. Dipimpin 'orang kuat' M. Letchemenon, mereka kini menubuhkan Persatuan bagi Sukan Bina Badan dan Susuk Badan (Singapura) atau ABPS (Singapore) dan merancang memperbaiki serta mengemas kini urus tadbir persatuan bagi menyatukan kerabat dan menambat sokongan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC). BERITA HARIAN mendedahkan butiran rancangan mereka ke arah mencapai matlamat itu.



SUDAH terlalu lama di pinggiran. Tercetus rindu mahu melihat sukan bina badan mekar semula. Atlet yang ada pula tertanya-tanya bila mereka dapat mewakili negara ke pertandingan utama.



Didorong kuat maklum balas atlet dan penggiat sukan bina badan setempat, M. Letchmenon mengumpulkan beberapa rakan lama dan baru untuk menubuhkan Persatuan bagi Sukan Bina Badan dan Susuk Badan (Singapura) atau ABPS (Singapore) untuk memberi nafas baru kepada usaha sukan itu mengembalikan era kegemilangannya.



Sasaran utama mereka adalah membentuk skuad bina badan untuk mewakili negara dalam kejohanan besar yang pernah disertai sebelum ini seperti Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia.



Namun, untuk mencapai sasaran itu, Letchmenon, selaku Presiden ABPS (Singapore), perlu 'membersihkan rumah' dari segi urus tadbir persatuan, termasuk mengumpulkan badan-badan kerabat di bawah satu bumbung, dan memastikan sukan itu bersih daripada doping atau penggunaan dadah/bahan terlarang.



"Kami bertekad mahu mengembalikan zaman kegemilangan sukan bina badan, sukan yang mampu membawa pulang pingat-pingat buat Singapura, malah kami juga mahu sukan ini menyemarakkan semangat Kesingapuraan kita,'' kata Letchmenon.



"Sejajar dengan itu, ABPS telah membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk diiktiraf sebagai sebuah persekutuan sukan nasional (NSA) bagi membolehkannya mengumpul dan melatih atlet bina badan serta membangunkan semula sukan ini.



"Ini sekali gus membolehkan ABPS membawa atlet mewakili negara menyertai pertandingan dan temasya utama seperti Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia."



Pendaftaran ABPS sebagai sebuah persatuan diluluskan oleh Pendaftar Persatuan-Persatuan (ROS) pada 7 Januari 2020.



Ia kini beroperasi sebagai sebuah persatuan yang mempunyai perlembagaan dari pejabat di Pusat Membeli-Belah Balestier Hill.



Ia mempunyai jawatankuasa eksekutif seramai 12 orang, dengan Paul Chua, tokoh sukan bina badan yang unggul baik di Singapura mahupun di dunia, sebagai penasihat. ABPS juga mempunyai sebanyak tujuh anggota bersekutu yang merupakan kelab atau persatuan sukan.



ABPS ditubuhkan dengan matlamat membangunkan semula sukan bina badan dan menggantikan Persekutuan Bina Badan Singapura (SBBF). SBBF kini tidak aktif.



Difahamkan bahawa status NSA, yang sebelum ini dinikmati SBBF, ditarik balik oleh SNOC pada 2013 atas sebab-sebab doping dalam pertandingan setempat dan masalah urus tadbir.



Sebelum pendaftarannya diluluskan, ABPS tetap bergerak aktif di bawah naungan Sukan bagi Bina Badan dan Susuk Badan Dunia (WBPF)-Singapura.



Ia telah menghantar atlet ke beberapa pertandingan antarabangsa seperti Kejohanan Asia Tenggara, Asia dan Dunia.



Para atlet Singapura yang meraih kejayaan dalam kejohanan-kejohanan itu, termasuk Shaifulhaq Ahmad Ishak, yang memenangi kategori bina badan 80kg dan juara keseluruhan Mr Southeast Asia di Siem Raep, Kemboja, pada Julai 2018.



Pada November 2018 pula, Shaifulhaq merangkul juara Mr Asia (75kg) di peringkat Asia di Pune, India.



Seorang lagi atlet, Abdullah Jaafar, memenangi tempat kedua dalam kategori Masters dalam Kejohanan Sukan Bina Badan dan Susuk Badan Dunia ke-10 di Chiang Mai, Thailand.



Menurut Letchmenon, ABPS sedang memperbaiki dan mengemas kini urus tadbir persatuan itu, serta membersihkan sukan bina badan setempat daripada segala pencemaran dan penyalahgunaan dadah.



Beliau tidak asing dengan isu seperti itu selaku Setiausaha, Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan Bina Badan dan Susuk Badan Dunia (WBPF) dan juga Setiausaha, Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Sukan Bina Badan dan Susuk Badan Asia (ABBF).



Letchmenon sedar untuk membangunkan sukan itu beliau perlu menarik tenaga baru ke dalam bidang itu.



Oleh itu, beliau mendapatkan bantuan Rujok Pandi pada 2018, yang ketika itu bertugas sebagai kakitangan awam di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Alan Ng, seorang aktivis sukan bina badan dan profesional bidang kewangan.



Rujok kini memegang jawatan selaku setiausaha kehormat, manakala Alan sebagai naib presiden eksekutif.



Menurut Rujok, ramai atlet bina badan yang bergiat aktif secara bersendirian di kelab-kelab setempat tanpa bimbingan sempurna atau mendapat peluang menampilkan bakat di peringkat antarabangsa.



"Kami yakin, jika diberi peluang dan bimbingan, mereka dapat mempertingkatkan kemampuan dan seterusnya bertanding di persada antarabangsa,'' tambah Rujok.



Menyimpulkan usaha ABPS itu, Letchmenon berharap SNOC akan memberi pertimbangan positif kepada permohonannya.



''ABPS kini berada dalam kedudukan yang amat baik untuk membangunkan semula dan menghidupkan zaman kegemilangan sukan bina badan.



"Kami mempunyai eksko baru bertauliah dan berwibawa serta disokong anggota dari kelab dan persatuan yang komited.



"Kami juga juga mendapat sokongan daripada juara-juara setempat yang lalu untuk memperkukuh sukan ini dan meletakkan semula bina badan pada satu kedudukan yang terhormat dan mampu mengharumkan nama Singapura,'' ujar beliau.




USAHA DAPATKAN SEMULA STATUS NSA



"Kami bertekad mahu mengembalikan zaman kegemilangan sukan bina badan, sukan yang mampu membawa pulang pingat-pingat buat Singapura, malah kami juga mahu sukan ini menyemarakkan semangat Kesingapuraan kita.



Sejajar dengan itu, ABPS telah membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk diiktiraf sebagai sebuah persekutuan sukan nasional (NSA) bagi membolehkannya mengumpul dan melatih atlet bina badan serta membangunkan semula sukan ini.



Ini sekali gus membolehkan ABPS membawa atlet mewakili negara menyertai pertandingan dan temasya utama seperti Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia."
- M. Letchemenon, Presiden ABPS (Singapore).



YAKIN TERHADAP POTENSI ATLET



"Saya pernah ditanya mengapa saya mahu membuang masa dengan kegiatan sukan bina badan? Jika kita mengikuti sejarah sukan ini, kita tahu sukan ini diminati dan diceburi oleh ramai anak muda kita.



Kami yakin, jika diberi peluang dan bimbingan, anak-anak muda ini (atlet bina badan yang bergiat secara bersendirian) dapat mempertingkatkan kemampuan dan seterusnya bertanding di persada antarabangsa."
- Rujok Pandi, Setiausaha Kehormat ABPS (Singapore).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >