Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

2 beradik SIAP WAKILI NEGARA di kolam renang

Ardi lebih matang, lebih bersemangat

Nov 06, 2017 | 05:30 AM



TAHUN lalu - kali pertamanya mewakili negara di kejohanan luar negara yang berlangsung di Bangkok - beliau pulang diiringi pelbagai pengalaman.



Tahun ini - di Kejohanan Kumpulan Umur Renang Asia Tenggara (SEA) Ke-41 yang akan berlangsung pula di Brunei - Ardi Zulhilmi Mohamed Azman bertekad pulang dengan sebutir pingat, tidak kira apa warnanya.



Perenang berbakat berusia 14 tahun ini adalah antara 65 perenang Singapura yang berjaya memenuhi masa kelayakan yang ditetapkan untuk mendapat tempat dalam rombongan negara ke kejohanan berprestij pelbagai peringkat umur serantau itu.



Kali ini Ardi layak bagi perlumbaan 400 meter rampaian individu (IM) di kejohanan yang akan berlangsung mulai Jumaat hingga Ahad ini.



"Tahun lalu adalah kali pertama saya tampil di Kejohanan SEA, jadi ia satu pengalaman yang baru... agak gementar juga rasanya," ujar Ardi semasa ditemui selepas sesi latihannya di bawah bimbingan jurulatih asal Amerika Syarikat, Jim Puleo, di kelab renang X Lab Pro di GEMS World Academy, Yishun, baru-baru ini.



"Tapi tahun ini saya rasa lebih matang... lebih berpengalaman dan lebih yakin dapat memberikan saingan lebih hebat.



"Saya juga kini lebih tahu mengenai suasana dan cabaran pertandingan... jadi saya lebih bersedia dan lebih yakin dapat mencatatkan keputusan yang lebih baik.



"Matlamat saya ialah dapat memenangi pingat untuk negara... tak kira apa warnanya. Sasaran utama saya ialah cuba menaiki podium (pemenang) dan jika dapat juga memperbaiki catatan peribadi terbaik saya (PB), ia tentunya satu bonus," tambah Ardi.



Berlumba dengan para perenang lain yang berada dalam peringkat usia yang sama dengannya ini tentu sekali menjadi wadah yang baik bagi Ardi menimba pengalaman berharga dalam usaha terus mengasah bakatnya dalam sukan ini.



Lebih penting lagi, peluang bersaing dengan perenang handalan termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Thailand itu memberi peluang kepada anak kedua dalam keluarga tiga beradik ini 'mengukur' peningkatannya sejauh ini selain menjadi motivasi agar terus berlatih dengan gigih jika berhasrat mahu terus mewakili negara pada masa depan.



Awal tahun ini, beliau telah pun membuktikan potensi yang dimilikinya dalam beberapa kejohanan setempat.



Ardi, yang menolak 'lamaran' beberapa sekolah elit renang selepas PSLE-nya untuk meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah Outram pada 2015, memenangi dua pingat di Kejohanan Antara Sekolah- Sekolah Nasional Ke-58 Divisyen C yang berlangsung pada April lalu.



Dalam kededua perlumbaannya - 100 meter kuak kupu-kupu yang sememangnya menjadi kegemarannya dan acara 400 meter gaya bebas - Ardi memenangi pingat perak.



Sebulan sebelum itu, Ardi mencatatkan masa peribadi terpantasnya - 4 minit dan 58.78 saat - bagi perlumbaan 400 meter IM di Kejohanan Kumpulan Umur Nasional (SNAG) Senior Ke-48 - yang turut menghadiahkannya 'tiket' untuk bertanding di Kejohanan SEA di Brunei ini.



Sekalipun menggariskan matlamat membawa pulang pingat dari kejohanan di Brunei itu nanti, Ardi - yang pernah diiktiraf Anugerah Kecemerlangan atas Pencapaian Istimewa (Bukan Akademik) daripada Mendaki dan Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura-Peter Lim pada tahun lalu - akur cabaran besar apabila bersaing dalam kategori 14-15 tahun.



"Tahun lalu, saya bersaing dalam kategori bawah 13 tahun. Kali ini saya akan berlumba dengan perenang lebih dewasa yang berusia bawah 15 tahun.



"Tetapi saya tidak mahu jadikan ini semua ini sebagai alasan... sebaliknya segala cabaran ini akan menjadikan saya lebih bersemangat mahu menunjukkan prestasi terbaik kerana saya sudah berlatih dengan gigih untuk menghadapi kejohanan ini," ujar Ardi lagi yang turut berpeluang menimba pengalaman di Kejohanan Renang Jarak Dekat Nasional (SNSC) yang diadakan di Pusat Akuatik OCBC, Hab Sukan Singapura, pada Jun lalu.



Menjenguk ke hadapan, tidak hairanlah jika perenang cilik ini sudah pun memendam impian agar dapat mewakili Singapura di medan pertandingan lebih besar - bermula di temasya Sukan SEA 2019 yang akan dianjurkan Filipina nanti.



"Pada 2019, usia saya akan mencapai 16 tahun, jadi harapan saya ialah dapat terus mencatatkan peningkatan... selaras dengan pembesaran saya... bagi membolehkan saya bersaing dengan perenang-perenang yang lebih senior dalam skuad nasional.



"Alangkah hebatnya jika saya dapat menduduki antara dua tempat terbaik di peringkat nasional bagi mendapat peluang berlumba di Sukan SEA itu nanti," tambah Ardi, penuh bersemangat.




APA KATA SI ADIK



"Tapi tahun ini saya rasa lebih matang... lebih berpengalaman dan lebih yakin dapat memberikan saingan lebih hebat. Saya juga kini lebih tahu mengenai suasana dan cabaran pertandingan... jadi saya lebih bersedia dan lebih yakin dapat mencatatkan keputusan yang lebih baik. Jadi, matlamat saya ialah dapat memenangi pingat untuk negara... tak kira apa warnanya."
- Ardi Zulhilmi.




SEKILAS



APA: Kejohanan Kumpulan Umur Renang Asia Tenggara (SEA) Ke-41



DI MANA: Brunei



BILA: 10-12 November



ROMBONGAN NEGARA: Singapura akan diwakili sekitar 65 perenang muda di kejohanan kali ini




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >