ALBIREX Niigata terdesak meraih kemenangan dan tiga mata pertama dalam perlawanan dengan Balestier Khalsa petang ini, selepas ia tewas mengejut dalam perlawanan pembuka tirai musim minggu lalu.
Ia kecundang 0-2 kepada Tanjong Pagar United minggu lalu, dengan jurulatih Kazuaki Yoshinaga menurunkan kesebelasan utama yang masing-masing tidak berusia lebih 23 tahun.
Hanya seorang pemain senior dalam kesebelasan utama itu, iaitu bekas pemain nasional Jepun, Tadanari Lee, 36 tahun.
Di Stadium Jurong East petang ini nanti, Lee perlu menunjukkan beliau masih mampu mempengaruhi perlawanan dan membantu Albirex mencapai kemenangan pertama musim baru ini.
Sekurang-kurangnya, beliau tidak dipersalahkan bagi kekalahan minggu lalu, dengan Yoshinaga menggesa pemain-pemainnya supaya mempertingkat prestasi.
"Kami perlu memperbaiki cara kami menyerang lawan dan merintis lebih banyak peluang gol. Lawan kami (Tanjong Pagar) beraksi dengan cara yang mereka kehendaki dan kami gagal mengatasi cara itu," ujar Yoshinaga.
Jika gagal menewaskan Balestier, Albirex nyaris ketinggalan lebih jauh dalam persaingan bagi mahkota liga musim ini, dengan Lion City Sailors - yang kini mendahului kedudukan - bertemu Geylang International malam tadi.
Tanjong Pagar pula, yang kini menduduki tangga kedua, berentap dengan Hougang esok.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg