Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amelia Chua penuhi impian wakil S’pura di Olimpik Belia Musim Sejuk

Jan 21, 2024 | 5:30 AM
BERKORBAN: Amelia Chua sanggup melepaskan peluang menyambut Krismas bersama keluarga bagi memberi tumpuan kepada persiapan bagi Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk.
BERKORBAN: Amelia Chua sanggup melepaskan peluang menyambut Krismas bersama keluarga bagi memberi tumpuan kepada persiapan bagi Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk. - Foto INSTAGRAM ICESKATER2710

Buat pertama kali dalam hidupnya, pemain luncur ais laju negara Amelia Chua menghabiskan Krismas berjauhan dengan keluarga Disember lalu.

Berpangkalan di Nottingham, England, untuk pengajian dan latihannya, remaja berusia 17 tahun itu menerima tiket pesawat daripada ibu bapanya untuk terbang pulang ke Singapura untuk sambutan Krismas. Bagaimanapun beliau memilih untuk kekal di England untuk berlatih bagi Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk (YOG).

Hanya sebulan sebelum itu, remaja tersebut telah mendapatkan tempat di Sukan Gangwon yang berlangsung dari 19 Januari hingga 1 Februari, selepas salah sebuah negara tidak dapat bertanding.

Beliau berkata: “Ia adalah sukar pada mulanya kerana ini adalah kali pertama saya tidak menyambut Krismas di rumah. Saya dan keluarga juga sudah terlepas meraikan hari lahir saya (pada bulan Oktober) bersama.

“Tetapi saya tetap rasa beruntung kerana dapat berlatih dengan pasukan Britain di sini dan atas sokongan daripada jurulatih dan juga keluarga serta rakan sepasukan saya di sini, saya tidak rasa kesepian.”

Peluang menetap di England, tempat beliau berlatih dan belajar di Kolej Antarabangsa Universiti Nottingham, adalah kunci kepada persiapannya untuk pertandingan paling besar dalam kerjaya sukannya sejauh ini.

Di Singapura, beliau hanya boleh berlatih di atas ais dua kali seminggu – satu-satunya gelanggang luncur ais bersaiz Olimpik Singapura di JCube ditutup Ogos lalu. Di England, Chua depan berlatih di atas ais enam hari seminggu.

Latihan tambahan dan lebih intensif itu berbaloi untuk Chua, yang bercita-cita untuk bersaing dengan atlet-atlet dunia lain di YOG Musim Sejuk sejak beliau kecil lagi.

Beliau mula berjinak-jinak dalam sukan luncur atas galakkan keluarganya pada 2012. Beliau beralih kepada luncur laju trek singkat dua tahun kemudian, selepas menonton Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi di televisyen.

Chua berkata: “Saya suka bagaimana perlumbaan itu sangat menarik. Saya teruja melihat atlet memintas satu sama lain, malah kemalangan yang berlaku juga menarik perhatian saya.

“Saya sangat tertarik dengan keseronokan sukan ini, jadi saya benar-benar mahu mencubanya.

“Pada mulanya sukar kerana ia adalah dua disiplin yang berbeza. Tetapi saya lebih suka melakukan aksi pantas, ia berasa lebih selesa bagi saya berbanding sukan luncur artistik.”

Cinta Chua pada sukannya itu amat mendalam.

Malah kemalangan dan kecederaan lutut seminggu sebelum pertandingan serantau pertamanya pada 2016 juga gagal menjadi penghambat bagi beliau.

Di Gangwon, Chua berhasrat untuk mara sejauh mungkin dan beliau juga tidak sabar untuk bertemu rakan-rakan atletnya, beberapa daripada mereka ditemuinya di kem di Korea Selatan pada 2023, katanya dalam wawancara dengan akhbar The Straits Times (ST).

“Saya sangat teruja untuk mewakili Singapura di YOG, ia adalah satu penghormatan yang besar dan saya amat berbangga kerana saya telah sampai sejauh ini... Ia sentiasa menjadi impian saya untuk mewakili Singapura di pentas yang terbesar. .

“Saya sentiasa bermimpi untuk pergi ke Sukan Olimpik dan ini adalah peristiwa penting secara peribadi. Ia satu langkah ke arah yang betul.”

“Ia adalah sukar pada mulanya kerana ini adalah kali pertama saya tidak menyambut Krismas di rumah. Saya dan keluarga juga sudah terlepas meraikan hari lahir saya (pada bulan Oktober) bersama. Tetapi saya tetap rasa beruntung kerana dapat berlatih dengan pasukan Britain di sini dan atas sokongan daripada jurulatih dan juga keluarga serta rakan sepasukan saya di sini, saya tidak rasa kesepian.”
Amelia Chua, atlet luncur ais laju Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg