Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aguero tinggalkan Manchester City akhir musim ini

Kontrak tidak akan diperbaharui; Barcelona, PSG dan Chelsea antara kelab dikatakan minat dapatkannya
Mar 31, 2021 | 5:30 AM
LEGENDA CITY: Aguero menjaringkan gol kemenangan Manchester City ke atas Queens Park Rangers pada 2012 bagi mahkota liga pertama kelab itu dalam 44 tahun. Sejak itu, Aguero telah membantu City memenangi tiga lagi kejuaraan Liga Perdana England (EPL), satu Piala FA dan lima Piala Liga. - Foto fail
LEGENDA CITY: Aguero menjaringkan gol kemenangan Manchester City ke atas Queens Park Rangers pada 2012 bagi mahkota liga pertama kelab itu dalam 44 tahun. Sejak itu, Aguero telah membantu City memenangi tiga lagi kejuaraan Liga Perdana England (EPL), satu Piala FA dan lima Piala Liga. - Foto fail -

MANCHESTER: Sergio Aguero - penjaring gol terbanyak dalam sejarah Manchester City - akan meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.

Ini diumumkan kelab itu semalam.

Kontrak penyerang berusia 32 tahun itu berakhir pada akhir musim ini dan beliau telah diberitahu ia tidak akan diperbaharui.

Aguero, yang berasal dari Argentina, meninggalkan Atletico Madrid untuk menyertai City pada 2011 dan menjaringkan 257 gol dalam 384 perlawanan bagi kelab itu.

"Dengan bimbingan pemilik dan sumbangan ramai pemain, kami menempah nama dalam kalangan yang terhebat di dunia," kata Aguero.

Sebuah patung Aguero akan didirikan di luar Stadium Etihad, di sebelah patung bekas kapten Vincent Kompany dan pemain kreatif David Silva, yang masing-masing meninggalkan kelab itu pada 2019 dan 2020.

Trio itu mendukung peranan utama untuk membantu City bangkit semula kebelakangan ini, dengan Aguero menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan semasa menentang Queens Park Rangers pada 2012 untuk menjamin kejuaraan liga pertama kelab itu dalam 44 tahun.

Sejak itu, Aguero telah membantu City memenangi tiga lagi kejuaraan Liga Perdana England (EPL), satu Piala FA dan lima Piala Liga.

"Sumbangan Sergio kepada Manchester City sejak 10 tahun lalu tidak boleh diremehkan," kata pengerusi Khaldoon Al Mubarak.

"Beliau seorang legenda dan beliau akan dikenang oleh setiap orang yang menyayangi kelab ini... malah sesiapa sahaja yang meminati bola sepak."

Musim ini, Aguero memainkan peranan amat berkurangan kerana menanggung kecederaan jangka panjang, meskipun City masih bersaing dalam empat pertandingan - EPL, Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Piala Liga.

Beliau memulakan sembilan perlawanan dan beraksi dalam 14 perlawanan musim ini, menjaringkan tiga gol.

Namun, bekas pemain pertahanan City Micah Richards, yang memenangi kejuaraan liga bersama Aguero pada musim 2011-12, berkata pemain itu masih boleh menyerlah dan berupaya memberi sumbangan penting kepada City.

"Jika anda tidak dapat menggantikannya dengan Mbappe, Haaland atau Kane... siapa lagi yang boleh menggantikan Aguero?"

Dalam pada itu, Aguero kini dikaitkan dengan beberapa kelab utama di Eropah.

Ini termasuk Barcelona di Sepanyol, juara Perancis Paris St-Germain serta Juventus dan Inter Milan dari Italy. Dalam EPL, Chelsea juga difahamkan berminat mendapatkan khidmat Aguero bagi musim depan. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg