Anda rasa pasukan anda akan menang? Sukar dijangka
Mengimbas persaingan merebut kejuaraan EPL beberapa musim yang lalu menjadikan sukar meramal siapa bakal muncul juara
MANCHESTER City akan melebarkan jurang di persada Liga Perdana England (EPL) dan akan merampas semula kejuaraan?
Itu ramalan anda?
Mungkin ia akan berlaku... dan mungkin tidak.
Dalam musim EPL yang panjang dengan 38 perlawanan dan begitu mencabar, ada kalanya anda dapat saksikan sebuah pasukan terus meninggalkan pesaing-pesaing lain di tangga teratas liga dan, seperti Liverpool yang mendahului dengan 18 mata pada musim lalu, terus menggondol kejuaraan.
Namun, ada kalanya ini tidak berlaku. Pernah berlaku, dan banyak kali, pasukan di tangga atas tergelincir dek masalah kecederaan, prestasi yang tiba-tiba bertukar menjadi sederhana dan hambar dan ekoran pelbagai masalah lain, kecundang pada saat-saat akhir.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Newcastle United di bawah bimbingan Kevin Keegan pada musim 1995-96. Mereka secara tidak semena-mena mensesiakan kelebihan 12 mata di persada liga untuk mengakhiri musim di tempat kedua di belakang Manchester United.
Ia kekal antara keputusan paling memilukan dalam sejarah EPL.
Laporan BBC berikut menyingkap beberapa musim EPL yang tidak membolehkan anda meramalkan dengan tepat siapa yang bakal muncul juara.
2015-16 - Leicester membuat kejutan
Senario: Musim mengejutkan lima tahun lalu yang menyaksikan Leicester City dan Crystal Palace masih berada di puncak setelah 19 perlawanan.
Juara bertahan Chelsea pula terkial-kial dan memecat Jose Mourinho selaku pengurus - untuk kali kedua - pada Disember. Arsenal, yang meraih gelaran pertama EPL sejak 2004, mendahului di pertengahan, di depan Leicester dengan perbezaan gol, manakala City, yang muncul juara dua kali dalam tempoh empat tahun, kembali bersaing.
Apa kesudahannya: Leicester, yang memulakan musim dengan ramalan 5,000-1 untuk memenangi liga muncul juara, sekali gus mencatat keputusan paling mengejutkan dalam sejarah EPL.
Mereka melakukannya dengan bergaya juga, mengakhiri musim 10 mata di depan Arsenal dan 11 mata di atas Tottenham Hotspur di tempat ketiga. City berada di tempat keempat, Manchester United di tangga kelima, tetapi Palace hanya memperoleh 11 mata daripada 19 perlawanan terakhir untuk tersungkur di tangga ke- 15.
2013-14 - Liverpool terlepas peluang
Senario: Arsenal menghabiskan sebahagian besar musim 2013-14 di persada. Selepas 19 perlawanan, ia mendahului Manchester City di bawah Manuel Pellegrini dengan satu mata dan Chelsea dua mata.
Apa kesudahannya: Liverpool bangkit untuk mendahului liga pada saat-saat akhir tetapi kekalahan di tangan Chelsea disusuli keputusan seri 3-3 dengan Crystal Palace selepas ia mendahului 3-0 membuka peluang kepada City menjadi juara pada musim pertama Pellegrini dalam bola sepak England.
Kemenangan 2-0 ke atas West Ham pada hari terakhir memberi City gelaran dengan 86 mata, dua di depan Liverpool dan empat di depan Chelsea.
Separuh musim kedua yang mengecewakan menyaksikan Arsenal tergelincir ke tangga keempat, Everton kelima dan Manchester United ketujuh.
2010-11 - Ferguson raih kejuaraan ke-12
Senario: Persaingan dijangka sengit dengan dengan kededua kelab Manchester - United dan City - dengan 38 mata dan trio London - Arsenal, Chelsea dan Spurs - juga bersaing.
Apa yang berlaku? United meninggalkan pesaing-pesaingnya untuk merebut kejuraan EPL - yang ke-12 bagi Sir Alex Ferguson. Ia mengakhiri musim sembilan mata di atas Chelsea dan City. Arsenal dan Spurs masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
2002-03 - United atasi saingan Arsenal
Senario: Arsenal di bawah Arsene Wenger, selaku juara bertahan, memulakan musim dengan baik untuk mendahului pada separuh musim. Tetapi hanya tujuh mata memisahkan enam pasukan di tangga atas, dengan Chelsea, United, Everton, Liverpool dan Newcastle bersaing.
Apa yang berlaku? United menjuarai EPL buat kali kelapan dalam 11 tahun, lima mata di atas Arsenal. Newcastle di tempat ketiga, Chelsea di tempat keempat, Liverpool kelima dengan Everton ketujuh.
2001-02 - Henry jadi wira Arsenal
Senario: Newcastle, dengan dibantu ketajaman penyerang Alan Shearer, melahirkan impian menjadi juara EPL buat pertama kali dalam 75 tahun.
Musim ini juga menyaksikan kehadiran beberapa penyerang hebat seperti Thierry Henry (Arsenal), Michael Owen (Liverpool), Ruud van Nistelrooy (United) dan Jimmy Floyd Hasselbaink (Chelsea).
Apa yang berlaku? Gol Sylvain Wiltord memberi kemenangan 1-0 kepada Arsenal di Old Trafford, sekali gus menyaksikan mereka memenangi liga dengan baki satu perlawanan. Liverpool menduduki tempat kedua, United ketiga, Newcastle keempat, Leeds kelima dan Chelsea keenam.
1998-99 - Drama di hari terakhir musim
Senario: Antara musim EPL terbaik. Pada separuh pertama musim, hanya enam mata memisahkan enam pasukan di tangga teratas, dengan Chelsea, yang menjadikan Gianluca Vialli pengurus/pemain, mendahului melalui perbezaan gol di atas Aston Villa. Arsenal, selaku juara bertahan, dan United, turut bersaing.
Apa yang berlaku? Keputusan siapa bakal juara berlarutan hingga ke hari terakhir musim. United bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Spurs 2-1, sekali gus merangkul gelaran secara dramatik untuk menafikan usaha Arsenal menjadi juara secara berturut-turut. Arsenal hanya tewas satu mata kepada United. Chelsea ketinggalan tiga mata di tangga ketiga, Leeds di tempat keempat, manakala Aston Villa jatuh ke tangga keenam.
Tempoh itu menjadi permulaan masa yang istimewa bagi United kerana setelah memenangi EPL, mereka menjuarai Piala FA dan Liga Juara-Juara, dengan Ole Gunnar Solskjaer menjaringkan gol kemenangan untuk menjadi juara Eropah.
1996-97 - United bermaharajalela
Senario: Liverpool, yang ketika itu dipimpin Roy Evans, berada di persada pada separuh pertama musim, didorong gol-gol Robbie Fowler. Arsenal mengekor rapat di tempat kedua dengan satu perlawanan dalam tangan, dengan Wimbledon bermimpi besar di tempat keempat, lima mata di belakang Liverpool tetapi dengan dua perlawanan dalam tangan. Newcastle, dengan gandingan berbisa Alan Shearer dan Les Ferdinand, turut menaruh harapan.
Apa yang berlaku? Manchester United muncul juara buat kali keempat dalam lima musim, meskipun jumlah pungutan matanya - 75 - adalah yang terendah selaku pemenang EPL. Namun, ia masih berada tujuh mata di atas Newcastle di tempat kedua, diikuti oleh Arsenal di tempat ketiga, Liverpool keempat, Aston Villa di tempat kelima dan Wimbledon kelapan.
1992-93 - Norwich mengacah
Senario: Musim pertama EPL yang baru dibentuk menyaksikan persaingan mendebarkan. Norwich City - walaupun dibolosi 34 gol dalam 21 perlawanan pertama - duduk di persada.
Blackburn, yang awal dari itu mengalahkan Norwich 7-1, berada di tangga kedua, sementara United pula bercita-cita menjadi juara England buat kali pertama sejak 1966-67.
Apa yang berlaku? Kelemahan benteng pertahanan menjadi punca kejatuhan Norwich, yang menduduki tangga ketiga, dengan Aston Villa di tempat kedua. Tetapi tidak ada pasukan dapat menyekat United di bawah pimpinan Ferguson - dengan kelebihan 10 mata - untuk merangkul kejuaraan pertama daripada 13 gelaran EPL.

