LONDON: Pengurus West Bromwich Albion Sam Allardyce berkata bola sepak perlu direhatkan selepas Liga Perdana England (EPL) melaporkan bilangan jangkitan Covid-19 positif tertinggi dalam satu ujian musim ini.
Seramai 18 orang yang terlibat dengan EPL telah diuji positif dalam ujian terkini.
Malah, kes koronavirus baru di Fulham bermakna perlawanan EPL dengan Tottenham awal pagi tadi tidak boleh dipastikan berlangsung sehingga waktu akhbar ini dicetak.
"Saya amat prihatin terhadap diri saya dan bola sepak secara umum," kata Allardyce.
Sheffield United juga telah mengesahkan bilangan ujian Covid-19 positif dalam pusingan ujian terkini.
Isnin lalu, perlawanan EPL antara Manchester City dengan Everton ditangguh empat jam sebelum ia bermula selepas penularan koronavirus dikenal pasti.
Allardyce berkata tempoh pemutus litar wajar dilaksana untuk menangani pandemik ini.
"Keselamatan semua orang lebih penting daripada perkara lain," kata beliau, selepas pasukannya tewas 0-5 kepada Leeds semalam.
"Saya dengar melalui berita varian virus baru lebih mudah menjangkiti orang... kita hanya boleh mengambil langkah yang sewajarnya, iaitu melaksana pemutus litar.
"Saya berusia 66 tahun dan tidak mahu dijangkiti Covid-19.
"Jika perlu, ayuh kita anjak liga ke tarikh lain dan membuat rancangan supaya musim ini berlangsung lebih lama, sehingga kita mengatasi masalah ini." - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg