Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal pesta gol belasah Sporting 5-1

Nov 27, 2024 | 1:58 PM
Pemain sayap, Bukayo Saka, menjaringkan gol keempat Arsenal menerusi sepakan penalti ketika menentang Sporting Lisbon dalam Liga Juara-Juara di stadium Estádio José Alvalade pada 27 November.
Pemain sayap, Bukayo Saka, menjaringkan gol keempat Arsenal menerusi sepakan penalti ketika menentang Sporting Lisbon dalam Liga Juara-Juara di stadium Estádio José Alvalade pada 27 November. - Foto AFP

LISBON: Bukayo Saka berkata tempat Arsenal ialah di Liga Juara-Juara selepas pasukan Liga Perdana England itu kembali menang dalam pertandingan tersebut dengan membelasah Sporting Lisbon 5-1 di stadium Estádio José Alvalade pada 27 November.

The Gunners selesa sepanjang perlawanan, dengan Gabriel Martinelli, Kai Havertz, Gabriel, Saka dan Leandro Trossard semuanya menjaringkan gol.

Anak buah Mikel Arteta menjaringkan banyak gol ketika menentang Sporting, sama seperti dalam lapan perlawanan Liga Juara-Juara di tempat lawan digabungkan sebelum ini.

Keputusan itu meletakkan mereka di tempat ketujuh di tangga Liga Juara-Juara.

“Kami menunjukkan tahap yang kami boleh capai. Kami tahu mereka belum lagi kalah di sini musim ini tetapi kami percaya dengan keupayaan diri sendiri.

“Semua orang (rakan sepasukan) bermain dengan baik. Saya sangat bangga dengan mereka hari ini,” kata Saka.

Arsenal mendahului menerusi gol Martinelli pada minit ketujuh, selepas pemain sayap Brazil memanfaatkan hantaran lintang rendah bek kanan Jurrien Timber.

The Gunners menggandakan jaringan dengan cara yang sama pada minit ke-22 apabila hantaran lintang rendah Saka disambut Havertz yang kemudian menjaringkan gol dari jarak dekat.

Bek tengah Gabriel menanduk masuk gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara dari sepakan sudut Declan Rice pada minit ke-45.

Sejurus selepas masa rehat, pemain pertahanan Goncalo Inacio menyambut sepakan sudut penyerang Trincão untuk menjaringkan gol bagi pasukan tuan rumah.

Bek tengah, Ousmane Diomande, menerkam Martin Odegaard dari belakang di dalam kotak penalti, tetapi bernasib baik tidak menerima kad kuning kedua.

Pengadil, Szymon Marciniak, memberi penalti kepada Arsenal ekoran kekasaran itu yang dijaringkan Saka pada minit ke-65.

Rembatan kuat pemain gantian, Mikel Merino, dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol Sporting, Franco Israel tetapi bola terjatuh kepada Trossard, yang menanduk masuk untuk gol kelima Arsenal.

Selepas kemenangan itu, Arteta berkata:

“Saya sangat gembira. Ia keputusan besar menentang pasukan lawan yang hebat.

“Apabila anda bermain dalam pertandingan ini menentang pasukan sehebat ini (Sporting), anda perlu menikmatinya.

“Apa yang saya suka tentang pasukan ini (Arsenal) ialah cara permainan mereka. Mereka bermain dengan tujuan.

“Jika anda mahu menang trofi terbesar, anda perlu konsisten.”

Gol Martinelli, yang mengambil masa enam minit dan 43 saat untuk dijaringkan, ialah gol terpantas Arsenal dalam Liga Juara-Juara sejak gol Theo Walcott ketika menentang Basel pada September 2016 (6 minit 42 saat). – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg