Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adam Swandi jaring dua gol bantu Lion City Sailors benam Hougang 3-0

Jun 26, 2023 | 4:34 PM
SUMBANGKAN GOL: Adam Swandi (tiga dari kiri) melepaskan rembatan kemas untuk menjaringkan gol kedua.
SUMBANGKAN GOL: Adam Swandi (tiga dari kiri) melepaskan rembatan kemas untuk menjaringkan gol kedua. - Foto ST

Gol terakhirnya dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dijaringkan pada November 2020, dan pada Ahad, lebih dua tahun selepas gol tersebut, Adam Swandi akhirnya menemui sasaran sekali lagi, menjaringkan dua gol untuk membantu Lion City Sailors tewaskan Hougang United 3-0.

Kemenangan itu membawa Sailors ke kedudukan kedua dalam liga dengan 33 mata, tiga mata di belakang pendahulu dan juara bertahan, Albirex Niigata, yang telah beraksi kurang satu perlawanan.

Perlawanan di Stadium Bishan itu juga adalah yang pertama sejak ketua jurulatih Sailors, Risto Vidakovic, melepaskan jawatannya pada minggu lalu.

Jaringan Adam itu bak meneruskan rentak baik buat pemain midfield tengah itu, yang sentiasa kreatif dalam merintis peluang bagi rakan sepasukan, tetapi kurang menyengat dalam menemui sasaran di depan gol.

Mungkin, gol yang dijaringkan Adam bagi Singapura semasa pasukan negara seri 2-2 dengan Papua New Guinea dalam satu perlawanan persahabatan pada 16 Jun, telah mengembalikan keyakinan diri.

Namun bercakap kepada akhbar The Straits Times, pemain berusia 27 tahun itu, pantas memuji pasukannya dengan berkata:

“Selepas saya jaringkan gol, saya tidak menyambutnya secara keterlaluan kerana saya tidak jangkakan yang saya akan jaringkan gol.

“Sasaran saya sentiasa adalah untuk membantu pasukan saya untuk jaringkan gol, tapi kadangkala apabila bola tiba di kaki, anda akan cuba ambil peluangnya.

“Setiap pemain memberikan 100 peratus tidak kira apa yang berlaku, jadi saya benar-benar gembira dengan hal itu.”

Adam mengalami kecederaan lutut semasa bermain dengan pasukan negara dalam satu perlawanan persahabatan Disember lalu, dan kemudian mengakui bahawa laluan untuk pulih amat mencabar.

“Impian setiap pemain adalah untuk kekal bebas daripada kecederaan dan terus bermain,” kata Adam.

“Untuk kembali daripada kecederaan yang berlarutan tiga, empat bulan tidak mudah, namun saya mempunyai sokongan di belakang saya... dan kami mempunyai sasaran yang sama untuk menang.”

Pasukan Sailors mengawal perlawanan dan mempunyai banyak peluang semasa separuh masa pertama.

Yang pertama adalah pada minit ke-16 apabila Diego Lopes merembat bola dengan kencang namun diselamatkan Zaiful Nizam.

Dua minit kemudian, tandukan Maxime Lestienne, hasil hantaran Hafiz Nor, terkena palang gol lawan.

Sailors akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi tendangan terakhir dalam separuh masa pertama.

Umpanan Adam yang terkena pemain lawan kemudian tiba di kaki Abdul Rasaq, yang menyusuli itu menjaringkan gol kelapannya dalam kempen kali ini hasil tendangan kencangnya yang melepasi Zaiful.

Sailors kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke 49 menerusi Adam Swandi yang kemudian menggandakan jaringan sendiri pada minit ke-75.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg