Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

Sentuhan dah tak berkesan?

Allardyce mungkin silap terima cabaran selamatkan West Brom
Mar 29, 2021 | 05:30 AM



ENGLAND: Sekiranya musim Liga Perdana bermula pada 14 Februari, pengurus Sam Allardyce mungkin boleh berpuas hati.



Lima perlawanan, enam mata, kalah satu dan tiga perlawanan tanpa dibolosi gol, Allardyce boleh menganggapnya sebagai langkah terbaik melancarkan kempen bertahan dalam liga teratas England.



Malangnya, perlawanan pertama West Brom bermula lima bulan lebih awal.



Ia pada pertengahan Disember ketika Allardyce menjawab panggilan SOS atau 'Selamatkan Musim Kami'.



Seorang teman bekas bos pasukan England itu menelefon dan membandingkan ia kepada misi siri televisyen kanak-kanak, 'Fireman Sam'.



Walaupun persembahan dan keputusan tunjuk peningkatan baru-baru ini - West Brom mempunyai 10 perlawanan untuk merapatkan jurang lapan mata dengan Fulham, yang memiliki perbezaan gol yang besar dan bermain lebih satu perlawanan - Red Adair (ahli bomba terkenal dari Amerika Syarikat) mungkin merupakan perbandingan penyelamat yang lebih tepat untuk Allardyce.



TIADA KESAN SEGERA



Sebelum pertembungan dengan Manchester United di padang sendiri bulan lalu, ramai peminat West Brom tertanya-tanya apa sebab sebenarnya Allardyce berada di kelab mereka.



'Penyelamat kelab dalam krisis' terkenal itu, yang mempunyai rekod membanggakan kerana belum pernah disingkirkan dari liga atas sebagai pengurus, tidak memberi kesan untuk memperbaiki nasib mereka. Malah semakin teruk.



Apabila Slaven Bilic dipecat, sehari selepas West Brom seri 1-1 di Manchester City, mereka menduduki tangga kedua dari bawah, seperti sekarang.



Tetapi, mereka hanya dua mata daripada terselamat - dan sudah bermain lebih dua perlawanan - dan yang penting, perbezaan gol mereka tidak jauh lebih teruk daripada pasukan yang berada di atas mereka.



West Brom tidak hanya mengutip lima mata sahaja daripada 10 perlawanan liga di bawah bimbingan Allardyce, mereka juga dibolosi gol sebanyak 28 kali.



Selain Sheffield United, tiada kelab liga atas yang memiliki perbezaan gol seteruk Albion, -36. Dibolosi 56 gol adalah jumlah yang terbesar dalam Liga Perdana sejauh ini.



Allardyce boleh tidak bersetuju dan mengatakan ada faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.



Ketibaan beliau di West Brom seiring dengan kenaikan kes positif Covid-19 dalam Liga Perdana dan protokol ketat untuk memastikan permainan terus dijalankan.



Rutin bimbingan harus diubah, mesyuarat kini berbeza, bahkan perjalanan ke tempat perlawanan melibatkan dua atau tiga bas berbanding dulu yang hanya satu.



Bagi pengurus yang menggunakan sentuhan peribadi sebagai alat penting untuk membentuk perpaduan skuad, Allardyce menghadapi cabaran besar.



Keputusan baru-baru ini memperbaiki sedikit harapan mereka tetapi Allardyce akur ia kini "tugas yang berat" untuk beliau mengekalkan rekod kebanggaannya dan untuk West Brom elak daripada disingkirkan dari Liga Perdana buat kali kelima.



APA YANG SALAH?



Sekiranya skuad pilihan Allardyce baru-baru ini jadi kayu ukur, proses merekrut pemain West Brom musim panas ini tidak cukup berkesan.



Daripada tujuh pemain tetap baru yang ditandatangani, hanya Matheus Pereira dibariskan dalam kesebelasan utama menentang Newcastle pada 7 Mac.



Karlan Grant, yang tiba dari Huddersfield dengan bayaran £15 juta ($27.6 juta), hanya diturunkan pada tujuh minit terakhir perlawanan.



Grant menjaringkan hanya satu gol musim ini dan struktur perjanjian bermakna West Brom komited membayar £2.5 juta setiap tahun dalam kontrak selama enam tahun penyerang itu.



Bekas pemain pertahanan Chelsea Branislav Ivanovic menyertai West Brom dalam perjanjian selama setahun yang dipercayai bernilai £2 juta pada September lalu.



Tetapi, pemain Serbia berusia 37 tahun itu hanya membuat penampilan sekali sahaja sebagai pemain gantian dalam liga sejak kalah 0-4 kepada Arsenal di padang sendiri pada 2 Januari lalu.



Sebilangan besar penyokong percaya ketibaan pemain terbaru - Mbaye Diagne, Okay Yokuslu dan Ainsley Maitland-Niles - adalah sebab utama peningkatan prestasi pasukan baru-baru ini.



Namun, kekangan kewangan bermakna perjanjian tersebut tidak dapat dilaksanakan sehingga hari-hari terakhir tempoh pemindahan lantas hanya Diagne terlibat dalam perlawanan penting menentang Fulham dan Sheffield United pada 30 Januari dan 2 Februari, dengan West Brom mengutip satu mata.



Setelah lawatan ke Crystal Palace Sabtu lalu - yang mana kepimpinan Allardyce menyelamatkan mereka daripada situasi terdesak yang serupa pada 2017 - West Brom akan hanya mempunyai baki sembilan perlawanan. Enam daripadanya menentang pasukan di bahagian atas tangga liga.



Allardyce menandatangani kontrak selama 18 bulan ketika menggantikan Bilic, yang termasuk bonus besar sekiranya West Brom mampu bertahan.



Namun, sekiranya West Brom tersingkir dari Liga Perdana, terdapat klausa menamatkan kontrak awal dari tarikh yang ditetapkan. - Agensi berita




BAKI 9 PERLAWANAN WEST BROM



3 April - Chelsea lwn West Brom



12 April - West Brom lwn Southampton



17 April - Leicester lwn West Brom



24 April - Aston Villa lwn West Brom



1 Mei - West Brom lwn Wolves



8 Mei - Arsenal lwn West Brom



11 Mei - West Brom lwn Liverpool



15 Mei - West Brom lwn West Ham



23 Mei - Leeds lwn West Brom




LATAR BELAKANG ALLARDYCE



MENGAMBIL alih tugas di West Brom adalah yang kelapan bagi Sam Allardyce di Liga Perdana sebagai pengurus.



Beliau menggantikan Slaven Bilic yang dipecat pada 2020.



Sebelum ini Allardyce pernah menjadi pengurus Bolton, Newcastle, Blackburn, West Ham, Sunderland, Crystal Palace dan Everton sepanjang 20 tahun lalu.



Allardyce juga pernah menjadi pengurus pasukan England buat beberapa bulan pada 2016.



Belum pernah kelab yang diurus Allardyce diturunkan, malah dua daripadanya terselamat selepas nyaris tersingkir sewaktu beliau bersama Sunderland dan Crystal Palace.



Allardyce pernah dipecat tiga kali, kontraknya dengan West Ham tidak diperbaharui selepas empat tahun dan beliau dikritik hebat kerana taktik hantaran bola jauh.



Beliau menyepi selama 2 musim selepas dipecat oleh Everton pada 2018.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >